![]() |
| |
SEBAGAI sebuah akhbar yang sentiasa dekat di hati masyarakat, Mingguan Malaysia tidak pernah mengabaikan pembaca dan peminat setianya. Selama lebih lima dekad menabur budi dan jasa semenjak ditubuhkan pada 30 Ogos 1964, Mingguan Malaysia tidak pernah alpa menghargai sumbangan pembaca yang hari ini telah meletakkannya sebagai akhbar mingguan tertinggi dengan edaran hampir 500,000 pada setiap Ahad.
Justeru, dengan memilih pendekatan menghargai kelompok pembaca setianya, akhbar terbitan Kumpulan Utusan melalui sisipan Pancaindera menganjurkan bengkel Cantik Sihat Pancaindera 2010.
Bukan melalui acara hiburan berteraskan lagu-lagu dan melodi seperti yang selalu dianjurkan, acara ini menggunakan medium berbeza apabila mengangkat seni solekan,senaman dan dandanan diri sebagai medium utama, satu kesenian yang sudah pastinya disenangi oleh setiap yang bernama wanita.
Bertempat di Hotel Permaisuri, Port Dickson, Negeri Sembilan yang turut bertindak selaku penganjur bersama, lokasi pertama kami mendapat sambutan dengan penyertaan hampir 150 wanita.
Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin memberitahu acara ini diadakan bagi menghargai golongan pembaca setia yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada akhbar berkenaan.
"Acara ini dianjurkan sebagai 'membalas budi' pembaca-pembaca setia kami khususnya kaum wanita di Port Dickson.
"Saya selalu percaya, bercakap kepada seorang lelaki, sesuatu mesej yang ingin disampaikan hanya akan diterima oleh seorang lelaki itu sahaja, mesej itu tidak akan berkembang.
"Bagaimanapun dengan bercakap kepada seorang wanita, kita barangkali boleh berkongsi mesej yang sama dengan sebuah keluarga, malahan tidak mustahil kepada satu masyarakat sekaligus. Justeru menganjurkan bengkel khusus untuk pembaca wanita kami seperti ini akan memperolehi lebih banyak manafaat," beritahu Tengku Khalidah.
Dengan membawakan fasilitator berpengalaman dalam bidang masing-masing, antara pengisian acara ialah penjagaan kesihatan dalaman dan luaran wanita cara orang lama oleh pengasas Jamu Mak Dara, ibu Halimah Shuib.
Halimah yang kekal anggun dalam usia 66 tahun, tampil dalam busana anggun, berkasut tumit tinggi enam inci dan ini membuatkan hampir keseluruhan peserta 'tergamam' kagum.Tak kurang pula yang cemburu.
Dengan langkah bagaikan 'Ratu Cantik Malaysia', ibu Halimah berjaya meyakinkan keseluruhan peserta bengkel bahawa dengan amalan menjaga kesihatan dan pemakanan yang baik, mampu mengekalkan keangunan diri sekaligus menolak faktor usia ke belakang.
Kolaborasi bersama Jamu Mak Dara yang juga merupakan rakan strategik iklan Mingguan Malaysia ternyata memberikan manafaat tak terhitung apabila kemunculan ibu Halimah sememangnya dinanti-nantikan peserta untuk mendapatkan sendiri tips-tips yang tidak mungkin ditemui dalam buku bacaan.
Sebelum itu, seawal pukul 9.30 pagi, Halimah mengajak peserta untuk sama-sama bersenam dengan beliau sebagai pemula acara.
Langkah-langkah senaman yang dipraktikkan kata Halimah, dapat membantu wanita yang sudah berumah tangga untuk mendapatkan bentuk badan cantik terletak seperti anak dara.
"Amalan senaman ini membuatkan ibu tidak takut untuk berhadapan dengan masalah bentuk badan menggelebeh atau berlemak meski pun selepas bersalin. Senaman sebegini amat mudah dan perlu dipraktikkan setiap hari selain kesannya dapat dilihat dalam jangka masa tiga bulan sahaja," tutur ibu Halimah memberi petua rahsianya.
Muncul dengan gaya senaman tradisional yang diyakini mustajab untuk menjaga hubungan suami isteri, Halimah tidak lokek memberi tunjuk ajar selama lebih satu jam dalam segmen senaman.
"Setiap wanita, tak kira artis , selebriti ke, suri rumah tangga ke, perlu menjaga keanggunan diri, luaran dan dalaman. Seelok-eloknya jaga pemakanan sedari awal usia remaja agar bila sudah berusia, badan masih sihat dan bertenaga dan hubungan dengan suami pun berkualiti," katanya lagi.
Ini diikuti dengan segmen cara pemakaian tudung bergaya ke majlis-majlis keramaian dengan tunjuk ajar pihak Glam & Vass Collection, yang merupakan pengedar tunggal tudung berjenama Purnama.
Kemunculan artis sensasi Ifa Raziah juga menjadi antara daya penarik bengkel seharian itu. Ifa selaku duta produk Coway menggunakan saluran berkenaan untuk mempopularkan barangan berjenama dari Korea Selatan itu selain berkongsi tips jagaan kesihatan peribadinya.
"Kehidupan yang sihat datang daripada amalan pemakanan yang sihat. Pemakanan yang sihat datangnya daripada sumber air yang bersih dan salah satu produk Coway yang terbaik ialah penapis air yang dinamakan Pitet.
"Menariknya setiap produk ini datang bersama dengan pakej servis perkhidmatan selepas jualan di mana agen yang dilantik akan membuat pembersihan setiap dua bulan sekali di rumah pelanggan," kata artis yang digelar 'ratu cucuk' ini.
Lelaki di dunia wanita, tidak ada sesuatu yang menghairankan pada hari ini. Justeru penampilan jurusolek profesional Zambri Sulaiman ke Port Dickson sememangnya memberikan 'seri' yang tersendiri kepada acara.
Dengan segala kepakarannya, Zambri yang juga pengasas Zambri Beauty Inspiration telah memberikan tips solekan dalam tiga sentuhan, gaya bersantai, gaya ke majlis makan malam dan gaya bintang bagaikan artis.
Dalam menyampaikan ilmu solekan, jurusolek tetap Akademi Fantasia musim kedua hingga Akademi Fantasia musim ke enam ini cukup ikhlas. Meskipun dalam jangka masa hampir dua jam, dia telah menunjuk ajar tiga teknik solekan seperti yang dikehendaki oleh peserta bengkel.
"Hasrat saya agar setiap wanita di dalam dewan ini memperolehi ilmu solekan ini dengan sebaik mungkin. Seandainya suatu hari nanti, sekiranya jodoh perkahwinan tidak panjang dengan suami dan mereka tiada sumber pendapatan, sekurang-kurangnya dengan belajar ilmu solekan, wanita mampu mendapatkan sedikit wang sampingan untuk menjana kehidupan.
"Setiap wanita perlu ada persediaan untuk berhadapan dengan segala kemungkinan kehidupan mereka. Jika mempunyai lebih banyak kemahiran, amat mudah untuk mereka meneruskan kehidupan dan menyara anak-anak seandainya sesuatu terjadi kepada suami di kemudian hari," nasihat Zambri dengan panjang lebar.
Nah, demikianlah hasrat kami, supaya semua peserta mendapat manafaat positif untuk kehidupan peribadi mereka dikemudian hari. Ia sejajar dengan kelahiran Mingguan Malaysia yang sentiasa menyokong ke arah melahirkan kehidupan sihat dan positif, bernafas dengan aman dan damai di bumi bertuah bernama Malaysia ini.
Bengkel Cantik Sihat Pancaindera hari ini bakal singgah di Hotel The ZONE Regency, Johor Bharu yang turut bertindak selaku penaja bersama kami.

Usaha tangga kejayaanCoway
ReplyDelete