Friday, March 12, 2010

'Baju kurung ada harganya'

SEINDAH namanya begitulah juga paras rupa pemilik nama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali.

pix_middle



Masih menghijau kata orang kalau hendak diukur pengalamannya dalam bidang seni, namun dia antara artis baru yang bertuah kerana menempa laluan mudah untuk dikenali.


Ana, 24, menarik perhatian ribuan penggemar seni suara kerana keunikan vokal dan bermain gitar sambil memakai baju kurung. Imej itu tampak ironik jika dibandingkan dengan remaja lain seusianya.


Jika ramai yang lain menganggap baju kurung lebih sesuai dengan wanita bertudung, diperagakan di majlis keramaian mahupun pada hari tertentu, Ana tidak pula berfikiran sedemikian.


Malah baginya, 'pemikiran indie' Ana akhirnya meletakkan baju kurung dalam imejnya sebagai artis baru yang mencuba nasib dalam bidang seni.

"Saya tidak pernah menganggap baju kurung itu sebagai baju orang kampung. Kalau orang kampung pun apa salahnya, sebab ramai di antara kita dan ibu ayah kita berasal dari kampung, bukan?

"Bagi saya setiap pakaian itu ada nilai harganya apatah lagi baju kurung itu sangat sinonim dengan Melayu. Biarlah pakaian ini menjadi imej saya," katanya kepada Rap ketika ditemui di Pulau Pinang, baru-baru ini. Dia ke sana bagi menjayakan program Hot FM Big Jam.


Dalam sesi fotografi sekitar jam 10.40 pagi di pesisiran pantai Batu Ferringhi, itu Ana tampak sangat manis persis mawar desa.

"Sebenarnya bukan sepanjang masa saya berbaju kurung. Saya sebenarnya tak kisah kalau diminta bergambar bersama kebaya atau pario. Saya juga selalu bergaya dengan jeans dan kemeja-T.

"Cuma untuk persembahan di pentas, saya lebih suka imej berbaju kurung. Mudah sangat, sarung saja dah OK. Saya bukan bergaya seperti ini bukan untuk dijadikan ikutan, tapi kalau ada yang ikut sama terutama remaja, saya dah cukup gembira.

"Pernah dalam satu persembahan, sekumpulan remaja perempuan memakai baju kurung dan mereka kelihatan sangat comel," katanya.


Keunikannya Ana berbaju kurung terbukti menarik perhatian pemilik butik seperti Beau Couture, Ariff Shukor dan Chery Gallery untuk menaja pakaiannya sama ada untuk persembahan mahupun fotografi.


Menyingkap serba sedikit latar belakang Ana, gadis yang memasang cita-cita menjadi saintis ini adalah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).


Sedari kecil, Ana sudah menunjukkan minat mencipta lagu dan bertambah serius lima tahun lalu apabila Ana mula memiliki gitar yang dipelajari hanya dengan berpandukan buku.

Gadis cantik ini melihat muzik sebagai satu cara mengeratkan hubungan antara manusia tanpa mengira warna kulit.


Rezeki berpihak kepada Ana apabila nyanyiannya memikat komposer Aidit Alfian sehingga mengambilnya sebagai artis rakaman Artis Alfian Records. Dua tahun bernaung di bawah syarikat itu akhirnya keinginan Ana melihat albumnya berada di pasaran bakal tercapai tidak lama lagi.


Buat masa ini single Hujan Bunga Di Kuala Lumpur mendapat sambutan memberangsangkan dan kerap diputarkan di radio.


"Alhamdulillah, sokongan diberikan stesen radio terhadap lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur cukup memberangsangkan. Selain media elektronik, media cetak juga rata-rata memberi laporan yang cukup positif buat saya.


"Ia memberi perangsang kepada saya untuk menghasilkan lebih banyak lagu yang lebih baik pada masa akan datang. Terus terang saya tidak menyangka lagu itu akan menjadi hit kerana lagu itu antara yang pertama saya hasilkan.


"Berhubung kemunculan album pertama saya yang bakal dipasarkan tidak lama lagi semua lagu dan lirik ditulis saya sendiri. Asas muzik adalah pop tapi saya turut selitkan beberapa elemen lain.


"Untuk album pertama ini saya memilih muzik yang memenuhi kehendak pendengar tempatan dan mengenai lirik pula, saya suka bermain dengan perkataan," katanya.

Meskipun berkemampuan menghasilkan lagu sendiri, Ana sebenarnya tidak keberatan untuk berkolaborasi dengan komposer yang berpengalaman.

"Walaupun selesa menulis lagu sendiri, itu tidak bermakna saya tak pernah ada keinginan untuk bekerjasama dengan komposer berpengalaman.

"Banyak ilmu dapat ditimba apabila bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman lebih-lebih lagi artis baru seperti saya yang kena banyak belajar lagi.


"Saya tidak pasti sama ada saya layak untuk mengatakan ini atau tidak, tetapi jika diberi peluang saya mahu bekerjasama dengan komposer tersohor, M Nasir," katanya.

>Profil
NAMA PENUH: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
NAMA KOMERSIAL: Ana Raffali
TARIKH LAHIR: 4 November 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kesembilan daripada 11 beradik
KARIER: Penyanyi dan penggubah lagu
PENDIDIKAN: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL
(Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
MUZIK YANG DIGEMARI: Rock, alternatif, pop & klasik
ALAT MUZIK: Gitar Martin & Co 000-15
IDOLA: M Nasir
LAGU CIPTAAN: Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Mekanika, Cuba Jangan, Ketika Aku Kecil, Ingatkan Aku, Tingkap Kaca, My Darling, Ghost, Lovely Lovely Scene dan Paint Me

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: