Tuesday, March 2, 2010

Malaysia muncul pasukan terbaik Asia

KUALA TERENGGANU - Sentuhan dan tunjuk ajar jurulatih dari Australia, William Walker, membolehkan Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila mendahului kategori pasukan terbaik Asia selepas berakhirnya peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu, semalam.

Empat pelumba negara iaitu Mohd Zamri Salleh, Amir Mustafa Rusli, Mohd Ridzuan Zainal dan Akmal Amrun berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 20 pelumba terawal menamatkan perlumbaan sejauh 174.5 kilometer itu.

Kejayaan mereka itu membolehkan skuad kebangsaan mengumpul jumlah masa keseluruhan 13 jam 8 minit 39 saat, mengatasi 12 pasukan Asia yang lain serta kini menduduki tempat kedua secara keseluruhan.

Lebih membanggakan apabila Mohd Ridzuan turut berpeluang untuk menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan setelah menduduki tempat ke enam keseluruhan dengan masa 4 jam 22 minit 51 saat, ketinggalan hanya lapan saat daripada pendahulu, Michael Matthews dari Team Jayco-Skins.

Pengurus pasukan, Amrun Misnoh berkata, latihan di Ipoh, Perak di bawah kendalian Walker sejak tiga minggu lalu telah menampakkan hasil.

“Mereka telah mempamerkan kerjasama berpasukan yang tinggi namun kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Amrun berkata, adalah diharapkan ada pelumba negara yang dapat membuat keputusan yang lebih baik pada perlumbaan peringkat kedua esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: