PEMAIN tengah Manchester City, Patrick Vieira tidak ragu-ragu lagi negara Eropah mana yang paling disukainya selepas kembali ke England dari Itali ketika pintu perpindahan Januari lalu.
"Dalam tugas kami, saya fikir England mungkin tempat paling mudah buat anda tinggal dan menyesuaikan diri. Kami boleh pergi ke pasar, menonton wayang, keluar minum dan tiada siapa yang pedulikan kami," kata pemain Perancis itu kepada laman web rasmi kelab.
"England adalah sebuah negara di mana kami boleh menikmati kehidupan yang normal. Saya dapati England lebih baik daripada Perancis atau Itali, dan menerusi perbualan dengan pemain lain ia lebih bagus daripada Sepanyol. Ini adalah tempat paling bagus untuk anda tinggal!
"Kami tidak banyak membeli-belah, tapi kami sudah pergi bersiar-siar, dan penduduk di sini amat baik terhadap kami, tidak kira penyokong United atau penyokong City. Kami tidak berdepan sebarang masalah - belum ada sesiapa yang menjerit ke arah saya lagi!
"Kami pergi ke restoran dan bercakap mengenai perlawanan dengan penyokong City di sana. Penyokong di sini amat cintakan bola sepak. Mereka sayangkan pasukan mereka, sudah tentu, tapi secara keseluruhan saya fikir mereka cintakan permainan ini."
Malah aspek makanan tempatan turut diminati bekas bintang Arsenal itu.
"Saya sukakan sarapan pagi Inggeris yang berat, pada pagi Ahad apabila kami mendapat cuti," jelasnya.
"Tapi tidak puding hitam. Dan bukannya sos perang - saya sukakan sarapan pagi Inggeris, tapi yang ringkas saja!"
Pemain veteran berusia 33 tahun itu dilahirkan di Dakar, Senegal tapi berhijrah ke Perancis ketika remaja dan memiliki kerakyatan Perancis selain beraksi pada Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan negara itu.
Dia memuncak ketika kariernya di Arsenal dari 1996 hingga 2005, apabila dia memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) - sekali tanpa kalah - dan empat trofi Piala FA, kemudiannya menjadi ketua pasukan kelab.
Selepas meninggalkan Arsenal pada 205, dia menghabiskan semusim di Juventus sebelum menyertai Inter Milan pada 2006, berikutan Juventus diturunkan liga kerana pembabitan mereka dalam skandal penentuan keputusan perlawanan.
Dia sudah beraksi sebanyak 107 perlawanan buat Perancis, dan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala Dunia 1998 di Perancis dan Euro 2000 di Portugal.
Pada Ogos 2008, Vieira menduduki carta kelima di kalangan pemain paling hebat Arsenal sepanjang zaman dalam undian peminat yang dijalankan di laman web rasmi kelab.
Isterinya, Cheryl, berasal dari Trinidad & Tobago dan mereka kali pertama bertemu di England ketika dia beraksi buat Arsenal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: