Sunday, March 7, 2010

Jangan ambil serius – Johan




Orang tak kenal sapa Johan Raja Lawak. Macam-macam cerita buruk keluar tentang saya. Apa nak buat. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Jadi saya buat tak tahu saja apa yang telah ditulis oleh pihak media massa terhadap diri saya," kata Johan ketika diminta mengulas cerita yang kononnya dia mula buat hal dengan media sejak akhir-akhir ini.

Johan sebelum ini dikatakan tidak berpuas hati terhadap media kerana sering kali menceritakan kisah buruk dirinya.

Malah pelawak itu juga dikatakan tidak memerlukan lagi wartawan dan memperlekehkan kerja wartawan kepada orang disekelilingnya.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Johan berkata dia ada mengeluarkan kenyataan tapi bukanlah seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

"Saya ni suka bergurau. Orang yang rapat dengan saya akan tahu cara saya bergurau. Kalau kena perli atau kena kutuk tu memang cara saya bergurau. Tapi semua itu dalam nada yang melawak dan tak patut diambil serius.

"Saya ni pelawak. Cari makan buat lawak. Orang jumpa saya je mesti nak melawak. Orang yang mengenali Johan dalam televisyen dengan Johan yang sebenar lain.

"Apabila ada yang melaporkan sebegitu kepada pihak wartawan, saya hanya diam sahaja. Tak kisah apa dia nak tulis. Tapi saya yakin sumber yang digunakan bukan lagi original. Entah berapa orang dah sampai menyampai dan cerita itu jadi lain.

"Biarlah orang nak tulis apa pun. Saya tak kisah. Nanti kalau dia tak tulis cerita tak boleh cari makan pulak. Siapa yang susah?," katanya sambil ketawa yang sarat dengan perli.

Dalam masa yang sama, Johan juga menafikan kenyataan yang mengatakan dia tidak memerlukan wartawan. Baginya hubungannya dengan wartawan di Malaysia masih lagi baik dan tidak seperti yang dilaporkan.

Kata bapa kepada satu anak ini lagi, dia memohon ampun dan maaf sekiranya mengguris hati mana-mana pihak memandangkan dia juga manusia biasa yang sering melakukan kesilapan.

Cuma apa yang dikesalkan apabila ada pihak yang langsung tidak mengenali dirinya terus menghentam tanpa bertanyakan dahulu kebenarannya.

Bercerita mengenai hal peribadi, Johan yang menginjak usia 26 tahun bertuah kerana dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia tambahan pula baru menerima kehadiran orang baru.

Mohammad Saddiq Hainana yang menjadi penyambung cinta antara dirinya dan isteri, Ozlynn Wati begitu dinanti-nantikan olehnya selama ini.

"Alhamdulillah, anak saya sudah semakin membesar dan sihat. Sebagai bapa muda sudah pasti saya gembira dengan kehadirannya yang menambahkan seri rumah kami.

"Tak tau nak gambarkan macam mana. Ibarat teruna teruja dapat anak. Macam tak percaya sudah ada anak sehingga kini. Orang selalu tanya, apa perubahan selepas jadi bapa? Tak ada apa-apa yang berubah sebenarnya. Cuma tanggungjawab itu semakin berat sahaja.

"Dulu cari makan untuk isi mulut sendiri. Sekarang cari makan kena isi untuk tiga perut. Itu bukan satu bebanan tapi satu pengalaman baru yang saya," katanya lagi.

Pengacara bersama rancangan Jozan itu juga bersyukur kerana ramai yang memberikan bimbingan, dorongan dan nasihat kepada dirinya sejak dahulu lagi.

"Orang bercerita perihal saya sejak dahulu lagi. Sebelum kahwin sehinggalah selepas kahwin. Dah dapat anak pun masih ramai lagi yang cakap bukan-bukan tentang saya.

"Tak mengapalah. Saya tahu apa yang saya buat dan biarlah apa yang orang nak cakap," luah Johan lagi yang berkeras tidak mahu gambar anak sulungnya dirakamkan buat masa sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: