Monday, March 15, 2010

Mitsubishi Lancer edisi khas 2.0GTS




SUDAH menjadi trend di Malaysia, syarikat pengeluar kereta akan memperkenalkan versi dipertingkatkan atau facelift bila tiba ke satu tempoh misalnya, dua tahun selepas pelancaran. Cuma yang membezakan apakah facelift itu membabitkan ciri-ciri yang besar, sederhana atau besar pada reka bentuk badan serta implikasinya pada harga.

Beberapa Lancer yang ditemui di jalan-jalan raya sudah menyaksikan 'sentuhan' modifikasi yang mirip kepada versi super Mitsubishi Evolution X terutama yang berwarna merah.

Dalam konteks ini, Mitsubishi Motors Malaysia, pengedar eksklusif kenderaan Mitsubishi di Malaysia melancarkan edisi khas Lancer 2.0GTS yang nyata memberikan kegarangan yang tentunya menawan ramai penggemar kereta.

Menurut sumber MMM, inspirasi untuk menghasilkan Lancer GTS datang daripada maklum balas positif dan minat yang tinggi daripada pengedar-pengedar yang teruja melihat versi sebuah Lancer yang 'dihias tinggi' sempena pelancaran model facelift Lancer pada tahun lalu.

Terhad kepada hanya 100 unit, edisi khas ini memaparkan reka bentuk luaran sporty yang digayakan semula dengan tambahan airdams dan diffuser di bahagian belakang, rim tayar bercorak gun metal dan reka bentuk gentian karbon sport pada spoiler belakang dan airdam pada spoiler sisi, yang menambahkan keterampilannya pada sedan Lancer yang sememangnya bergaya garang.

Penambahan daripada segi dalaman pula merangkumi kerusi berinspirasikan kereta lumba dan disarung dengan kulit Nappa yang direka semula dan tombol gear dengan jahitan berwarna merah.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Lancer diperkasa oleh enjin 2.0-Liter 16-injap DOHC dengan teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control) dan binaan ringan menggunakan aluminimum, yang menjana 155PS kuasa maksimum dan 199Nm kuasa terjahan.

Ditawarkan dalam dua warna iaitu Merah Metallic dan Hitam Mica, edisi khas Lancer 2.0GTS ditawarkan pada harga RM126,480 atas jalan tanpa insurans. Ia boleh diperolehi di semua pengedar sah Mitsubishi Motors di Semenanjung Malaysia bermula dari 7 Januari 2010.

Model ini didatangkan dengan waranti lima tahun atau 100,000 km (yang mana dulu) dan pemilik boleh menikmati ketenangan jiwa dengan khidmat sokongan Bantuan 24 jam Mitsubishi jika berlaku kerosakan atau kemalangan. Pembeli model ini juga akan menerima jaket RalliArt secara percuma (sementara stok masih ada).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: