Monday, March 15, 2010

Peraturan baru hangatkan perlumbaan


MAMPUKAH mercedes meraih kejuaraan dunia musim INI?


PERLUMBAAN Formula Satu yang akan bermula di Bahrain memperlihatkan pelbagai peraturan baru perlu diikuti semua pasukan berbanding tahun lalu.

Antara perubahan yang ketara ialah tiada lagi pengisian minyak di hentian pit sepanjang perlumbaan kali ini.

Namun, semua pasukan masih dibenarkan masuk ke dalam pit untuk melakukan penukaran tayar. Bezanya ialah kebanyakan pasukan selepas ini hanya memerlukan masa tiga ke empat saat berbanding lapan ke sepuluh saat semasa berada di hentian pit.

Selain peraturan itu, pasukan yang bermula di 10 petak depan, terpaksa menggunakan tayar yang sama ketika sesi kelayakan manakala pasukan lain berpeluang menggunakan tayar baru pada awal perlumbaan.

Kombinasi dua peraturan itu pasti akan membuatkan semua pasukan terpaksa menukar taktik mereka terutamanya dalam merancang masa sesuai bagi menggantikan tayar.

Menurut pemandu Ferrari, Felipe Massa, strategi pada musim ini cukup berbeza kerana krew pasukan tidak boleh menjangkakan masa yang sesuai memasuki pit dan jenis tayar yang patut digunakan.

"Kamu tidak boleh tahu bila masa yang sesuai untuk berhenti kerana segalanya bergantung kepada tayar dan strategi kereta lain,'' kata Massa.

Apa yang menarik, semua pasukan mempunyai dua pilihan sama ada bersungguh-sungguh pada sesi kelayakan lantas mengurangkan kualiti tayar yang akan digunakan pada perlumbaan sebenar atau mengelakkan berada pada kedudukan 10 pasukan teratas bagi mendapat peluang menggunakan tayar baru.

Peraturan itu mungkin memberi kelebihan kepada pemandu berpengalaman kerana mereka boleh membuat keputusan paling tepat serta masa yang bersesuaian untuk menggantikan tayar.

Mengenai peraturan tiada lagi pengisian minyak, semua pasukan terpaksa memperbesarkan lagi ruang tangki minyak dan memaksa krew mereka membuat rekaan yang lebih bersesuaian bagi mengelakkan kenderaan terlalu berat semasa berada di atas litar.

Bilangan set tayar yang diberikan kepada pasukan akan dikurangkan daripada 14 ke 11. Setiap pasukan juga tidak lagi berpeluang mengelak sesi latihan dan menggunakan semua set tayar pada sesi kelayakan serta perlumbaan sahaja.

Krew pasukan perlu mengembalikan sekurang-kurangnya setiap satu set tayar kepada pihak urusetia pada sesi latihan pertama dan kedua tidak kira sama ada digunakan atau tidak.

Dalam peraturan mata, 10 pelumba teratas akan meraih mata berbanding 8 pelumba pada musim sebelum ini. Sistem kiraan mata 10-8-6-5-4-3-2-1 telah diubah kepada 25-18-15-12-10-8-6-4-2-1 bermula pada musim 2010.

Berikutan penambahan pasukan daripada 20 ke 24 pasukan, sesi kelayakan akan memperlihatkan perubahan yang mana tujuh pasukan akan disingkirkan dalam setiap satu peringkat berbanding lima sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: