SIAPA yang tidak kecil hati apabila kerjayanya sebagai pelakon dijadikan bahan sindiran orang, apatah lagi setelah bergelar ibu tunggal yang menyara hidup anak.
Tetapi tiada siapa tahu kegigihan wanita bernama Maimon Abdul Muttalib, wajah yang sering kelihatan di kaca televisyen dengan pelbagai karakter, membesarkan lima anak — Kamarul Syahid, 32, Surayatul Nadia, 29, Surayatul Natasya, 22, dan kembar Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, 13.
Berilah watak putih atau antagonis, dia tidak pernah jemu menerima tawaran berlakon walaupun terpaksa meninggalkan anak di rumah, khususnya anak keduanya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Apa tidaknya, sejak kehilangan suaminya 13 tahun lalu, semua beban tergalas di bahunya walaupun ketika itu anak masih mengharapkan kasih sayang bapa.
Arwah suaminya, Keristifa Ahmad, meninggal dunia kerana demam denggi berdarah pada 31 Ogos 1997.
Pemergian Allahyarham secara mengejut memberi tamparan hebat kepadanya, apatah lagi anak kembar bongsu pasangan itu baru berusia lapan bulan.
Dia memerah segala tenaga demi kelangsungan hidup anak tersayang. Pendek kata, pernah satu ketika apa saja yang menambah pendapatan pasti tidak ditolak, termasuk menulis, mengandam, memasak dan berlakon.
Maimon sekali lagi diuji apabila Surayatul Nadia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Masih segar di ingatannya kejadian Nadia dimasukkan ke CCU (Unit Rawatan Kardiologi), dia berasa pelik apabila anaknya dipindahkan dari ICU (Unit Rawatan Rapi) ke unit itu sebelum dijelaskan doktor itulah ‘wad terakhir’, menyebabkan dia merasakan nyawanya bagai mahu melayang apabila mengetahui selain komplikasi buah pinggang, doktor mengesahkan paru-parunya bernanah.
“Ketika itu badannya ditebuk di sana sini, masa itu saya baru sedar siapa kawan dan siapa saudara, apatah lagi tak ramai datang menziarah dan tidak menjawab panggilan saya, menyebabkan saya ke hulu ke hilir mencari duit kerana Nadia perlu diselamatkan.
“Syukur masih ada yang sudi membantu termasuk rakan artis seperti Rozie Othman, Datuk Yusuf Haslam, Rosyam Nor, Maimunah Khadijah Ahmad (Mak Jah) dan Anne Abdullah. Paling mengharukan hati, Mak Jah cabut rantai yang tergantung di lehernya dan suruh saya menggadainya,” kata Maimon sebak.
Semua yang dilaluinya bagaimanapun terubat dengan ketabahan hati anaknya, sekali gus menguatkan lagi semangat seorang ibu untuk meneruskan perjuangan hidup sekeluarga.
“Ketika di hospital, Nadia menyatakan kepada doktor yang dia tidak boleh mati kerana perlu menjaga saya dan adik kembarnya.
“Kerana dialah semangat saya untuk terus berdikari lebih kuat dan tidak mahu mengharapkan sesiapa selagi kudrat saya masih ada,” kata Maimon yang turut menyifatkan Mak Jah banyak meniup semangat kepadanya untuk terus berjuang.
Jika artis muda sering dikaitkan dengan gosip cinta dan hal peribadi yang jelak didengar, pelakon seperti Maimon juga pernah tidak terlepas daripada buah mulut orang ramai, namun menyedihkan kerana cerita kurang enak ditimbulkan jiran berdekatan yang sering melabel pelakon sebagai insan tidak bermoral.
“Ketika itu masyarakat hanya tahu mengata apabila saya dihantar pulang pada tengah malam oleh kru atau teman produksi yang ada antara mereka lelaki, kononnya saya orang yang sering bertukar-tukar pasangan tanpa mengetahui hal sebenar.
“Ada kalanya saya benar-benar bermasalah untuk pulang jika tidak memandu sendiri, jadi ada yang bermurah hati menumpangkan saya, namun lain pula cerita yang timbul,” jelas nenek kepada seorang cucu ini yang bersyukur jiran terdekat mula memahami situasi sebenar.
Menurutnya, banyak kali dia mengalami kemalangan ketika memandu hingga kadangkala tiada kenderaan untuk ke lokasi, malah acap kali juga dia menggunakan kenderaan awam untuk melunaskan tugas.
Baginya, mahu tidak mahu dia terpaksa mencari jalan terbaik untuk sampai ke set penggambaran untuk tidak menyusahkan orang lain, apatah lagi dia perlu mencari rezeki bagi mengisi perut anak selain kos rawatan Nadia yang tinggi dan hutang perubatan masih banyak tertunggak.
“Mujur kedua-dua kembar saya pandai berdikari, malah langsung tidak boleh berenggang dengan kakak mereka yang tidak berapa sihat.
“Mereka juga bergilir-gilir menjaga Nadia. Bayangkan dengan usia masing-masing menginjak remaja, mereka tidak segan menukar lampin pakai buang ketika dia di wad,” ceritanya.
Baginya, kehidupan mereka semakin kukuh atas semangat masing-masing walaupun Nadia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dengan kos RM3,000 sebulan.
Dalam pada itu mereka bernasib baik mendapat bantuan Zakat Selangor, apatah lagi seminggu sekali Nadia memerlukan suntikan berharga RM800.
“Kadangkala terfikir selama mana agaknya saya larat mencari duit untuk bayar hutang dan sekolah anak, tetapi saya bersyukur kerana Allah bagi rezeki tak putus-putus, cuma selepas kemalangan beberapa kali saya mula rasa sakit badan, malah mata saya disahkan menghidap katarak dan perlu dibedah segera,” katanya.
Di sebalik kebolehan melakonkan pelbagai watak, barangkali tidak ramai tahu Maimon sebenarnya berbakat besar dalam dunia penulisan, malah karyanya pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah satu ketika dulu.
Selain itu ahli Kelab Penulis Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kebudayaan Selangor ini juga pernah menghasilkan beberapa skrip drama radio.
“Saya minat menulis sejak zaman sekolah. Alhamdulillah bakat ini sedikit sebanyak membantu saya meraih lebih pendapatan untuk membesarkan anak. Cuma sekarang saya tidak cukup masa untuk menulis kerana sibuk di lokasi penggambaran.
“Ada juga beberapa teman pengarah minta saya hasilkan skrip, tetapi saya tidak sempat. Insya-Allah bila tiba masa sesuai saya akan kembali rancak menulis,” katanya sambil menunjukkan keratan cerpen dan puisi yang disimpan kemas dalam beberapa fail.
Terbaru, Maimon diberi kepercayaan oleh pengarah Afdlin Shauki melakonkan watak pengetua dalam filem Appalam yang diinspirasikan daripada filem Papadom, selain filem Andartu Terlampau yang menunggu giliran tayangan selain Cinta Semerah Stiletto terbitan Metrowealth.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: