Monday, March 15, 2010

Nina jadi isteri garang

KETIKA fotografi kali pertama bersama pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin atau Nina diadakan awal September tahun namanya belum dikenali ramai, tetapi dia sudah mula mencatat pencapaian peribadi dalam bidang seni.

KOMITED...Nina akui selesa bekerja di bawah produser David Teo.
KOMITED...Nina akui selesa bekerja di bawah produser David Teo.



Nina berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa selepas menang pingat emas kategori lakonan pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat yang berlangsung tahun lalu.

Menariknya, sebelum meraih kemenangan itu dia terlebih dulu dilamar produser MIG Production Sdn Bhd, David Teo untuk menjadi heroin di samping pelakon Esma Danial menerusi filem Santau.

Bak pepatah, tuah ayam nampak di kaki, begitu juga Nina yang meraih rezeki menjadi pelakon popular dalam tempoh singkat.


Pada sesi fotografi baru-baru ini, Nina hadir bersama pembantu peribadi (PA), Nhurdian Nordin atau Yan.

"Saya bukan iklan nak cari PA, tetapi saya dengan Yan bertemu di set lokasi penggambaran drama Jangan Tegur Lagi.

"Ketika itu, dia menguruskan 'wardrobe.' Dari situ, kami berkenalan dan rasa sesuai untuk berkawan rapat. Sebenarnya, saya tidak perlu sangat PA, tetapi niat saya mahu membantu dia sebagai kawan.

"Lagipun dia tidak kisah soal bayaran dan apa yang penting, saya memang perlukan kawan untuk bersama saya dan memberi sokongan pada karier seni.

"Buat masa ini, saya banyak menghabiskan masa bersamanya dan saya rasa lebih senang apabila ada yang menguruskan jadual kerja saya," katanya.


Perkembangan terbaru, Nina sibuk dengan penggambaran dua drama, Adnan Sempit The Series dan Adam Maya. Menerusi Adnan Sempit, dia melakonkan watak Ika yang juga isteri pada Macha lakonan Adib Fabulous Cats.

"Jika diikutkan dalam versi filem, watak saya dilakonkan Julia Hana dan suaminya, Cat Farish. Bagaimanapun, dari filem saya sudah tahu karakter watak ini.

"Pengarah (Ismail Bob Hashim) mahu saya jadi isteri yang tegas, garang dan ada ketika panas baran. Antara saya dengan Adib, kami tidak mempunyai masalah untuk mendapat keserasian dalam lakonan.

"Memang banyak adegan saya marah dia, tetapi kami tetap seronok berlakon sama.

"Menerusi Adam Maya pula, saya membawakan watak pelakon pembantu bernama iaitu Jasmin di samping pelakon Faizal Yusuf.

"Penggambaran Adam Maya sudah bermula, tetapi saya belum turun ke lokasi drama itu lagi. Masih menunggu jadual. Walaupun terbabit dengan dua drama, saya masih boleh menguruskan diri.

"Sebelum ini, saya pernah berdepan cabaran berlakon tiga drama sekali gus, Mama Murai, 43 Karat dan Jangan Tegur Lagi," katanya.

Selepas hampir setahun menimba pengalaman sebagai artis, Nina menyatakan dia belum berhasrat untuk bekerja dengan produksi lain.

Ketika ini dia selesa untuk terus berkhidmat sebagai artis residen MIG.

"Ada tawaran berlakon di luar yang saya terima, tetapi masih dalam perbincangan. Berkemungkinan penghujung tahun ini saya berhasrat berlakon teater anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Saya belum terfikir bekerja dengan produksi lain. Saya berasakan MIG bertanggungjawab dalam mengurus karier seni saya sejak mula hingga kini.

"Melihat pada perkembangan MIG yang terus menghasilkan pelbagai filem dan drama baru setiap tahun, saya yakin produksi ini memberi jaminan kepada kerjaya saya.

"Bagaimanapun, David pernah berkata pada saya, jangan terlalu mengharap kepadanya sebaliknya pelakon perlu bergerak sendiri untuk berjaya," katanya.

Nina berkata, impak Santau memberi kejayaan awal pada pencapaian seninya.

Biarpun filem itu sekadar raih RM3.8 juta, tetapi dia mendapat kata semangat daripada peminat menerusi laman sosial Facebook.

"Ada peminat yang tidak suka menonton filem Melayu mula minat semula selepas menyaksikan Santau. Bagi saya, debaran menyiapkan Santau seperti 'roller coster.'

"Filem ini adalah buah tangan Azhari Zain yang mempunyai gaya tersendiri dalam mengarah dan saya tidak berkecil hati dengan pencapaian filem ini, malah tetap gembira dengan respons yang diberikan peminat.

"Menerusi Santau, peminat mula mengenali saya. Apa yang kelakar, peminat lebih kenal saya tanpa solekan ketika di luar.

"Namun, selepas menjadi pelakon saya tetap jaga penampilan agar kemas sama ada di lokasi atau di luar. Perkembangan lain, kelmarin bertempat di KL Sentral saya turut hadir di lokasi uji bakat mencari peserta ke WCOPA.

"Saya bertanggungjawab dalam memberi penerangan pada bakal peserta yang ingin mencuba nasib.

"Saya tahu saya belum cukup bagus untuk mengajar peserta berlakon, tetapi saya boleh memberi panduan pada peserta mengenai prosedur pertandingan di sana," katanya.

Nina juga gembira apabila tercalon Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 pada tahun ini.

Katanya, dia melihat saingan lain iaitu Dira Abu Zahar, Yuna, Isma dan Tiz Zakiah cukup sengit, tetapi dia tetap bersyukur atas pencalonan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: