BUKIT BERUNTUNG: Keengganan pemaju perumahan menyiapkan prasarana lengkap termasuk padang bola sepak di Taman Adenium di sini, menyebabkan kanak-kanak dan remaja terpaksa berdepan risiko kecederaan apabila beriadah di padang berbatu.
BERBAHAYA...kanak-kanak dan remaja berdepan risiko cedera di padang yang masih mempunyai sisa binaan perumahan.
BERAT...kanak-kanak membuang batu sebelum bermain bola sepak.
Penduduk mendakwa, pemaju bagaikan ‘melepas batuk di tangga’ apabila hanya berjanji, tetapi tidak mengotakankannya.
Lebih 50 kanak-kanak dan remaja di sini terpaksa menggunakan ‘idea’ sendiri membina padang bola sepak berukuran 50 meter panjang dan 20 meter lebar di taman itu untuk bermain bola setiap petang.
Ketua pasukan Kelab Bola Sepak Adenium (Adenium FC), Zazrin Zamri, 18, berkata padang berbatu itu dibina sejak dua bulan lalu dengan kerjasama penduduk bergotong-royong meneroka kawasan lapang di pinggir taman mereka.
Katanya, kawasan lapang dijadikan padang mini bola sepak itu tidak sempurna kerana banyak batu kelikir, sisa buangan binaan, objek tajam, paku dan pasir kasar.
“Kami tidak ada pilihan. Hanya kawasan ini yang ada untuk bermain bola sepak pada sebelah petang. Risiko berat kami tanggung sekiranya berlaku kecederaan yang juga boleh membawa maut.
“Pemaju sepatutnya membina sebuah padang bola sepak sejak menyiapkan taman perumahan ini pada 2002 lalu,” katanya, baru-baru ini.
Menurutnya, taman perumahan mereka hanya ada satu padang permainan kanak-kanak yang mampu disiapkan pemaju terdahulu.
Zazrin berkata, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka masih menunggu kelulusan pemaju mewartakan satu kawasan khas untuk padang bola sepak di taman itu.
“Sebelum menggunakan padang sementara ini, kami bergotong-royong membuang pelbagai objek berbahaya seperti kayu, batu besar, kaca dan serpihan atap rumah. Kini kami menggunakan kayu dan batang paip terpakai untuk dijadikan tiang gol.
“Kami harap pemaju ambil perhatian masalah ini demi kebajikan penduduk khususnya remaja yang semakin bertambah di sini. Kemudahan asas yang dijanjikan perlu diselesaikan segera,” katanya.
Muhammad Taufiq Kamal, 17, berkata kerana ketiadaan rumput dan hanya pasir dan batu semata-mata, mereka sentiasa terdedah bahaya kecederaan ketika bermain bola.
Katanya, setiap petang mereka terpaksa membersihkan kawasan padang dengan membuang batu, kayu dan sisa binaan selepas dihanyutkan air ketika hujan dari kawasan berdekatan.
“Kami tidak berputus asa sebaliknya sentiasa bersemangat menggunakan ‘padang batu’ ini kerana hanya di sini anak muda dapat berkumpul setiap petang.
“Walaupun saiz padang tidak luas, namun cukup buat kami melepaskan ‘rindu’ bermain bola sepak bersama adik, rakan dan kenalan di taman ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: