Thursday, March 25, 2010

Hadziq bantu Aznil mengacara


AZNIL dan Hadziq, sama-sama bergandingan dalam Tom Tom Bak musim terbaru menerusi segmen Siapa Dia.


MELIHAT aksi dan telatah kanak-kanak memang cukup menghiburkan. Tidak kira apa soalan yang diajukan pasti ada sahaja jawapan yang melucukan sehingga ada kalanya di luar kotak pemikiran orang dewasa.

Mereka bukan sahaja jujur melontarkan apa sahaja yang terluah dari pemikiran malah, aksi comel mereka paling tidak mampu membuatkan sesiapa sahaja tersenyum dan ketawa.

Mungkin itu antara tarikan yang cukup kuat pada kanak-kanak sehingga pelbagai program kanak-kanak diperkenalkan kepada khalayak.

Tom Tom Bak misalnya salah satu rancangan khas untuk kanak-kanak yang begitu mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan peminat cilik tetapi juga orang dewasa.

Melangkah ke musim kelima, rancangan yang bersiaran di saluran Ceria (saluran 611, Astro), sejak empat tahun lalu itu mengupas pelbagai isu yang secara tidak langsung cuba mencungkil pendapat serta sejauh mana pengetahuan kanak-kanak terhadap sesuatu perkara.

Bakal memulakan tayangan pada 13 Jun ini setiap Ahad, pukul 12 tengah hari rantaian 13 episod itu kali ini memperkenalkan pelbagai perubahan yang pasti menambah lagi warna kepada rancangan itu.

Yang paling ketara, untuk musim terbaru, Tom Tom Bak mencungkil bakat Mohd Hadziq Mohd Hazem atau Hadziq yang juga pelakon siri Belalang di saluran sama sebagai pengacara bersama menemani pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dalam segmen Siapa Dia.

Menerusi segmen itu, seperti Aznil, Hadziq turut melontarkan beberapa soalan kepada tetamu jemputan di studio yang dikehendaki hadir lengkap berpakaian atau berimej bagi menjiwai watak mengikut topik yang ditetapkan.

Turut diselitkan ialah klip video segmen mini, Misi Hadziq yang membawa penonton ke destinasi perjalanan pelakon cilik itu melawat tempat-tempat tertentu yang dekat dengan kanak-kanak di sekitar ibu kota.

Berpeluang menyaksikan sendiri rakaman Tom Tom Bak yang diadakan di Studio Finas, Hulu Klang baru-baru ini, ternyata si cilik berusia 10 tahun ini tidak gugup berbicara di depan kamera.

Malah, ada sahaja soalan dan cerita yang dikongsinya bersama Aznil yang juga idolanya sejak dahulu lagi.

Mencuri sedikit masa Aznil sebelum menyambung pengambaran rancangan itu, selain menampilkan Hadziq lain-lain pembaharuan untuk rancangan itu termasuklah susunan set, serta 'live band' yang bakal meningkatkan lagi minat penonton mengikuti rancangan tersebut.

Dua lagi segmen masih dikekalkan daripada musim-musim lalu ialah Jom Borak dan Ada Bakat Ke?

Menerusi segmen Jom Borak, emosi penonton tentu sahaja dicuit dengan gelagat serta pandangan ikhlas mereka tatkala berbalas pendapat bersama Aznil.

Segmen Ada Bakat Ke? pula menampilkan persembahan menarik daripada kanak-kanak yang berbakat sama ada dalam bidang nyanyian, tarian mahupun silap mata.

Sebagai individu yang dekat dengan kanak-kanak, apa yang dapat dikongsikan untuk musim terbaru nanti, selain melihat kepekaan kanak-kanak dalam setiap kata-kata yang dilontarkan, secara tidak langsung kanak-kanak yang terpilih menyertai segmen Jom Borak terlatih untuk berani bertanya soalan.

"Apa yang menariknya dengan Tom Tom Bak, orang dewasa dapat menilai sejauh mana tahap kepekaan kanak-kanak terhadap apa yang kita sampaikan. Kadang-kadang ada yang sengaja kita salahkan informasi semata-mata untuk menilai dan membiarkan kanak-kanak ini memperbetulkan.

"Selain itu kita juga dapat mendengar suara kanak-kanak itu melontarkan pendapat mereka tentang pelbagai isu mahupun soalan yang diberikan.

"Pada masa yang sama mereka juga akan bertanya pelbagai soalan yang mereka rasakan kurang faham. Ini secara tidak langsung memupuk keberanian kanak-kanak itu sendiri di mana lebih banyak mereka bertanya maka lebih banyaklah fakta yang mereka perolehi," kata Aznil.

Mengendalikan rancangan kanak-kanak bukanlah semudah yang disangka dan bagi Aznil sendiri tugas sebagai pengacara sentiasa menuntutnya berhadapan dengan cabaran.

Paling ketara, dalam menangani kerenah kanak-kanak yang menjadi penonton di studio.

Jika bilangannya kecil sudah tentu ia tidak sesukar mana tetapi untuk rakaman Tom Tom Bak musim kali ini melibatkan hampir 200 kanak-kanak yang menjadi penonton.

"Kebanyakan kanak-kanak yang hadir menjadi penonton sudah mengenali saya. Mereka ini seperti sudah terbiasa dengan Tom Tom Bak malah, boleh dianggap bagai satu keluarga.

"Sebab itu apabila berjumpa dengan mereka semula, mereka dengan mudah mendengar nasihat yang diberikan.

"Dalam mengendalikan mereka di studio, memang agak sukar kerana rakaman memakan masa yang lama dan kanak-kanak akan cepat resah.

"Sebab itu saya kena sentiasa memastikan mood kanak-kanak ini terjaga sepanjang masa," kata Aznil lagi sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: