Sunday, March 21, 2010

Enggan hipokrit soal cinta

BUKAN mudah menjadi wanita popular yang sering ditanya mengenai perancangan berumah tangga, terutama yang usianya mencecah suku abad, malah ada juga suara-suara nakal yang melemparkan sindiran.

pix_middle


Bagi Farah atau nama sebenarnya Farah Diana Anuar, 25, dia tidak mahu hipokrit dalam memperkatakan soal hubungan cinta, namun sebagai wanita dia lebih senang untuk tidak keterlaluan memberi kenyataan.


"Farah belum dilamar oleh teman lelaki untuk mendirikan rumah tangga tetapi sebagai wanita, biar dia yang merancang kerana untuk ke arah itu kami berdua perlu benar-benar bersedia.


"Lagipun Farah tak berani untuk bercakap mengenainya, manalah tahu kalau tak jadi Farah dan keluarga juga yang malu. Jadi, lebih baik serahkan saja pada takdir," kata pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim kedua ini.


Dia yang pernah popular dengan lagu Tangisan Dalam Kerinduan ciptaan komposer Adnan Abu Hassan mengakui teman lelaki yang sebaya dengannya itu berperwatakan menarik dan memahami kerjayanya sebagai artis.

Bagaimanapun, mereka jarang bertemu memandangkan jejaka yang juga ahli perniagaan itu berada di Kedah manakala Farah pula sibuk dengan kerjayanya di ibu kota.


"Mengenai rumah tangga, Farah hanya menunggunya buka mulut. Biarpun sudah lama berkawan, Farah malu nak tanya," katanya yang mengakui segan berkongsi cerita peribadi dengan pihak media.


Bercakap soal kerjaya, Farah kini gembira dengan bidang pengacaraan yang diceburi, bermula dengan program permainan Durian Runtuh menerusi saluran Astro Ria dan @15 satu ketika dulu sebelum diteruskan dengan Rasa Halal Orient di Astro Oasis untuk empat musim.


Malah, program yang memaparkan keistimewaan makanan sekitar China itu sebelum melebarkan sayapnya ke India untuk musim kelima, mengekalkan Farah sebagai pengacara.


"Kini Farah muncul di TV9 pula menerusi rancangan Generasi Asli @1Malaysia yang memaparkan kisah kehidupan generasi baru masyarakat Orang Asli dan seronok ke perkampungan masyarakat itu di seluruh negara.


"Farah juga baru menerima tawaran sebagai hos tetap rancangan pagi TV9 iaitu Nasi Lemak Kopi O," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.


Bagaimanapun, Farah meluahkan rasa kesalnya terhadap dunia nyanyian yang terbantut selepas insiden operasi syarikat rakaman Maestro Records berkubur tahun lalu. Lebih menyedihkan, syarikat itu ditutup beberapa hari selepas album keduanya berada di pasaran.

Dia hanya sempat mempromosi lagunya ketika menyertai pertandingan Ikon Malaysia dan tidak dapat meneruskan kerja promosi kerana bimbang bercanggah dengan kontrak sebelum itu.


"Selepas Maestro Records dan Maestro Talent and Management ditutup, Farah sempat bernaung beberapa bulan sehingga Ogos 2009 di bawah Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).


"Memandangkan tiada aktiviti promosi album dilakukan sepanjang tempoh itu, Farah akhirnya membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan menguruskan diri sendiri dengan bantuan keluarga, khususnya bapa, Anuar Ali yang menguruskan Farah sejak tamat AF2," katanya kesal.


Mengakui dipantau keluarga adalah jalan terbaik mengelak kontroversi, dia bersyukur kerana sepanjang terbabit dalam dunia seni tidak pernah mengalami saat getir berdepan kontroversi serta cerita kurang enak yang sering menghantui ramai selebriti.


Malah, untuk bertemu kekasih pun dia lebih senang membawa adik-beradiknya untuk mengelak fitnah dan cakap-cakap belakang yang boleh membantutkan kerjaya seninya.


"Farah rasa ini jalan terbaik untuk sesiapa saja yang ingin menceburkan diri dalam dunia seni. Sekurang-kurangnya tindakan kita dipantau dan orang tak boleh membuat tuduhan sesuka hati kerana keluarga lebih tahu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: