Thursday, March 25, 2010

Prelude kenang bekas pemenang AIM


KONSERT Prelude AIM 17 kebanyakkannya menampilkan lagu-lagu medley yang disampaikan oleh para penyanyi generasi baru.


SABAN tahun, Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) menampilkan pelbagai kelainan daripada segi tema, konsep persembahan dan promosi itu bagi menarik perhatian para peminat.

Malah, sebelum AIM edisi ke-17 (AIM17) diadakan pada 2 Mei ini, rakaman empat episod Konsert Prelude AIM17 juga akan disiarkan menerusi saluran ntv7 pada setiap Khamis mulai 8 April ini pukul 9 malam selama 30 minit.

Penerbit Konsert Prelude AIM17, Khairul Anuar Azmi berkata, tahun ini konsert yang telah dirakamkan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut menampilkan tema dan lagu-lagunya yang tersendiri.

Katanya, konsert yang dijayakan oleh lapan penyanyi baru itu memfokuskan kepada penyanyi dan lagu-lagu yang pernah memenangi anugerah AIM pada tahun-tahun sebelumnya sebagai suatu penghargaan kepada pemenang terbabit.

"Ini adalah kali pertama AIM mengadakan konsert khas bagi mengenang dan menghargai penyanyi dan lagu-lagu yang pernah memenangi anugerah dalam AIM sejak ia dianjurkan sebanyak 16 kali. Ia bagi mengimbau nostalgia para peminat.

"Tahun ini, kami mahu mendedikasikan Konsert Prelude AIM17 kepada empat artis iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, M. Nasir dan Amy (Search) yang pernah muncul pemenang dalam anugerah ini suatu ketika dulu.

"Siti Nurhaliza misalnya, pernah muncul kategori Lagu Terbaik menerusi lagu Jerat Percintaan pada AIM 13 tahun lalu," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas rakaman Konsert Prelude AIM17 di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seramai lapan penyanyi akan menjayakan konsert itu di mana dua penyanyi tampil pada setiap episod dengan menyanyikan lagu-lagu secara medley dan duet pada konsert yang diacarakan oleh pengacara popular, Yasmin Hani.

Lapan penyanyi yang akan menjayakan Konsert Prelude AIM17 yang dirakamkan di hadapan penonton itu ialah Faizal Tahir, Bienda, Noryn Aziz, Alif Satar, Bob (Akademi Fantasia 2), Azlan (The Type Writer), Shila serta Dina (One In A Million).

Menurut Khairul Anuar, dia berharap konsert itu bukan sahaja akan mengembalikan nostalgia para peminat terhadap para pemenang AIM, tetapi juga bagi menghangatkan lagi suasana sebelum siaran langsung anugerah tersebut.

"Selain para penyanyi yang terbabit menyanyikan lagu-lagu yang pernah memenangi anugerah dalam AIM, kami juga akan menyiarkan sedutan petikan-petikan daripada anugerah itu dalam setiap episod konsert itu," ujarnya.

Epsiod pertama Konsert Prelude AIM17 menampilkan dua penyanyi iaitu Bob dan Shila sebagai penghargaan kepada Siti Nurhaliza dengan menyanyikan lagu Bisakah, Debaran Cinta, Satu Cinta Dua Jiwa, Jerat Percintaan serta Ku Mahu.

Episod kedua mengetengahkan Faizal Tahir dan Bienda yang menyampaikan lagu berjudul Juwita Citra Terindah, Tanya Sama Itu Hud Hud, Sang Pencinta, Suatu Masa serta Raikan Cinta yang merupakan segmen penghargaan untuk M. Nasir.

Episod ketiga yang ditujukan khusus buat Sheila Majid menggunakan khidmat Alif Satar dan Noryn Aziz yang membawakan lagu-lagu berjudul Jatuh Cinta, Mengapa Kasih, Ku Mohon, Embun dan Bersatu Hati mengikut gaya penyampaian mereka sendiri.

Episod keempat pula mengundang Azan dan Dina bagi menghargai Amy (Search) dengan mendendangkan lagu-lagu berjudul Aku, Laila Namamu Teratas, Fantasia Bulan Madu, Gita Rama Sita dan Isabella.

Sementara itu, Azlan yang muncul pada episod keempat Konsert Prelude AIM17 berasa berbesar hati apabila diundang menjayakan segmen itu kerana Amy dan Search merupakan artis pujaannya sejak dari kecil.

"Amy dan Search merupakan antara artis yang menjadi idola saya sejak kecil. Sejak bersekolah tadika lagi saya sudah dengar lagu-lagu mereka. Malah, saya kagum dengan Amy dan Search yang merupakan pencetus dalam muzik rock tempatan," komennya.

Bagi Dina pula, meskipun dikenali ramai sebagai antara penyanyi baru yang mempunyai nada vokal yang mantap tetapi dia tidak menafikan bukannya mudah untuk menyanyikan lagu-lagu Search yang mempunyai kekuatan melodi tersendiri.

"Saya akui agak susah untuk menyanyikan lagu-lagu Amy dan Search tetapi saya cuba. Biarpun tidak sama 100 peratus, namun saya dan Azlan telah menyanyikannya mengikut gaya kami sendiri," katanya.

Rakaman empat episod Konsert Prelude AIM17 itu yang diadakan selama sehari di Auditorium DBP bakal menghangatkan anugerah itu yang 100 peratus para pemenangnya ditentukan oleh para juri profesional dalam industri muzik tanah air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: