Monday, March 1, 2010

Syida bangga kuasai seni jahitan, sulaman


Tudung bawal bersulam kerawang yang bermotifkan Baba dan Nyonya.


SYAHIDA atau lebih mesra disapa dengan panggilan Syida pernah diberi pilihan oleh bapanya, Ramli Hussain sama ada mahu belajar memasak atau menjahit.

Pertimbangannya - memasak agak renyah, sedikit kotor dan memenatkan. Manakala menjahit menuntut kemahiran seni menggunakan jarum dan benang.

Bagi Syida, 31, bidang jahit-menjahit lebih menarik lantaran skil yang dipelajari boleh mendatangkan pendapatan sampingan.

Rentetan daripada itu, seawal usia 10 tahun Syida meneroka seni jahitan daripada ibu saudaranya, Zabidah Kassim. Kebetulan ketika itu beliau tinggal bersama ibu saudaranya di Kota Bharu. Di situ bermulalah 'percintaan' Syida dengan dunia jahitan.

Pelbagai seni dan rekaan jahitan dipelajari. Nilai yang dipelajari sepanjang mendalami seni jahitan adalah ilmu tersebut menjadikan beliau lebih teliti dalam semua kerja.

Anak kelahiran Melaka itu menarik perhatian mengenai teknik sulaman Vietnam dan Thailand yang turut dipelajari oleh beliau.

Berkongsi pengalaman, Syida memberitahu, sama ada bermotifkan bunga-bungaan atau corak moden dan kontemporari, teknik sulaman dari kedua-dua negara itu sememangnya menepati cita rasa masyarakat masa kini.

Syida juga berpeluang memahirkan teknik mengait sama ada untuk sulaman nyonya atau tradisional yang diwarisi daripada ibu saudara sepanjang tinggal bersamanya.

Kreativiti Syida dikembangkan bukan untuk jahitan baju kurung biasa, malah menjurus kepada alat perhiasan wanita seperti cekak rambut, baju T dan aksesori berasaskan manik.

Ketaksuban terhadap seni halus itu membulatkan hatinya untuk menjadikan jahitan sebahagian daripada darah dagingnya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam ini tidak pernah melupakan minatnya itu meskipun menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2003.

Anak ketiga daripada lima beradik ini sememangnya bijak membahagikan masa antara minat dan tanggungjawab meskipun sibuk dengan urusan kuliah dan tugasan yang diberikan pensyarah.

Beliau juga bersyukur kerana suami Md. Raffae Md. Salleh, 34, merestui minatnya itu.

''Dia adalah pengkritik paling rapat dan 'bank' bergerak saya dalam memastikan minat saya sentiasa dikembangkan,'' ujarnya jujur.

Ibu kepada dua anak bertuah kerana berpeluang mewarisi seni kebanggaan bangsa yang semakin dilupakan itu. Apatah lagi pada zaman moden ini kerja-kerja halus sebegitu sering dipinggirkan oleh orang muda sepertinya.

Pada masa yang sama, beliau berjanji untuk menurunkan ilmu kepada dua orang permata hatinya.

''Mereka juga berpeluang untuk menerima pusaka warisan bangsa seperti diri saya,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: