Monday, March 15, 2010

Tasha kagum fesyen tradisional




SAMA seperti gadis-gadis lain, Tasha gemar menyarung seluar denim dan kemeja T. Sesekali jika ingin tampil kelainan, dia memakai top bercorak atau pun dress ringkas yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini.

Namun di sebalik arus fesyen semasa yang sering diikutinya, cinta Tasha terhadap seni busana tradisional tak mampu ditolak.

"Kebiasaannya, orang muda gemarkan rekaan moden. Jadi saya ingin menongkah arus dan mempertahankan seni warisan kita dan memilih menjadi pereka busana tradisional," kata pemilik nama penuh Nathasha Mohd. Fadzil ini.

Tujuh tahun berkerja di bawah bimbingan pereka busana tradisional tersohor negara, Salikin Sidek memberi pengalaman amat bernilai bagi gadis yang dibesarkan di kota metropolitan ini.

"Sejak di bangku sekolah menengah lagi, saya gemar membelek majalah fesyen dan amat meminati rekaan Salikin. Kerana itu selepas tamat pengajian, saya tidak teragak-agak memohon untuk berkhidmat di butiknya," kata beliau.

Menurut Tasha, minatnya yang mendalam terhadap kain songket membawanya untuk terus setia bersama pereka tersebut.

Biar himpunan fesyen moden dan kontemporari terus mengasak, Tasha yakin khazanah busana tradisonal negara ini tetap ada penggemarnya tersendiri.

"Sebenarnya agak sukar untuk menghasilkan busana tradisional seperti kebaya klasik, kebaya Pahang, kurung pesak dan sebagainya. Di sinilah terletaknya kreativiti seorang pereka fesyen dalam menghasilkan sepasang baju tradisional yang tidak hilang nilai aslinya tetapi dalam masa yang sama tetap kelihatan menawan," kata pemegang diploma rekaan fesyen dari Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC).

Dalam menghasilkan sesuatu fesyen, Tasha menekankan konsep ringkas dan minimalis namun pada masa yang sama tetap elegan dan menawan.

"Perincian akhir sangat penting. Contohnya perhiasan labuci dan manik, jika tidak kena maka fesyen tersebut hilang nilai tradisinya," katanya lagi.

Ditanya mengenai rekaan moden, Tasha memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk menghasilkannya.

Beberapa rekaan yang pernah dihasilkan mempunyai gabungan unsur moden dan tradisional seperti dress labuh untuk pengantin menggunakan fabrik songket yang dipadankan dengan kebaya pendek jarang.

"Bagi saya, fesyen tradisional tetap di hati dan ia tidak lapuk ditelan zaman," ujar Tasha yang bercita-cita ingin memiliki butik sendiri dan menjadi antara pereka tersohor negara suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: