TENGAH hari Isnin lalu Scha Al-Yahya datang ke studio dengan ceria. Menyarung baju-T kelabu dengan jeans tirus hitam, mulutnya mengomel seperti biasa. Sesekali dia ketawa ceria dan pada kebanyakan soalan yang ditanya, Scha menjawab dengan serius, malah lebih berwaspada sebelum memberi persepsi.
"Saya sedang belajar untuk tidak bercakap banyak atau terlalu berterus-terang atau lantang bersuara seperti sebelum ini. Bukan apa, saya bimbang apa yang saya lontarkan disalah anggap dan memberi persepsi buruk kepada isu atau pihak lain," katanya tersenyum.
Hari itu, pada sesi fotografi, banyak hal yang ingin dikongsi Scha. Baru sahaja memotong rambut ke paras bahu selepas selesai penggambaran drama hangat, Awan Dania, Scha memberitahu, dia tidak mahu mengubah dirinya untuk disukai orang.
Biar masih berdiri pada landasan sama, sebagai manusia biasa, dia berusaha memperbaiki diri agar menjadi lebih sempurna.
Pernyataan tersebut merujuk kepada hal-hal lapuk yang dilakukannya sebelum ini, termasuklah isu ditahan pihak berwajib dan isu berseteru dengan Fahrin.
Scha hari ini mahu bebas daripada isu-isu sedemikian, seiring usia yang sudah menginjak 27 tahun.
Lebih daripada itu, dia bersyukur kerana insiden lampau tidak membuatkan rezekinya tersekat. Tawaran masih datang seperti biasa dan syarikat penerbitan juga lebih memandang kualiti lakonan berbanding mencampurkan ia dengan hal peribadi.
Namun, itu tidak bererti dia tidak belajar daripada kesilapan. "Setiap apa yang saya lalui adalah pengalaman hidup. Saya kutip semua hal baik dan buruk, jadikan ia panduan untuk saya menjadi manusia lebih baik," ujarnya optimis.
Tambah aktres manis itu lagi, selepas kejadian ditahan di kelab malam tanpa lesen, dia masih menjalani rutin hidup seperti biasa, malah berhibur dengan teman-teman.
"Bagaimanapun, kali ini saya lebih bijak memilih tempat lepak agar tidak lagi menjadi mangsa," akuinya.
|
|
Namun saat disogok bahawa Scha kini dilihat sebagai gadis nakal, anak kedua daripada empat beradik itu ketawa. Pantas dengan tangan seperti sedang berhujah, dia menjawab, rela dilabel nakal berbanding dikatakan liar.
"Nakal itu perspektifnya meluas. Nakal pada saya macam comel dan tidak melakukan hal di luar batasan. Saya percaya, semua orang juga punya darjah kenakalan sendiri.
"Namun, kalau saya dilabel sebagai liar, saya tak sanggup. Liar terlalu kesat untuk saya kerana liar itu seperti sudah tidak terkawal," bicaranya serius.
Mengaku sudah kehilangan sebilangan peminat kerana kredibilitinya tercalar dek kelalaian sendiri, Scha bagaimanapun tidak boleh memaksa orang menyukainya. Sebagai manusia biasa, semua individu mempunyai sifat cela dan juga mulia.
"Tapi saya yakin, dengan kualiti kerja dan sifat-sifat yang semakin matang serta dewasa, semua ini (kebencian) akan terhapus. Saya kini berusaha untuk lebih memberi fokus terhadap kerjaya," ungkapnya yang kini sibuk di lokasi drama, Kita yang baru sahaja memulakan penggambaran.
Awal dan Iqram
Putus cinta itu lumrah. Ia proses pembelajaran hidup untuk mendapat pasangan hidup yang serasi. Tidak sedikit pun menyimpan dendam terhadap bekas kekasihnya, Fahrin, Scha mengakui dia tiada masalah dengan pelakon tampan itu.
Polemik yang tercetus antara Fahrin dan bekas kekasihnya, Linda Onn yang kini menjadi kawan, Scha juga diakui tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjatuhkan lelaki yang pernah bertakhta di hati mereka.
"Saya berkawan dengan Kak Linda secara ikhlas, tiada sebarang agenda mahu menjatuhkan Fahrin atau sebagainya. Kalau boleh, saya juga tidak mahu terheret sama dalam masalah mereka," katanya.
Sudah berusia 27 tahun, Scha tidak mahu mengaku kalau dia juga sudah siap sedia untuk berkahwin.
Scha saat ditanya di mana dia melihat dirinya pada usia 30 tahun, Scha membuktikan dia masih tidak prejudis terhadap lelaki. Justeru, dia tidak segan mengatakan barangkali dia sudah menjadi isteri orang ketika itu.
Kalau boleh katanya, dia mengelak menjalin hubungan cinta dengan lelaki yang jauh lebih muda. "Sebab saya takut tidak boleh menghormati mereka kerana faktor umur," katanya yang juga memberitahu mengelak suami orang.
Dalam pada itu tambahnya: "Kalau boleh, biarlah pasangan saya kelak tua dua atau tiga tahun daripada saya. Kalau tua sangat seperti sudah berusia 40 tahun, saya bimbang komunikasi dan pemahamannya tidak selari."
|
|
Dijolok dengan persoalan adakah hatinya kini sedang dihuni seorang lelaki, Scha menjawab, tidak ada. "Tapi saya akui, saya sekarang sedang keluar dengan seorang lelaki," katanya sambil mengatakan dirinya tidak pandai menipu dalam hal seperti ini.
"Adakah lelaki itu Awal?", saya 'tembak' Scha tetapi dia hanya tersenyum penuh makna sambil menjawab: "Adalah seseorang. Tapi saya memang baik dengan Awal. Dia kawan lelaki paling baik dengan saya sekarang. Nak cakap kami berdating, saya geli pula rasanya guna perkataan dating. Tapi memang kami ada keluar bersama."
Tambah Scha, selain Awal, dia juga berkawan baik dengan pelakon Iqram Dinzly. Juga, kata Scha, hidupnya memang dikelilingi banyak lelaki. Katanya: "Bila tiba masa untuk bernikah kelak, saya hanya mahukan lelaki yang saya betul-betul kenal dan serasi."
Wanita psiko
Cukup memberi inspirasi melalui karakter Dania, Scha yang sebenarnya mencipta nama melalui layar lebar mengimpikan watak wanita psiko.
Sedar dirinya masih baru, tetapi dia juga tidak mahu khalayak melihat dia statik dan stereotaip dengan watak gadis manis seperti yang selalu dibawakannya.
"Kalau boleh saya mahu membawa watak isteri atau wanita psiko yang boleh mencabar kredibiliti saya," katanya yang tahu masih perlu belajar keras untuk menjadi pelakon yang lebih baik.
Disebabkan menyedari dirinya masih baru, Scha yang bakal muncul dengan dua buah filem tahun ini iaitu Evolusi KL Drift:2 dan Libas mengatakan dia tidak layak bersifat demanding.
Katanya: "Saya harus sedar sebelum bersikap demanding terhadap hasil kerja saya. Kalau saya minta dibayar mahal, tapi hasil kerja hancur, tak guna.
"Jadi lebih baik saya tingkatkan kualiti lakonan dan timba banyak pengalaman, baru boleh demand."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: