jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Tuesday, March 2, 2010

Madu Tualang Sama Taraf Dengan Madu Import

MADU ASLI... Sebahagian botol-botol madu lebah tualang yang sudah siap untuk dipasarkan semasa tinjauan fotoBERNAMA di bilik pameran jualan madu di Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Madu Lebah Tualang Kuala Nerang.

MADU secara semula jadi sangat berkhasiat dengan ia mengandungi gula seperti fruktus dan glukos, mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat dan vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Oleh kerana inilah madu merupakan satu daripada ramuan penting dalam perubatan tradisional yang diamalkan oleh pelbagai tamadun sejak berkurun-kurun.

Sebelum 1996, pengumpul madu lebah tualang di daerah-daerah di Kedah seperti Padang Terap, Ulu Muda, Sik, Baling, Jerai dan Kubang Pasu menjual hasil yang mereka kumpul dalam botol di gerai tepi jalan serta pasar tempatan.

Pengarah Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Wilayah Utara Mohd Ariffin Awang melihat penyelia pusat berkenaan Norshidah Abdul Rashid (tengah) dan dibantu oleh pembantunya Norshuhada Abdullah memasukkan madu lebah tualang serta melabelkan botol-botol madu di Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Madu Lebah Tualang, Kuala Nerang.

Dengan penggunaan madu ini terhad kepada penduduk tempatan dan sesekali dibeli oleh perantau yang melalui tempat-tempat ini, jualan tidak konsisten dengan harga jualan antara RM20 dan RM22 setiap kilogram.

Bagaimanapun, pada 1996 semua ini berubah apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menubuhkan sebuah pusat mengumpul dan memproses di Kuala Nerang, Kedah, untuk memudahkan pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan Madu Tualang.

FAMA

Ketua Pengarah FAMA Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata pusat ini adalah pusat sehenti bagi pengutip madu di Kedah untuk menjual bekalan mereka.

"Ini mendorong mereka mengumpul lebih banyak Madu Tualang dan sejak itu bekalan meningkat daripada 2 hingga 5 tan sebulan kepada 10 tan sebulan semasa musim kutipan.

"Harga juga telah naik. FAMA kini membayar antara RM58 dan RM60 setiap kilogram bagi Madu Tualang berkualiti premium. Madu ini diproses di pusat FAMA ini dan dipakej di bawah jenama Agromas," katanya.

Madu ini yang dijual di bawah jenama Agromas Tualang Honey selain boleh dibeli di 'House of Honey' di pusat ini, juga boleh dibeli di pasaraya Mydin dan Giant selain daripada Agro Bazaar terpilih di seluruh negara.

Menyedari manfaat kesihatan dan seterusnya potensi pasaran bagi madu, pada 2007 FAMA menderma 1.36 tan Madu Tualang kepada Universiti Sains Malaysia (USM)bagi tujuan penyelidikan.

MANFAAT KESIHATAN DARIPADA MADU

Menurut Prof Dr Nor Hayati Othman, Dekan Kajian Sains Klinikal di Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan, keputusan daripada sejumlah 48 kajian menunjukkan Madu Tualang apabila diminum atau disapu pada luka atau lecur di permukaan badan menawarkan pelbagai manfaat perubatan.

"Walaupun kajian ini masih di peringkat awal, keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan Madu Tualang mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-oksidan yang boleh memperlahankan pertumbuhan sel barah tertentu dan menghalang pembiakan spektrum luas spesis bakteria dan kulat, selain menjadi sumber tenaga segera bagi tubuh," katanya.

Madu merupakan penawar berkesan bagi masalah sistem penghadaman kerana ia menggalakkan kesihatan usus dan buah pinggang. Madu boleh dihadam dengan mudah kerana molikul gulanya yang kompleks mudah ditukar kepada molikul gula yang lebih mudah. Oleh itu, ia tidak merengsa lapisan pengalas sistem penghadaman dan sebaliknya melegakan perut.

Nor Hayati berkata madu merupakan satu keajaiban semula jadi.

"Ia dengan sendiri makanan yang lengkap. Sebagai pengguna madu sejak 25 tahun yang lepas, saya sangat percaya dengan manfaat Madu Tualang," tambah beliau.

"Madu Tualang turut mengandungi beberapa elemen positif yang tidak terdapat pada madu yang diimport," kata beliau. USM merupakan universiti penyelidikan pertama di Malaysia menjalankan penyelidikan menyeluruh akan manfaat kesihatan bagi madu.

Dalam mengiktiraf usaha-usahanya, universiti ini menerima geran RM1 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan penyelidikan lanjut akan subjek itu.

Shariff berkata FAMA akan terus membekalkan Madu Tualang kepada USM bagi tujuan penyelidikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: