Sunday, March 21, 2010

Umie capai hajat

RUANG hati yang dulu kosong kini berpenghuni. Hidup yang dulu bersendirian kini berteman. Tidak ada apa yang menggembirakan aktres popular, Umie Aida apabila dia melangkah ke fasa baru seorang wanita sebaik bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan tanggal 14 Mac lalu.

pix_middle
pix_topright

Ternyata, niat yang baik pasti tiada halangan. Segala urusan, walaupun diakui sukar pada awalnya kerana perlu melalui prosedur yang rumit, namun semuanya berjalan lancar. Memang sukar dipercaya, namun itulah hakikat yang tertulis di Loh Mahfuz bahawa pemilik nama penuh Umie Khalsum Rahmad akhirnya disatukan dengan Khairuddin dengan disaksikan Baitullah.


Satu keajaiban yang sukar digambarkan dengan kata-kata, sekali gus menjadikan Umie sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya melangsungkan akad nikah di situ.


Namun sebagai artis, apa saja perbuatan atau tindakan pasti akan timbul pro dan kontra. Ada juga terdengar suara-suara nakal yang mempertikaikan lokasi di mana pernikahan itu diadakan.


Tapi sebagai artis berpengalaman, semua itu tidak menjadi kudis baginya. Umpama pepatah lama, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

“Saya tidak mahu mengulas perkara itu. Orang boleh berkata apa juga yang mereka suka. Saya memang tak mampu menahannya. Namun yang pasti, saya sudah selamat bernikah di sana dengan cara sah seperti yang saya impikan.


“Semua orang sudah nampak dan saksikan, jadi tak perlu saya nak komen apa-apa lagi. Tuhan maha mengetahui apa yang terjadi,” kata Umie tenang.


Bukan kerana bersikap riak atau mahu menunjuk-nunjuk, namun kata Umie, bernikah di sana adalah impiannya sejak dulu lagi.


“Apabila abang (panggilan untuk Khairuddin) melamar saya, terus terlintas di fikiran untuk mengajaknya ke sana kerana selain mengerjakan umrah, itu juga satu ujian buatnya, apakah dia mampu melaksanakan urusan pernikahan si situ.


“Jika dia benar-benar ikhlas dan serius untuk memperisterikan saya, saya yakin dia pasti boleh melakukannya. Dan ternyata, abang memang ikhlas dan dia berjaya melunaskan segala janjinya pada saya sebelum ini. Memang dia lelaki terbaik buat saya,” kata pelakon bermata cantik ini.


Seperti juga wanita lain yang baru memasuki alam rumah tangga, pasti akan terselit dalam hati keinginan untuk menjadi isteri solehah. Dalam hal ini, Umie juga tidak mahu ketinggalan.


“Insya-Allah, saya akan cuba menjadi isteri yang patuh dan taat pada perintah abang. Mungkin saya bukan wanita sempurna, namun saya akan cuba mencari kesempurnaan itu demi kebahagiaan rumah tangga kami.

“Dan saya juga berharap abang juga begitu. Bersama-sama mengendalikan rumah tangga yang dibina ini, walau dalam keadaan susah atau senang,” ikrar Umie penuh pengertian.


Janggal rasanya selepas melihat pasangan ini disatukan. Timbul rasa lucu apabila menyaksikan Umie dan Khairuddin masih malu-malu antara satu sama lain.


Jika pasangan pengantin baru lain asyik berkepit walau di mana juga mereka berada, senario itu tidak berlaku kepada Umie dan Khairuddin.


Umie nampaknya lebih gemar bersama keluarga yang turut serta dalam rombongan itu seperti ibunya, Asmah Ali, kakaknya, Erma Fatima dan adiknya, Betty Rahmad. Manakala Khairuddin lebih selesa bersendirian apabila ke mana-mana.


Situasi ini membuatkan Umie dan Khairuddin sering menjadi bahan usikan jemaah rombongan sehingga membuatkan mereka tersipu-sipu menahan malu.


“Seperti yang saya katakan sebelum ini, tempoh ini adalah saat saya mahu mengenali abang dengan lebih dekat lagi. Terus terang saya akui, memang saya masih malu dan ada perasaan sedikit takut dengan abang. “Maklum saja, hubungan kami sebelum ini bukan seperti pasangan lain yang bercinta dulu baru mendirikan rumah tangga.


“Beri saya sedikit masa untuk berkenal mesra dengan abang. Umpamanya kami bagaikan orang dulu-dulu yang menyemai benih cinta selepas mendirikan rumah tangga,” katanya sambil tersenyum.


Pada sebelah malam, iaitu selepas majlis pernikahan, kedua-dua mempelai diraikan dalam majlis resepsi ringkas namun meriah dengan kehadiran ramai tetamu.


Acara yang dilangsungkan di Restoran Al Zahra, Zam Zam Grand Suites itu menyaksikan Umie bagaikan pengantin Arab dengan jubah moden hitam, sedondon dengan Khairuddin.


Dengan diiringi bacaan doa, memohon rumah tangga aman dan kekal bahagia, pengantin baru ini kemudian memotong kek dan saling suap menyuap.


Turut sama menumpang menyambut hari bahagia pada hari itu adalah Erma yang menyambut ulang tahunnya yang kebetulan jatuh pada hari sama.


Selain majlis ringkas itu, Umie akan mengadakan majlis resepsi khas pada 28 Mac ini di Hotel One World, Bandar Utama untuk meraikan saudara mara, rakan seperjuangan dan media.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: