Monday, March 22, 2010

Peneraju tenaga atom dunia


LOJI kuasa nuklear di Korea Selatan dalam pembinaan merupakan kompleks nuklear terbesar negara tersebut yang terletak di bandar Gori.


SELEPAS beberapa dekad membangunkan teknologi nuklearnya, Korea Selatan tekad untuk menjadi peneraju utama penggunaan tenaga atom ketika dunia beralih daripada sumber fosil yang semakin berkurangan.

Sebuah konsortium utama di Seoul, berjaya menewaskan beberapa pesaingnya yang berpengalaman untuk mendapat kontrak bernilai AS$20.4 bilion (RM68.28 bilion) bagi membangunkan reaktor nuklear di Emeriyah Arab Bersatu.

Perjanjian itu menjadikan Korea Selatan sebagai negara pengeksport reaktor nuklear keenam di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Perancis, Rusia, Kanada dan Jepun. Menjelang 2030, negara itu berharap dapat mengeksport 80 reaktor bernilai AS$$400 bilion (RM1.34 trilion).

Presiden Lee Myung-Bak menggambarkan penggunaan tenaga atom seperti sebuah enjin baru yang sedang berkembang.

"Tenaga nuklear merupakan sumber tenaga terbaik bagi menampung kelemahan sesebuah negara yang tidak mempunyai sumber minyak," katanya pada Januari lalu.

Lee berkata, penggunaan tenaga itu mampu memberi kelebihan kepada pihak industri dari sudut kos yang rendah dan menghasilkan kualiti kerja yang tinggi.

Bagaimanapun, peningkatan bahan buangan radioaktif yang mencecah 10,800 tan ditambah larangan kerajaan AS untuk mengitar semula bahan itu mencetuskan ketidakpastian tentang industri tersebut pada masa depan.

Kehadiran Korea Utara negara yang mempunyai senjata nuklear menambahkan komplikasi tersebut. Seperti Seoul, negara itu juga telah melakukan penyelidikan untuk menghasilkan senjata atom dalam tempoh yang sama.

Kerajaan AS bimbang kebenaran yang diberikan kepada Korea Selatan untuk memproses semula bahan bakar tersebut boleh menjejaskan usaha-usaha yang dilakukan untuk menghapuskan penggunaan nuklear di Korea Utara.

Ketika itu, pemimpin diktator Korea Selatan, Park Chung-Hee menerima tekanan Washington untuk menghentikan projek membuat senjata nuklear pada 1970-an walaupun terdapat beberapa ujian terpencil yang dilakukan selepas itu.

Satu kerjasama nuklear yang dimeterai bersama AS pada 1974 dan bakal berakhir pada 2014 menghalang Korea Selatan daripada memproses bahan bakar di loji-loji nuklear awam.

Namun kejayaan Korea Selatan mengeksport bahan tersebut baru-baru ini telah memulakan perdebatan mengenai keperluan untuk mengagungkan nuklear.

Saintis tempatan berkata, penyelidikan terhadap pemprosesan semula dan pengayaan uranium akan membantu mereka mempertingkat dan mengembangkan eksport reaktor nuklear serta teknologi.

"Washington, bagaimanapun keberatan untuk membenarkan pemprosesan semula bahan itu disebabkan Korea Selatan pernah bercita-cita untuk menghasilan bom nuklear sebelum ini," kata Baek Seung-Joo dari Institut Analisis Pertahanan Korea.

Bagaimanapun, sisa nuklear akan mengakibatkan masalah kepada pihak industri yang menjana 30 peratus daripada bekalan elektrik negara itu. Tapak simpanan sementara yang mengandungi 20 loji nuklear akan penuh pada 2016 kerana ia menghasilkan kira-kira 700 tan sisa nuklear setiap tahun.

Pembinaan kemudahan penyimpanan kekal di bawah tanah pula akan membangkitkan kemarahan parti pembangkang di negara kecil dan padat dengan penduduk itu.


KOMPLEKS nuklear di Korea Selatan yang menggunakan teknologi dari Perancis dijangka menjadi sebuah pusat tenaga nuklear terbesar dunia.


Sebagai penyelesaiannya, Suruhanjaya Tenaga Atom di negara itu mencadangkan kaedah pyroprocessing iaitu satu teknik mengitar semula bahan bakar yang tidak menghasilkan bahan plutonium yang sesuai untuk dijadikan senjata. Cadangan itu bagaimanapun memerlukan kelulusan AS di bawah perjanjian semasa.

Pegawai-pegawai yang mengendalikan Korea Hydro and Nuclear Power (KHNP) mahu Seoul mengadakan perjanjian baru dengan Washington dan tidak menunggu hingga 2014.

Hubungan politik

Sebarang keputusan AS membenarkan negara itu membangunkan pemprosesan semula atau keupayaan pengayaan uranium akan memberi kesan negatif terhadap rundingan yang dilakukan terhadap Korea Utara, kata Scott Snyder, Pengarah Pusat Yayasan Asia Polisi AS-Korea.

Penolakan AS terhadap rundingan baru itu yang bersesuaian dengan kemunculan peranan Korea Selatan akan merosakkan hubungan politik dan ekonomi kedua-dua negara, kata Snyder dalam satu artikel untuk Majlis Hubungan Luar Negara AS.

Snyder, memetik kecemerlangan rekod keselamatan di Seoul menyeru negara itu untuk memfokuskan pada tanggungjawab nuklear berbanding terlalu mengagungkan nuklear.

KHNP yang berbangga dengan tahap keselamatan dan daya saingnya berkata, ia mampu membekalkan kuasa sebanyak 1,400 megawatt untuk dieksport sehingga 30 peratus lebih murah daripada pesaing-pesaingnya.

"Kami mempunyai teknologi berkelas tinggi," kata Lee Soop-Il, salah seorang pengarah syarikat kepada kumpulan wartawan yang melakukan lawatan ke loji nuklear yang pertama di negara itu di Gori, bulan lalu.

Kompleks berkenaan mempunyai empat loji, termasuk yang pertama dibina pada 1978 dengan menggunakan teknologi Perancis manakala empat lagi loji masih dalam pembinaan. Mengikut perancangan, ia akan menjadi salah sebuah pusat tenaga nuklear terbesar di dunia dengan 12 reaktor pada 2025.

Korea Selatan telah menyiapkan dana lebih AS$90 juta (RM300 juta) untuk menjadi sebuah negara yang bebas sepenuhnya daripada teknologi atom asing pada akhir 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: