Monday, March 15, 2010

Sepi seorang seniman


HOBI M. Rajoli menyanyi dan memetik gambus.


HASRAT untuk mengunjungi seniman tersohor, M.Rajoli yang terlantar di rumahnya setelah menjalani pembedahan penyakit limfoma (kanser kelenjar di otak) tertunai baru-baru ini.

Sepanjang perjalanan dari pejabat ke rumah seniman itu penulis tertanya sendirian apakah Uncle M (panggilan mesra M. Rajoli di kalangan pelakon dan wartawan) masih mengenali penulis.

Persoalan itu tercetus kerana pada awal 2008 ketika menziarahi beliau di Hospital Ampang, M. Rajoli masih mengenali orang yang mengunjunginya walaupun kadangkala dia kelihatan sangat penat untuk melayan pertanyaan.

Sebaik lif yang dinaiki sampai di tingkat lima rumahnya, hati penulis secara tiba-tiba menjadi sayu.

Dari jauh penulis dapat rasakan betapa suramnya rumah yang suatu ketika dulu sangat berseri dan ceria dengan tawa dan lawaknya.

Lebih-lebih lagi ketika menyambut kedatangan tetamunya, M. Rajoli merupakan orang yang paling sibuk meraikan tetamunya.

Tetapi, kunjungan penulis kali ini sangat berbeza.

Kehadiran penulis dan jurugambar disambut oleh anak sulungnya, Siti Zaleha, 34, dan isteri pertamanya, Hashimah Mohd. Din, 55.

Sebaik kaki melangkah ke rumah itu, mata penulis terpandang pada sebuah katil di sudut kanan rumah berhampiran tingkap pangsapuri itu.

Bibir bagai terkunci dan air mata hampir menitis sebaik melihat tubuh kurus seorang lelaki dengan mata yang cukup layu. Dia hanya memerhati penulis dari jauh.

Hati ini benar-benar terusik melihat keadaan M. Rajoli. Wajah tua yang suatu ketika dulu membuat peminat drama ketawa melihat lakonannya, insaf mendengar dakwahnya kelihatan begitu menyedihkan.

Dia benar-benar tidak bermaya. M. Rajoli kini hanya menghabiskan masa di katil ditemani isteri, anak-anak dan cucu-cucunya.

Bahkan, apa yang turut menyedihkan juga ialah, saban hari, dia lebih banyak membisu. Barangkali, mulutnya ingin berbicara dan berkongsi rasa.

Namun, apakan daya, dia benar-benar tidak berkemampuan.

Gambarnya yang tergantung megah di dinding rumahnya bertujuan memberi semangat kepada seniman itu, nampaknya tidak memberi kesan apa-apa.

Kehadiran siapa pun, tidak kira anak, cucu atau kenalan dalam bidang lakonan hanya disambut dengan pandangan mata yang kosong dan membisu.

Tiada sepatah kata yang diberikan, selain merenung wajah-wajah yang datang.

Jika wajah itu pernah dikenali suatu ketika dulu, kita akan dapat melihat betapa sayu pandangannya seolah-olah menceritakan derita yang ditanggungnya!

Kehadiran penulis dengan memberi salam tidak mendapat apa-apa jawapan daripadanya.

Bagaimanapun, hati penulis benar-benar tersentuh mendengar reaksi M. Rajoli sebaik memperkenalkan diri.

"Kenal...kawan lama..." itu jawapan yang terpacul dari mulut pelakon itu kepada penulis dalam nada suara tersekat-sekat.

M. Rajoli bagi sebilangan kita memiliki bakat seni yang luar biasa. Berikan apa saja watak kepadanya, dia boleh melakonkannya dengan baik sekali.

Seniman itu mula menceburi bidang lakonan selepas diundang dalam satu babak membaca talkin dalam filem Esok Untuk Siapa arahan Tan Sri Jins Shamsuddin pada tahun 1975.

Bagaimanapun, kemunculannya dalam filem Matinya Seorang Patriot (1983) mencetus debat di kalangan ramai.

Masakan tidak, dalam filem itu, M. Rajoli melakonkan watak seorang lelaki yang sedang berfoya dan minum sehingga mabuk sedangkan ketika itu dia merupakan imam di salah sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Namun begitu, itu hanyalah cerita 27 tahun lalu.

Kini, kegemilangan yang pernah dikecapi oleh ayah kepada empat orang anak, Siti Zaleha, 34, Nur Muhammad, 33, Siti Nazirah, 27 dan Mohd. Ariff, 23 tahun serta suami kepada Hashimah Mohd. Din, 55 dan Wan Chik, 70, sudah tidak memiliki kudrat lagi.

Biar bergelar anak seni, namun ketaatan beliau pada ajaran agama tidak mampu sesiapa nafikan.

Lebih 14 tahun mengenalinya, M. Rajoli seorang seniman bersifat ceria.

Barangkali, ramai yang tidak tahu, beliau sentiasa berpuasa sunat selama tiga bulan sebelum menyambut ketibaan Ramadan. Beliau juga sering aktif memberi kuliah Subuh.

Seniman veteran itu mula dikesan mengidap penyakit tersebut pada bulan puasa 2007.

Ketika itu M. Rajoli menjalani penggambaran drama Sinar Qayyum di Perlis.

Beliau yang tidak henti-henti menerima tawaran berlakon kerana bakat semula jadi yang dimiliki, tiba-tiba terbaring dan tangannya tidak boleh bergerak menyebabkan dia tidak mampu menukar baju untuk menjalani babak seterusnya.

Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur, M. Rajoli disahkan mengidap limfoma dan memerlukan pembedahan segera.

Pembedahan dilakukan pada 11 November 2007 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Selepas pembedahan membuang ketumbuhan di otak, M. Rajoli menjalani rawatan kemoterapi sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, selepas pembedahan terdapat komplikasi lain sehingga menyebabkan M. Rajoli tidak boleh berjalan lagi.

"Selepas pembedahan ayah boleh jalan, tapi selepas darah ayah dan air tulang belakang diambil untuk tujuan uji kaji ayah dah tak boleh berjalan lagi.

"Selepas itu, enam bulan ayah dibawa menjalani fisioterapi tetapi apabila kami tengok tidak ada perubahan, kami terus hentikan," cerita Siti Zaleha yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Perak yang turut menziarahi ayahnya pada hari kunjungan penulis.

Sejak dihentikan fisioterapi pada 27 Mac tahun lepas, bermulalah detik dan dunia harian M. Rajoli di katil besi itu.

Setiap hari, dia hanya mampu memandang sekelilingnya. Penderitaan yang dialami membuatkan beliau enggan memberi sebarang maklum balas.

Setiap hari beliau hanya menghabiskan masanya terbaring di katil besi memandang kosong tembok dan lelangit pangsapuri itu.

Walaupun isterinya, Hashimah tidak jemu-jemu berbual dengannya tetapi tiada sebarang jawapan daripadanya.

"Setiap hari kakak berbual dengan abang, walaupun tiada respons tetapi kakak tidak pernah mengalah.

"Sebenarnya sejak abang terbaring begini, kakak suruh anak-anak gantung gambar abang di dinding untuk memberi semangat, tetapi sejak emak abang, Khadijah Mohd. Udin, 80, meninggal dunia pada dua Ramadan tahun lalu, abang susah nak bercakap.

"Cuma sesekali kita tanya baru abang jawab, itupun hanya sepatah sahaja," jelas Hashimah berkongsi kisah mengenai suami tercinta.

Biarpun kudrat M. Rajoli semakin terbatas, namun bagi Hashimah, lelaki itu amat disayanginya.

Dalam apa keadaan sekalipun, M. Rajoli tetap seorang suami yang baik meskipun dia hanya terbaring kaku di katil besi ini.

"Rutin harian kakak, sebelum anak bongsu kami, Mohd. Ariff pergi kerja dia akan memandikan ayahnya. Kadang-kadang anak kedua kakak yang duduk di Hulu Langat datang memandikan ayahnya.

"Selepas itu kakak akan menyuapkan sarapan buatnya. Kakak akan pastikan apabila tiba saat makan minumnya kakak tidak terlupa.

"Sebabnya abang tidak akan minta makan atau minum. Setiap saat, dia hanya melayan perasaannya sendiri tanpa berkata apa-apa," cerita Hashimah lagi.

Menurut Hashimah, selama 35 tahun hidup bersama M. Rajoli, penderitaan yang dialami suami tercinta turut dirasainya.

Betapa tidak sepanjang alam perkahwinan mereka, M. Rajoli yang memang berbakat dalam bidang nyanyian akan menyanyi setiap pagi dan sebelum melelapkan mata.

Selalunya, bangun tidur selepas menjalankan tugas dan kewajipannya, M. Rajoli akan menyanyi apa saja lagu yang terlintas di kepalanya.

Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sering menjadi pilihannya di samping lagu Lembaran Terakhir nyanyian Datuk Ahmad Jais.

"Sejak abang sakit, kakak memang rasa sunyi. Tidak ada lagi nyanyiannya. Dulu bangun tidur dan nak tidur abang mesti menyanyi tetapi kini jangankan menyanyi nak bercakap pun susah," luah Hashimah dalam nada sayu.

Ketika Hashimah ralit bercerita, M. Rajoli yang tekun mendengar pengakuan isterinya itu sekadar memandang dengan ekor mata yang layu dan tidak bermaya tanpa berkelip.

Realitinya ketika ini, M. Rajoli, seniman tersohor pujaan ramai yang pernah membuat orang ketawa dan menangis kerana lakonannya, kini menjalani hidup sendirian 'di dunianya' walaupun di kelilingi isteri, anak-anak dan cucu-cucunya.

Sebelum penulis mengucapkan salam dan selamat tinggal, jelas kelihatan mata sayu seniman tersohor itu bagaikan mahu berkata sesuatu tetapi hanya Allah yang tahu apa sebenarnya yang terbuku di hatinya.

Dan ketika kaki melangkah keluar dari rumahnya, kedengaran lagu Titisan Embun Pagi nyanyian D. J. Dave dari rumah jirannya.

Seingat penulis, itu merupakan lagu kegemaran M. Rajoli yang sering dinyanyikannya setiap kali berhenti rehat ketika penggambaran.

Menghayati setiap bait lagu ciptaan Murad Hamid dengan lirik Hashim Ahmad, hati ini tertanya-tanya lagi apakah perasaan yang sama dirasakan M. Rajoli seperti mana bait-bait lirik berkenaan?

Hits dimaklumkan ingatan seniman ini terhadap isteri keduanya, Wan Chik tidak pernah padam.

Difahamkan selepas rawatan fisioterapi yang diuruskan isteri keduanya itu dihentikan pada 27 Mac lalu, mereka tidak lagi bersua.

Hits juga diberitahu, sudah hampir setahun, Wan Chik tidak dapat berhubung jauh sekali untuk berjumpa suaminya.

Sebagai manusia kita barangkali hanya mampu menelah tetapi hanya M. Rajoli dan Allah saja yang tahu derita hatinya yang sebenar!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: