Friday, March 26, 2010

Parkir ‘istana’ kutu rayau

KUALA LUMPUR: Kutu rayau yang kebanyakannya dipercayai terdiri daripada ‘mat gian’ menjadikan kaki lima bangunan, parkir, bawah jambatan dan jejambat sekitar ibu kota sebagai tempat tidur mereka, sekali gus mencemar imej ibu negara.

BERGELIMPANGAN...kutu rayau di tempat letak motosikal Pejabat Pos  Besar Kuala Lumpur.
BERGELIMPANGAN...kutu rayau di tempat letak motosikal Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur.
Tinjauan Metroplus baru-baru ini, mendapati kutu rayau pelbagai peringkat umur dan kaum tidur bergelimpangan di kawasan tempat letak motosikal di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur di sini.


Tidak kurang 30 kutu rayau tidur di kawasan itu seawal jam 11 malam dengan beralaskan surat khabar dan kotak sebagai ‘tilam’ serta beg mereka sebagai ‘bantal’.


Metroplus turut menghampiri beberapa kutu rayau di situ yang belum lena untuk mengetahui punca mereka sanggup hidup sebagai golongan gelandangan.


Rosdi, 37, berasal dari Pontian, Johor yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, berkata dia menjadikan kawasan sekitar ibu kota sebagai ‘rumah’ hampir setahun serta sering berubah tempat untuk mengelak ditangkap pihak berkuasa.


Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa tempat, namun sering diberhentikan kerana masalah disiplin dan kerap ditangkap akibat menagih dadah.


“Saya datang ke Kuala Lumpur kerana malu dengan orang kampung dan keluarga kerana ditangkap menghisap dadah, selain itu saya berniat untuk mencari pekerjaan di bandar raya ini serta nekad untuk berubah.


“Namun, saya gagal apabila tekanan hidup di sini lebih dahsyat. Saya tidak mampu menyewa rumah dan mencari pekerjaan juga sukar kerana status sebagai bekas banduan dan penagih,” katanya.


Katanya, sebagai sumber pendapatan dia menjadi penjaga parkir haram di ibu kota dan boleh mendapat RM50 hingga RM60 sehari.


“Tetapi sekarang ini agak sukar mencari duit dengan menjaga parkir kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selalu mengadakan operasi pemantauan dan jika tertangkap boleh dipenjarakan tiga bulan.


“Nak jadi ‘pak guard’ (pengawal) pun susah sekarang sebab orang tak percaya orang macam kami dan lebih teruk terpaksa bersaing dengan warga asing,” katanya.


Kerancakan wartawan berborak dengan Rosdi dikejutkan tengkingan seorang wanita memarahi seorang lagi kutu rayau yang membuang air di tempat pejalan kaki berhampiran kawasan itu.


Wanita yang ingin dikenali sebagai Ayu itu berkata, tindakannya memarahi kutu rayau terbabit kerana tidak mahu kelakuan tidak senonoh itu menyusahkan ‘penghuni’ lain di situ.


Ayu yang berusia 42 tahun adalah antara ‘orang lama’ di kawasan terbabit.


Kata Ayu, dia menginap di parkir motosikal itu sejak 2005 dan mengenali kebanyakan kutu rayau yang senasib dengannya.


“Kebanyakan yang ada di sini main ‘ubat’ (dadah), bagi bukan penagih mereka ini kami gelar ‘mat berat’ kerana berat tulang atau malas nak kerja.

“Ada kutu rayau yang tidak buat apa-apa pun untuk dapatkan duit, mereka semua tidak hirau pasal makan dan minum kerana ada pihak sediakan makanan setiap hari,” katanya.


Menurutnya, setiap hari pasti ada pihak seperti persatuan dan rumah ibadat mengagihkan makanan.


Sementara itu, Penolong Pengarah Pemulihan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kuala Lumpur, Siti Zaharah Bechi ketika mengulas mengenai masalah kutu rayau itu, berkata pihaknya sedar kebanyakan daripada mereka penagih dan operasi menangkap mereka sering dilakukan.


Untuk mengatasi perkara itu, katanya, AADK akan bekerjasama dengan DBKL dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengadakan operasi bersepadu membersihkan ibu kota daripada kutu rayau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: