Thursday, March 25, 2010

Intan Nuraini Seperti Coklat

Mungkin namanya masih asing di kalangan peminat seni suara di Malaysia, namun pemilik nama Intan Nuraini atau lebih mesra dengan panggilan Intan telahpun melahirkan dua buah album di Indonesia. Gadis berlesung pipt ini memulakan karier setelah memenangi pertandingan Gadis Sampul 2001 menerusi majalah Gadis, Intan terus mengorak langkah sebagai model iklan.


Perjalanannya terus bersinar tatkala ditawarkan berlakon sinetron dan bagi peminat sinetron di Malaysia, mungkin mengenali gadis ini melalui Bukan Cinderella dan Karena Cinta. Kata Intan bukan mudah menjadi artis di Indonesia, lebih-lebih lagi tiada seorangpun di kalangan keluarganya yang terlibat dalam industri itu.

"Sejak kecil memang Intan minat menyanyi. Peluang untuk masuk ke dalam entertainment terjadi apabila Intan menang Gadis Sampul. Mula-mula Intan berlakon iklan, kemudian menjadi bintang sinetron. Sudah enam tahun Intan bersama sinetron dan sudah tiba masanya mencuba sesuatu yang lain.

"Peluang menjadi penyanyi tiba pada 2007 apabila Intan menghadiri birthday party kawan Intan yang juga seorang penyanyi. Party itu dihadiri ramai komposer dan antaranya Intan S. Amri dan dari situ Intan mendapat tawaran menjadi penyanyi," kata bekas kekasih Sahrul Gunawan ini.

Melancarkan album buat pertama kalinya di Malaysia, Intan yang ditemani bapanya hadir dengan konsepnya sendiri, Seperti Coklat. Baginya cinta adalah seperti coklat yang adakalanya manis dan pahit. Baginya tidak terniat untuk menyaingi artis di Malaysia, cuma apabila melihatkan kejayaan ramai artis Indonesia di sini, keinginannya semakin meluap-luap untuk mencipta nama di Malaysia.

"Idea ini Intan fikirkan sendiri kerana mahu something yang cute dan Intan tahu ramai sekali penggemar coklat. Unik rasanya jadikan makanan sebagai simbol cinta. Intan sendiri pernah rasakan pahit manis cinta namun untuk album terbaru ini, Intan tidak menyumbangkan lagu ciptaan sendiri.

Intan gemar menulis puisi dan cerpen. Kebanyakan lagu daripada album sebelumnya seperti Gubrak!!! adalah hasil ciptaan sendiri. Sekarang juga Intan baru sahaja sempurnakan skrip filem berjudul Seperti Coklat yang besar kemungkinan akan dibintangi Intan sendiri," kata bekas graduan Universiti Indonesia ini.

23 Mac juga membawakan detik bermakna dalam hidupnya apabila pelancaran albumnya di Malaysia berlaku seiring dengan sambutan hari lahir ke-25 Intan. Intan membawakan konsep yang ringan dan unik untuk album terbarunya yang menampilkan single, Seperti Coklat. Album yang membawakan rentak muzik pop, rock dan akustik ini telah pun berada di pasaran edaran Tropic Jaya Entertainment Sdn. Bhd. Mangga Online harapkan Intan lebih sukses meniti karier dan selamat hari lahir buat Intan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: