Monday, March 1, 2010

Saya tak perlu kuda tunggangan - Erma

Momen ‘drama’ di sebalik pementasan teater Antara...


SESUAI dengan sambutan Maulidur Rasul, Antara... berjaya meniupkan semangat keislaman yang kuat.


MENONTON persembahan teater muzikal Antara..., karya Erma Fatima di Istana Budaya pada hujung minggu lalu, pasti memberikan seribu keinsafan pada setiap penonton.

Ditambah pula ia dipentaskan sempena sambutan Maulidur Rasul yang menceritakan tentang kelahiran dan perjuangan Rasulullah, pelbagai perasaan yang timbul tanpa sedar, sehinggakan ada di kalangan penonton yang menitiskan air mata selepas pementasan teater tersebut melabuhkan tirainya.

Ternyata, dari sudut pandangan visual penonton yang hadir, isu pengarah teater tersebut, Ellie Suriaty Omar yang menarik diri di saat-saat akhir pementasan sehingga menimbulkan kontroversi tidak menjejaskan perjalanan naskhah yang turut dibintangi dua pelakon terkenal, Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz itu.

Ketika pratonton media yang diadakan pada Khamis lalu, Ellie turut hadir menyaksikan teater tersebut di kerusi penonton.

Nama yang cukup dikenali sebagai aktres berkaliber itu dilihat sedang menangis dan itu bukan babak lakonan sebuah drama, filem atau pentas teater, tetapi di alam realiti.

Sejurus selesai pementasan itu, kelibat Ellie tidak lagi kelihatan di Istana Budaya. Malah, nama Ellie juga tidak dipanggil ketika pengumuman nama-nama pelakon dan krew belakang tabir Antara... diumumkan.

Tangisan Ellie itu menjadi tanda tanya. Adakah dia gembira atau sedih dengan hasil teater muzikal itu memandangkan dia telah membuat kenyataan kepada pihak media sehari sebelum pementasan bahawa Erma telah masuk campur ke dalam ruang kerjanya sebagai pengarah teater itu.

Ellie juga meluahkan rasa bahawa dirinya ibarat 'kuda tunggangan' Erma dan terus mengambil keputusan untuk menarik diri tiga hari sebelum pementasan.

Bagaimanapun, pada sidang media yang diadakan selepas pratonton media itu, Erma memberitahu, nama Ellie tidak disebut kerana Ellie sendiri enggan namanya dipanggil untuk naik ke pentas.

Enggan mengulas panjang mengenai kontroversi tersebut, Erma menegaskan dia tidak mahu mengaibkan sesiapa termasuklah dirinya sendiri.

"Pertama sekali, nawaitu saya buat teater muzikal Antara... adalah untuk berdakwah dan saya tak mahu memberikan komen tentang hal ini.

"Saya tak pernah tumpang nama orang, walaupun tiga hari Ellie tiada bersama kami. Apa yang anda lihat hari ini adalah hasil arahan Ellie, bukan saya. Cuma saya ambil di bahagian pentas sedikit untuk selaraskan pelakon dengan pentas dan mengemas kini apa yang patut.

"Bila saya menulis skrip teater ini, saya sudah membayangkan visualnya sekali dan saya tak beri skrip kepada Ellie begitu sahaja. Sebaliknya saya duduk dan berbincang dengannya bermula dari babak pertama hingga akhir. Selepas itu, semuanya adalah tanggungjawabnya untuk menggerakkan Antara....


ANTARA... menampilkan tentang iblis yang cuba menguasai manusia.


"Salah di sisi undang-undang untuk campur tangan dalam kerja pengarah tetapi tidak salah jika seorang pengkarya mahu mempertahankan karyanya. Saya tak memerlukan kuda tunggangan untuk menghasilkan teater ini," tegasnya.

Beritahu Erma lagi, walaupun Ellie tidak mempunyai pengalaman mengarah teater di Istana Budaya, dia tetap memberikan tanggungjawab itu kepada Ellie kerana yakin dengan kehebatannya sebagai pelakon.

Justeru, membawa Ellie ke Istana Budaya dirasakan seperti dirinya pertama kali mengarah teater Sirah Junjungan dulu agar dapat memberi pengalaman kepada Ellie dalam pengarahan teater.

"Ellie merupakan salah seorang pelakon yang terbaik dalam hati saya. Saya maafkan dia sejak hari pertama dia meninggalkan kami dan tidak akan membenci dia. Saya juga menghalalkan segala kenyataannya yang dikeluarkan kepada media.

"Mungkin dia seorang pengarah yang sedang kecewa, jadi kita kena hormat kekecewaan dia. Kekecewaan dia telah menguasai profesionalisme dirinya.

"Sebagai seorang manusia, mungkin dia ada prinsip tersendiri. Bagi saya, dia seorang pengarah yang terlalu taksub dengan kerja dan komitmen yang dia berikan adalah sangat luar biasa," ujar Erma.

Goyah iman

Teater muzikal Antara... merupakan teater ketiga di bawah penerbitannya selepas Sirah Junjungan dan Natrah tahun lalu.

Ia mengisahkan mengenai manusia yang mudah goyah imannya apabila melihat kesenangan dan keseronokan dunia.

Walaupun tidak dapat melihat wajah pelakon Adam dan Hawa iaitu Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz secara jelas, lakonan mereka tetap memberi kesan kepada penonton yang menyaksikannya.

Tambahan pula watak Maruj lakonan Azhan Rani yang cuba merosakkan iman manusia juga hebat kerana turut terselit sedikit humor yang tersendiri.

Selain itu, Antara... turut menampilkan lakonan Azizah Mahzan, Haerianto Hassan, Syamas dan Soosan Hoh.

Dalam pada itu, kehadiran penyanyi-penyanyi popular yang mendendangkan lagu di pentas seperti Jamal Abdillah, Ziana Zain, Iqwal, Hattan, Wana dan Azlan & The Typewritter menyuntik sedikit kelainan, selain tenaga dalam teater tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: