Friday, March 12, 2010

Singkir Kuncoro

DATUK Lee Chong Wei (gambar) mudah mara ke suku akhir Siri Super Seluruh England selepas menewaskan pemain kedua Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada pusingan kedua, semalam.

pix_middle
Debaran peminat badminton tanah air yang menanti keputusan itu pasti lega apabila pemain nombor satu dunia itu menang dua set berturut-turut 21-11, 21-17 dalam masa 39 minit, sekali gus menebus kembali kehampaan selepas dua kali dikecewakan pemain Indonesia itu di Kejohanan Dunia.


Set pertama Chong Wei mendahului pemain Indonesia itu 6-0 dan 11-4. Dia kemudian melebarkan kedudukan 17-11 sebelum mudah menamatkan set pertama 21-11.


Dalam set kedua aksi lebih mendebarkan apabila kedua-dua pemain saling mengikat kedudukan sebelum Sony mendahului jaguh negara, 11-6. Chong bangkit mengejar berjaya menyamakan kedudukan 11-11, namun Sony kembali menjarakkan kedudukan 14-11.


Dengan bantuan jurulatih Misbun Sidek, Chong Wei mula mempamerkan kebangkitan mengejar mata demi mata sebelum mendahului 18-14. Menyedari lawan seterusnya lebih sukar, Chong Wei enggan membuang lebih banyak tenaga menamatkan cabaran pemain Indonesia itu dengan kemenangan 21-17.


Menurut Chong Wei, percaturan jurulatih untuk dia sentiasa mendahului dan mengawal permainan Sony berjaya, cuma rentaknya terganggu pada set kedua selepas pemain Indonesia itu menukar corak permainan.

“Saya berjaya mengikut percaturan jurulatih (Datuk Misbun Sidek) untuk mengawal permainan, dan ketika ketinggalan di set kedua jurulatih memberi isyarat supaya saya menukar rentak dan akhirnya saya berjaya menangkapnya kembali dan menamatkan permainan dengan dua set,” kata Chong Wei.


Ditanya mengenai pertemuan terakhirnya dengan pemain itu, Chong Wei berkata: “Memang sebelum ini Sony menang dua kali di Kejohanan Dunia 2008 dan 2009, tapi saya tidak fikir itu semua sebaliknya hanya fokus untuk menang. Lawan seterusnya di suku akhir saya akan hadapi mengikut strategi permainan saya sendiri, saya tahu apa yang perlu dilakukan dan hanya main macam biasa.” Misbun menganggap Chong Wei mempamerkan persembahan baik, malah bijak mengubah corak permainan untuk mengejar Sony.


“Saya puas hati corak permainan Chong Wei walaupun banyak melakukan kesilapan yang dia tak pernah lakukan. Apapun peluang buatnya mara ke final makin cerah,” kata Misbun.


Chong Wei akan menentang pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Shon Wan Ho di suku akhir hari ini selepas pemain terbabit menewaskan pemain China, Chen Long 21-18, 18-21, 21-19.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: