Sunday, March 7, 2010

Siapa bakal Raja Lawak 4?




SETELAH sembilan minggu beradu nasib di atas pentas Raja Lawak (RL) musim keempat, malam ini bakal menentukan siapakah yang layak diangkat sebagai Raja Lawak seterusnya membawa pulang hadiah lumayan yang disediakan.

Siapakah di antara Idlan, Alex dan kumpulan Kecik yang akan mengikut jejak langkah Yus, Nabil dan Kumpulan Sepah menjuarai program yang disiarkan secara langsung di Astro Prima itu?

Masing-masing dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang walaupun ramai yang menjangkakan Idlan dan kumpulan Kecik mampu menyapu gelaran Raja Lawak seterusnya membawa pulang sebuah Naza Sorento dan hadiah iringan lain.

Namun kekuatan yang ada dalam diri Alex juga tidak harus dipandang sepi kerana jejaka yang menginjak usia 28 tahun itu tidak pernah kurang idea setiap minggu.

Malah Alex juga dilihat sebagai antara pelawak yang boleh membuat persembahan secara sendirian tanpa bantuan orang lain.

Adat pertandingan, itu bukanlah ukuran untuk Alex boleh mendabik dada walaupun saban minggu menampilkan jenaka-jenaka baru yang kadang kala tidak terfikir oleh penonton.

Kekuatan kumpulan Kecik juga tidak terbatas setakat itu sahaja. Hubungan antara Achoe dan Wan bukan sahaja serasi malah saban minggu menampilkan lawak yang dinanti-nantikan oleh penonton.

Dengan tubuh badan yang sedikit kecil, Achoe dan Wan tidak kering dengan idea-idea memandangkan mereka mempunyai dua otak yang saling bantu membantu.

Berlainan pula dengan Idlan. Watak Abang Kasim yang dibawa saban minggu menambahkan lagi kekuatan anak jati Kulim, Kedah ini dalam mengharungi malam akhir yang penuh debaran.

Apa agaknya yang akan jadi jika watak Abang Kasim dibuang terus dari diri Idlan? Adakah dia akan berjaya menempuhi cabaran sebagai pelawak atau terus tersungkur tanpa berita nanti.

Sampai bila Idlan akan bergantung kepada kekuatan Abang Kasim? Adakah dia mampu berdiri di atas pentas tanpa Abang Kasim?

Gementar malam akhir

“Saya sedikit gementar memandangkan ini merupakan pentas akhir. Sudah pasti semuanya perlu mengikut perancangan dan saya tidak boleh melakukan kesilapan.

“Kalau cakap soal tekanan, memang saya tertekan. Penonton mahu yang terbaik dan itu yang membuatkan saya stres. Tapi saya sudah pastikan jalan cerita dan persembahan saya akan membuatkan anda semua ketawa,” katanya Idlan.

Menginjak usia 21 tahun, ternyata masih banyak lagi yang perlu dipelajari oleh Idlan memandangkan bukan senang untuk menjadi seorang pelawak memandangkan semua itu memerlukan ilmu pengetahuan.

Jelasnya, bergerak secara solo bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia tidak boleh tersalah langkah.

“Kalau berkumpulan agak mudah. Pasangan kita boleh membantu jika kita buat silap. Tapi apabila berada di pentas seorang diri, saya tidak boleh langsung melakukan kesilapan.

“Bila terjadi masalah teknikal itulah yang membuatkan saya rasa tidak dapat menumpukan perhatian. Harap-harap malam ini semuanya akan berjalan seperti yang diharapkan,” ujarnya lagi.

Kami mahu menang - Kecik

“Siapa yang tak mahu memang? Kami nak memang. Rumah saya ke tempat uji bakat lebih kurang 100 kilometer. Punyalah susah nak datang uji bakat sebab tak ada banyak duit.

“Makan pun kena kongsi tambahan nak sewa bilik lagi semata-mata nak datang uji bakat Raja Lawak di Kota Kinabalu. Tak kan dah berada di malam akhir kami tak mahu menang pula,” kata Wan lagi.

Adat sesebuah pertandingan, tidak semua minggu berjaya ditakluk dengan jayanya. Bagi kumpulan Kecik, minggu Retro Hitam Putih merupakan

minggu yang paling mendukacitakan mereka.

Bagi Achoe pula, berada berdua di atas pentas sememangnya memberikan kelebihan kepada mereka memandangkan masing-masing boleh membantu satu sama lain seandainya melakukan kesilapan.

“Setiap minggu kami cuba memberikan yang terbaik. Walaupun pada awalnya agak sukar untuk menjangka selera penonton memandangkan kami orang Sabah.

“Dialek yang berbeza sedikit sebanyak membuatkan kami tertanya-tanya adalah orang Semenanjung faham apa yang kami cakapkan.

“Sekarang sudah minggu ke 10 dan pastinya sedikit sebanyak kami tahu apa yang hendak dilakukan. Banyak pelajaran yang kami dapat sepanjang sembilan minggu ini terutama dalam meningkatkan lagi kualiti lawak yang kami persembahkan,” kata Achoe lagi.

Lawak intelektual paling sukar

Setiap minggu peserta yang berasal dari Papar, Sabah ini tidak menghampakan penonton dengan lawak-lawak ‘cerdik’ yang dipersembahkan. Namun itu sebenarnya bukanlah jaminan untuk dirinya mendapat laluan yang mudah.

“Berada di pentas akhir membuatkan jantung saya sangat berdebar. Bukan apa bimbang apa yang dipersembahkan lagi tak dapat diterima penonton dan paling mengecewakan jika penonton tidak ketawa.

“Kesemua peserta akhir mempunyai kekuatan masing-masing dan saya tak kisah siapa antara kami yang akan menang. Itu semua bergantung kepada undian.

“Saya tak rasa wujudnya persaingan antara kami kerana apa yang paling penting saya bersaing dengan diri sendiri.

“Semua orang nak memang. Saya juga mahu menang. Tapi kalau boleh biarlah saya memang dengan mempamerkan lawak intelektual. Walaupun itu bukan mudah, tapi saya yakin dapat mempamerkan yang terbaik nanti,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: