Sunday, March 21, 2010

Cabaran Stephen

ENTAH dari mana datangnya, secara mendadak nama jejaka kelahiran bumi Eropah, Stephen Rahman-Hughes muncul di arena hiburan tempatan. Hadirnya penuh dengan publisiti dan dalam sekelip mata dia dikenali ramai.

pix_middle
pix_topright

Meskipun tidak fasih berbahasa Melayu dan kekok dengan kesenian silat, Stephen diangkat sebagai Hang Tuah menerusi teater Puteri Gunung Ledang (PGL).


Namun persoalannya, siapakah aktor berdarah campuran ini sehingga dijulang setinggi itu. Pertemuan dengannya baru-baru ini sempena persembahan eksklusif bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) selama tiga malam pada 12 hingga 14 Mac lalu merungkai latar belakangnya.


Malah, Stephen yang juga penyanyi kumpulan Teatro di United Kingdom (UK) sempat berkongsi cerita mengenai filem terbaru lakonannya yang kini dalam fasa pasca penerbitan, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).


Menerusi filem epik terbitan KRU Studios arahan Yusry Abdul Halim ini dia diundang sebagai teraju utama.

Bermula dengan pentas Istana Budaya, Stephen mengorak langkah sebagai pahlawan berketurunan Alexander Zulkarnain dalam karya bernilai RM8 juta itu.


“Saya mencipta nama sebagai penari dan penyanyi di UK. Berkat kesungguhan, saya berjaya menonjolkan diri apabila memegang watak Hang Tuah dalam PGL. Bukan sesuatu yang mudah ketika itu kerana saya langsung tidak memahami skrip.


“Maklumlah saya tidak fasih berbahasa Melayu, namun atas landasan ingin belajar dan menyahut cabaran, saya gagahkan diri mendalami naskhah itu supaya serasi dengan karakter yang dibawa. Ternyata, usaha itu berhasil dan peminat mula menghargainya sehingga pementasan PGL dilanjutkan ke siri ketiga.


“Pintu rezeki terbuka lagi apabila berpeluang beraksi sebagai pahlawan tersohor dalam HMM. Kemampuan saya sekali lagi teruji apabila filem ini epik ini menuntut saya mendalami hikayat lama.


“Saya juga perlu berdepan cuaca panas terik sehingga rasa tidak selesa sepanjang dua bulan setengah penggambaran di sekitar Terengganu. Tiga minggu sebelum penggambaran saya menjalani sesi latihan aksi lagak ngeri,” katanya.


Tidak hanya bersandar kepada rupa paras, aktor yang pernah menjadi pereka tari teater muzikal garapan Hans Isaac, Cuci The Musical ini cekal mencari kekuatannya. Malah jelas dari tinjauan mata kasar, Stephen tidak sesekali persiakan peluang yang terhidang depan mata.


Mengakui selesa biarpun terpaksa terbang meninggalkan bumi kelahirannya setiap kali menerima undangan lakonan atau nyanyian di Malaysia, Stephen merencana perjalanannya sebaik mungkin. Selain berhasrat mencari kediaman di Malaysia, Stephen berusaha mendalami Bahasa Melayu.

“Saya suka menyanyi, menari dan berlakon. Justeru, saya berharap dapat mengendalikan bengkel melatih generasi muda supaya mencintai bidang seni.


“Dalam bengkel itu nanti saya akan berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi perkara ini masih dalam perancangan dan sangatlah diharapkan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” kata aktor berusia 40 tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: