Sunday, March 7, 2010

Mana nak cari duit RM2juta?


Saat-saat manis, Nabil bersama pelakon-pelakon lain bersama Aminah (paling kanan) meraikan kemunculan filem sulungnya di pawagam.


TAK habis-habis lagi. Ingatkan bila sudah meminta maaf atas keterlanjuran kata, isu yang melibatkan juara Raja Lawak musim kedua ini berakhir. Rupa-rupanya dia tetap disaman dek kerana kelancangan mulutnya mengkritik filem sendiri.

Walaupun sudah mencapai kutipan RM2 juta lebih pada minggu lalu, Nabil tetap disaman oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, SDAF Pitcures (M) Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Masih terkejut dengan tindakan pihak syarikat tersebut, Nabil ketika ditemubual pada Khamis lalu mengesahkan, dia belum menerima sebarang notis saman seperti mana yang dilaporkan media sebelum ini.

Walau apapun, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata naik mahkamah.

Bagi Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 27 tahun, dia sedikit terkejut dengan tindakan syarikat tersebut yang bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya walaupun filem itu tidak mengalami kerugian.

"Tak boleh nak komen lebih-lebih. Surat saman pun saya belum terima. Tak tahu apa yang terkandung dalam surat saman tersebut. Lagipun peguam sudah menasihati saya supaya tidak mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Tapi masalahnya saya sendiri tak tahu nak cakap apa. Kena saman RM2 juta. Dalam akaun saya tak ada duit sebanyak itu pun.

"Saya tak kisah jika kenyataan saya sebelum ini membuatkan filem itu rugi. Tapi masalahnya filem itu untung dan kenapa nak saman lagi?

"Kalau tanya peribadinya, saya melihat isu ini bukan sesuatu yang serius. Ini hal remeh-temeh dan terlalu subjektif untuk diperkatakan. Kalau nak kira memang tak masuk akal.

"Tapi apa boleh buat. Dah itu keputusan mereka, saya tunggu sahajalah," jelasnya kepada Pancaindera.

Jika disorot kembali laporan akhbar yang dibuat oleh Aminah sebelum ini dia turut menyatakan Nabil gagal menghadiri promosi filem pertamanya walaupun memahami jadual kerja pelakon itu yang padat.

Aminah dilaporkan berkata dia tidak meminta Nabil datang kesemua lokasi promosi tetapi cukup sekadar dia datang tunjuk muka sahaja. Jelasnya lagi Pengarah Pengurusan SDAF banyak kali menghubungi Nabil dan pengurusnya tetapi hampa.

Ketika ditanyakan kepada Nabil, dia memberitahu jadual kerjanya untuk tahun ini memang terlalu padat namun itu mengapa tidak ada ruang perbincangan yang diminta oleh pihak pengurusan sebelum mengeluarkan dakwaan itu.

Dirancang"Kalau diikutkan filem ini sepatutnya siap pada tahun 2009. Jadi saya sudah menyusun jadual untuk promosi filem ini pada tahun 2009 sedangkan jadual tahun 2010 sudahpun dirancang sejak awal lagi.

"Tapi bila filem ini tergendala sehingga 2010 macam mana saya nak masukkan ke dalam jadual tahun ini sedangkan banyak aktiviti lain yang telah dirancang sejak tahun lepas lagi?

"Memang ada perbincangan mengenai perkara itu. Saya sedar saya tak ada kontrak hitam putih apa yang telah dipersetujui antara saya dan mereka. Apa yang boleh saya buat?," jelasnya.

Dalam nada yang kecewa, Nabil tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya langsung tidak diendahkan pihak berkenaan.

"Siapalah saya? Orang macam saya ni kalau bercakap tak pernah betul. Hanya 'raja lawak' yang orang tak pedulikan, mereka tak endah.

"Sebelum ini pun saya dah keluarkan kenyataan dalam akhbar yang saya memohon maaf. Rasanya saya dah buat apa yang patut saya lakukan.

"Tapi selepas meminta maaf dalam akhbar, mereka tetap nak saman saya. Apa yang saya kesalkan kenapa saya orang yang terakhir tahu saya disaman? Mereka mengeluarkan kenyataan di media massa kata mahu menyaman saya sedangkan saya tak tahu menahu.

"Ini yang dinamakan profesional? Kenapa tak panggil atau telefon saya berbincang dahulu. Bagi tahu apa yang patut saya lakukan. Mungkin nak kerja senang kot.

"Saya juga tak mahu cakap lebih-lebih. Surat saman tak sampai tapi dah heboh keluar surat khabar. Saya juga tak mahu memburukkan lagi keadaan," katanya.

Rezeki di tangan Tuhan. Nabil tidak menganggap ini merupakan titik akhir kepada karier seninya memandangkan banyak lagi perancangan lain yang sudahpun diatur sepanjang tahun 2010.

Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan ini, tidak ada istilah serik dalam dirinya tetapi apa yang telah berlaku benar-benar membuat dirinya berhati-hati dalam setiap langkah.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Nabil yakin peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini dapat menilai apa yang terjadi kepada dirinya dan tidak berterusan menyalahkan dirinya.

"Semua orang boleh berfikir apa yang baik dan buruk. Saya tak rasa kes ini akan menyebabkan peminat saya lari. Saya cari makan dalam bidang ini. Ini punca rezeki saya. Apa pun yang terjadi saya tetap teruskan karier yang saya bina," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: