
TIADA apa yang lebih membahagiakan pelakon terkenal Que Haidar dan isterinya koreografer tarian, Linda Jasmine Hashim apabila harapan untuk memiliki seorang anak perempuan terlaksana sudah.
Bayi comel yang dinamakan Tengku Ratu Haidar itu, kini menjadi penyeri buat keluarga Que dan Linda.
Malah, kata Que yang ditemui pada majlis memperkenalkan anaknya itu di Bora Ombak Ampang, dia terlalu gembira menjadi seorang ayah sehingga tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaannya itu.
"Seronok sangat sebab sekarang saya sudah ada anak sepasang, Qalif dan Ratu. Memang kami nak sangat anak perempuan terutama Linda dan bila dapat apa yang diharapkan saya bersyukur sangat," ujarnya.
Menyentuh tentang pemilihan nama anak sulung Que dan kedua buat Linda itu, Que memberitahu dia mendapat inspirasi nama Ratu daripada isterinya sendiri.
"Saya nampak Linda macam seorang ratu. Dia cantik dan lemah lembut, manakala Haidar itu pula ambil berkat sempena nama arwah bapa saya.
"Walaupun namanya pendek tetapi saya rasa nama itu cukup kuat. Saya pun tidak pernah dengar nama orang seperti nama anak saya, kiranya itu sesuatu yang istimewa buat Ratu," beritahu Que.
![]() |
| IMPIAN jadi realiti. Inilah hasil buah cinta sulung Que dan Linda. |
Menyambung cerita Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar mengatakan, dia lebih menghargai jasa ibunya setelah melihat sendiri isterinya melahirkan anak secara pembedahan.
Katanya, wanita mempunyai lebih kekuatan yang tidak dimiliki oleh lelaki dan andai kata lelaki yang harus melahirkan anak, mungkin tiada bayi yang akan dilahirkan.
"Saya baru lihat isteri saya lahirkan seorang anak, bayangkan ibu saya melahirkan 10 orang anak. Sakit dan seksanya lebih berganda.
"Sebab itu selepas melihat isteri saya bersalin saya tahu bagaimana peritnya ibu saya nak lahir dan besarkan saya.
"Jadi nasihat saya, jaga dan hormatlah ibu dan bapa selagi mereka hidup. Pengorbanan mereka terlalu besar.
"Zaman sekarang ramai yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua-tua, saya kira itu perbuatan yang kurang elok," tutur Que yang merupakan anak kelima daripada 10 orang adik-beradik.
Memori bilik bedah
![]() |
| LINDA mengakui terpaksa menahan sakit yang amat sangat sewaktu proses melahirkan Tengku Ratu Haidar. |
Mengimbas kembali, momen di bilik pembedahan ketika kelahiran Ratu pada 26 Oktober 2009 lalu di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang dengan berat 2.29 kilogram, Que hanya tersenyum bahagia sesekali memandang Linda yang setia duduk di sebelah dirinya semasa temu bual dijalankan.
Bagi bapa yang berusia 31 tahun itu, pengalaman menyaksikan isteri melahirkan anak suatu momen magis kerana melihat sebahagian dirinya di dalam diri Ratu.
"Namun, sebelum masuk ke bilik bedah, Que mengakui dia menangis kerana gembira dan takut.
"Saya seorang yang amat takut melihat darah dan boleh pengsan hanya sebab tengok darah. Tetapi masa di bilik pembedahan, secara tiba-tiba saya mempunyai kekuatan yang luar biasa untuk bertahan dan menenangkan Linda.
"Saya ingat lagi dan tidak akan lupa, macam mana doktor membedah perut Linda untuk keluarkan Ratu.
"Dia yang kena bedah saya pula yang rasa sakit. Bila Ratu dikeluarkan perasaan saya umpama terkena magis dan macam tidak percaya saya sudah menjadi seorang bapa," luahnya.
Linda pula memberitahu, kelahiran Ratu lebih mudah dan teratur berbanding dengan kelahiran anak sulungnya Qalif, 10,. Ini kerana ketika itu Linda baru mencecah angka 26 tahun.
"Pengalaman banyak mematangkan diri saya, dulu bila dapat anak saya bingung tidak tahu nak buat apa.
"Semua benda kena buat sendiri tetapi sekarang saya banyak bantuan terutama daripada suami dan pembantu rumah.
"Walaupun begitu, saya tetap menghabiskan masa berkualiti dengan anak, tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada orang lain kerana saya ibunya.
"Apa pun saya bersyukur dengan bantuan dan sokongan keluarga dan teman-teman saya menjadi lebih tabah," ulas Linda.
Bicara Linda lagi, selepas melahirkan Ratu, dia memerlukan rehat yang cukup memandangkan dia melahirkan anak melalui pembedahan. Kesakitan yang dialami lebih berpanjangan daripada ibu yang bersalin secara normal.
"Selepas kesan ubat bius hilang, saya mula rasa sakit. Bayangkan tujuh lapisan kulit dibedah untuk keluarkan bayi, jangka pemulihannya lebih panjang.
"Saya tidak boleh bangun dan tidak boleh berjalan. Saya juga tidak boleh makan panadol dan ubat tahan sakit kerana alahan sejak dari lahir, jadi saya hanya menangis menahan sakit.
"Tetapi dalam menangis, anak tetap kena susukan dan saya susukan Ratu selama dua bulan. Suami banyak membantu, dialah yang menguruskan anak dan saya terperanjat sebab dia boleh menjaga bayi dengan baik," kata Linda.
Tambah Que, selepas melihat Ratu, fikirannya melayang dan andai kata nyawanya ditarik ketika itu, dia bersedia kerana telah meninggalkan sebahagian dirinya di dunia.
Sungguhpun begitu, perasaan untuk menjadi orang yang lebih baik buat keluarga dan menyaksikan darah dagingnya membesar di depan mata lebih kuat menguasai diri.
"Itu yang saya fikir tetapi sebagai bapa saya harap Allah panjangkan usia saya supaya saya boleh mendidik dan menyaksikan dengan mata sendiri anak membesar. Saya juga mempunyai segunung harapan untuk anak-anak saya.
"Saya mahu beri mereka pendidikan yang terbaik. Saya dan Linda juga telah membuat simpanan untuk masa depan mereka berdua, mana tahu pada masa depan mereka ingin menyambung pelajaran di mana-mana, duit sudah ada.
"Saya tidak mahu menyekat sebarang kebolehan dan keinginan yang ada di dalam diri anak saya," tutur Que sambil diakui Linda.
Mahu tambah anak

Menurut pelakon kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu lagi, meskipun telah memiliki sepasang anak, jika boleh dia mahukan lebih ramai anak. Namun, ia berbalik kepada rezeki yang diberi Allah.
"Memang saya inginkan anak yang ramai, kalau boleh lima orang. Tetapi Linda melahirkan kedua-dua anak melalui pembedahan dan usianya kini pun dah masuk 37 tahun.
"Kata doktor, biasanya orang yang jalani pembedahan boleh lahirkan tiga orang anak sahaja. Mungkin selepas kami tamat dengan Akademi Fantasia musim kelapan kami akan tambah anak," ujar Que yang bertindak selaku tenaga pengajar bersama Linda.
Celah Linda, kesakitan bersalin belum pun habis tetapi setelah menatap wajah comel Ratu, terus dia memasang niat untuk menambah bilangan ahli keluarga.
"Itulah kuasa bayi. Sakit, memanglah sakit tetapi melihat Ratu seolah-olah melihat kami berdua di dalamnya kami rasa bahagia dan kalau boleh nak anak lagi.
"Saya dipesan doktor, kalau inginkan anak kena cepat sebab faktor usia memainkan peranan. Bertambah usia, bertambahlah risiko. Tetapi kalau ibunya sihat, kata doktor, tiada masalah," jelas Linda yang anggun mengenakan busana putih polos.
Disoal apa perancangan mereka berdua khusus buat puteri sulung itu, lantas Que menjawab: "Terpulang kepadanya, tetapi kami berdua amat pentingkan pendidikan dan moral. Buat apa bijak tetapi moral tidak ada.
"Soal kerjaya, andai kata Ratu mahu ceburkan diri dalam bidang seni lakonan, saya izinkan jika dia sasarkan Hollywood terus. Jika nak berlakon saja-saja di sini (Malaysia) lebih baik tidaklah."


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: