Monday, March 15, 2010

Tiada jalan singkat susut badan

GOLONGAN obes sering kali dipandang rendah dan sukar diterima dalam komuniti.

FINALIS...(dari kiri) Aaron Mokhtar, Martha, Carlo Miguel dan  David Gurnani muncul peserta peringkat akhir The Biggest Loser Asia.  David akhirnya diangkat juara keseluruhan.
FINALIS...(dari kiri) Aaron Mokhtar, Martha, Carlo Miguel dan David Gurnani muncul peserta peringkat akhir The Biggest Loser Asia. David akhirnya diangkat juara keseluruhan.

UBAH HIDUP...Zenny (kiri) dan Nadia berazam meneruskan gaya hidup  yang lebih sihat. DAMIETTA...lebih cergas dan sihat selepas turunkan berat badan.


Malah, golongan ini kerap menerima layanan buruk ketika berurusan dengan orang ramai lantaran saiz badan yang dianggap jelik bagi kebanyakan masyarakat.


Lebih buruk apabila mereka, terutama wanita, dilabel pemalas, kuat makan dan tidak pandai menjaga penampilan diri hingga sukar mencari pasangan.


Kenyataan itu diakui finalis The Biggest Loser Asia (BLA), Martha Lai yang menyifatkan sukar mencari teman lelaki kerana susuk tubuh gempal hingga mencecah 127 kilogram (kg).


"Saya baru berusia 19 tahun, tapi saya tidak dapat nikmati hidup seperti remaja lain.

"Ramai rakan-rakan di sekolah juga skeptikal dengan saiz saya. Keadaan itu menyebabkan saya hilang keyakinan diri dan tiada teman lelaki seperti yang lain.

"Saya juga tidak berani ke kolam renang atau pantai kerana segan berbikini. Biasanya saya cuma sarungkan seluar pendek dengan kemeja-T.


"Apabila melihat sekeliling, semuanya kurus dan saya rasakan hanya saya yang gemuk. Disebabkan keadaan itu juga, saya cuma boleh bekerja sebagai pembantu jualan di kedai haiwan kerana itu saja kerja yang tidak mementingkan berat badan.


"Saya mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badan kecuali gimnasium kerana saya tidak suka bersenam. "Ini termasuk diet jus nanas, susu protein dan pil kurus. Semuanya tidak memberi kesan hingga akhirnya saya putus asa dan meneruskan tabiat makan yang tidak sihat," katanya.


Sejurus tersiarnya hebahan mengenai program realiti BLA di saluran Hallmark, Martha sanggup terbang dari Hong Kong ke Singapura bagi menyertai uji bakat lalu terpilih sebagai peserta hingga ke peringkat akhir.


Kini, senaman bukan lagi musuhnya dan gadis ceria itu mula mengamalkan pemakanan sihat hingga berat badannya mula susut sehingga 87 kilogram (kg).


Peserta Singapura, Marilyn Tay pula berdepan risiko untuk hamil kerana berat badannya yang mencecah 158 kg. Marilyn, 30, diminta oleh doktor untuk menurunkan berat badan andai ingin memperoleh cahaya mata.


Sama seperti Martha, peserta yang tersingkir di minggu ke-12 itu juga mencuba pelbagai cara diet termasuk mengambil beberapa pil kurus namun ia lebih memberi kesan mudarat pada dirinya.


"Pil itu menyebabkan selera makan yang meningkat hingga berat badan saya juga naik. Apa jua yang disyorkan teman, saya sanggup mencubanya.

"Saya hanya mahukan hasil yang memuaskan hingga akhirnya saya penat dan muak dengan segala usaha itu.


"Jadi, peluang menyertai BLA adalah langkah tepat untuk membantu saya berubah dengan cara selamat. Tiada jalan mudah untuk kurus dan hanya senaman dan pemakanan sihat dapat membantu untuk mendapatkan hasil yang singkat.


"Ia sukar dicapai, tapi saya percaya dapat mencapai ke tahap berat badan sehingga sekurang-kurangnya 90 kg sebelum saya merancang untuk hamil," katanya dengan berat badan terkini 100 kg.


Damietta Parwati Sotyaningbumi Suryoputro, 28, juga menyifatkan senaman banyak membantunya menurunkan berat badan iaitu daripada 97 kg ke 88 kg.


Malah, senaman juga membuatkannya lebih cergas untuk menguruskan kanak-kanak berikutan kerjayanya sebagai guru tadika.

"Benar, golongan obes sentiasa dipandang rendah dan tidak diberi peluang untuk melakukan pelbagai perkara dalam hidup.

"Tapi tidak bermakna golongan ini perlu diketepikan kerana mereka juga manusia biasa, cuma hadir dalam pakej yang lebih besar dan tidak sihat.

"Saya akui menjadi salah seorang daripada golongan itu menyebabkan saya berasa rendah diri dan malu untuk berdepan orang ramai. Tambahan dengan kerjaya sebagai guru tadika, saya tidak mampu bergerak banyak kerana tidak larat.


"Selepas menyertai BLA, saya makin cergas dan bertenaga. Malah, kini saya sudah mampu berlari dan bermain bersama mereka. Badan saya juga rasa lebih ringan dan sihat, malah suami turut memberi sokongan dengan bersenam bersama di gimnasium.

"Cuma, saya tidak meletakkan sasaran untuk terus menurunkan berat badan kerana saya kini mengandung empat bulan," katanya yang mendirikan rumah tangga, tahun lalu.


Peserta Malaysia, Nadia Yusof, 32, bagaimanapun tidak berdepan diskriminasi daripada masyarakat di sekelilingnya kerana langsung tidak kisah dengan apa yang diperkatakan mengenainya.


"Saya tidak kisah dengan apa yang orang kata sebelum ini kerana tidak pernah merasakan mempunyai masalah dengan berat badan saya.

"Tapi rakan kerap menggesa saya menurunkan berat badan kerana saya terbabit dalam bidang jualan dan perlu tampil lebih menarik untuk meraih lebih banyak jualan.


"Senaman kini menjadi satu aspek penting dalam hidup saya. Walaupun saya tidak dapat ke gimnasium secara kerap, saya akan pastikan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu," katanya yang kini berjaya menurunkan berat badan sehingga 107 kg.


Sementara itu, pemenang saingan di rumah, Farrah Zenny Lyn Salihuddin, 19, turut menekankan senaman untuk mengekalkan keadaan tubuh yang seimbang.


Zenny antara 30 peserta keseluruhan BLA, namun tidak terpilih sebagai 16 teratas bagi menyertai kem bersama dua pelatih kecergasan, Dave Nuku dan Kristy Curtis.


"Gaya hidup saya berubah sejak berjaya menurunkan berat badan. Sebelum ini, ramai yang diskriminasi dengan berat badan saya tambahan karier saya sebagai penyanyi.


"Saya sering diperlekehkan kerana gemuk dan mereka tidak pandang serius dengan nyanyian saya. Jadi, saya meletakkan sasaran untuk hidup lebih sihat, sekali gus menurunkan berat badan sehingga ke tahap seimbang.


"Walaupun tidak berjaya menjadi 16 peserta kem BLA, saya berpeluang meneruskan latihan di luar bersama pelatih Fitness First," katanya.


Zenny berjaya mengurangkan 30 kg iaitu daripada 104 kg ke 74 kg.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: