![]() |
| |
OCA itu orang nya yang mudah ketawa, cepat mesra. Kalau bercakap dia takkan mudah berhenti, sembangnya seperti kereta api, laju meluncur," kata seorang kawan. Dialog oleh Bard Deraman (senior Pegawai Perhubungan Awam SRC), teman yang sudah lebih dua dekad mengabdi diri kepada kehidupan meladeni artis itu membuatkan saya senang sekali untuk bertemu dengannya, lewat makan tengahari kami di sebuah hotel lima bintang, tanggal 28 Januari lalu.
Makan tengahari ini merupakan pertemuan kedua saya dengannya secara bertentang mata.
Pertama kali kami saling memandang antara satu sama lain sekitar awal tahun 2000-2002 (kalau tidak silap saya). Ketika dia buat pertama kalinya mempromosi diri di Kuala Lumpur di bawah label Warner Music.
Jujur saja ya, ketika itu saya sedikit 'bosan' untuk menemubual artis Indonesia yang 'mendadak' popular di Malaysia. Atas semangat patriotik kepada artis-artis Malaysia saya mengekang minat kepada lagu-lagu import dari seberang, tetapi dalam bab temubual ini apabila mengenangkan ia sebagai tanggungjawab, terpaksa melakukannya juga.
Dan selepas artikel temu bual itu disiarkan, Rossa yang mesra disapa kenalan rapat sebagai Oca, terus lenyap daripada ingatan saya, kecuali sesekali ada cerita panas tersebar dari seberang, hanya disitu sesekali namanya kembali melintas di kotak fikir.
Bagaimanapun lagu Ayat-Ayat Cinta yang dipinjamkan kepada filem berjudul sama, kira-kira dua tahun lalu menjadikan saya kalah dengan prinsip asal. Melodi indah yang membius dari lagu berkenaan membuatkan saya jatuh kagum dengan si pemilik tubuh genit ini.
Lalu ada sebab kenapa saya teruja apabila turut sama dijemput bertemu dengannya lewat makan tengahari itu (pssstt, dalam kewartawanan rasa uja perlu dibuang jauh-jauh kalau mahu menemubual : nasib saya baik kerana kami hanya menikmati makan tengahari, bukan dalam urusan pekerjaan).
Tarikh: 28 Januari 2010
Lokasi: Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur.
Makan tengah hari pada penghulu segala hari. Jumaat itu, kami berteman dengan seorang VVIP dan beberapa pegawainya dan di situ saya cuba menguji akan pertemuan kami bertahun sudah.
"Oca, kita pernah ketemu, aku temu bual kamu, lama dulu. Waktu itu kamu masih anak-anak," dan ketawa kami pecah bersama sebelum dia menjawab ikhlas "Ia, di Hotel Concorde ya? Itu sudah terlalu lama ya, mungkin enam atau tujuh tahun. Aku ingat itu," katanya yang pada pertemuan itu mengenakan celana jeans dipadan kemeja putih polos.
Benar sekali kata Bard, ingatannya cukup kuat dan Rossa punya kuasa komunikasi yang cukup hebat, sesuai dengan status graduan bidang komunikasi. Selain mudah amat menghafal nama orang, berbicara dengannya bukan seperti bicara dengan artis termashyur. Meski dia mengalas beg tangan berjenama Hermes, langsung tiada riak meninggi diri kala melihat lawan bicara sekadar berteman Vincci, bukan LV.
Seminit baru bertemu, seperti sudah sepuluh tahun berteman dan dia akan menjawab apa saja selagi dibatas perbualan, bukan untuk dirakam.
Dia memang bijak, punya otak, lalu menjadikan bicara menerobos sehingga ke dunia bisnes, politik, waima ekonomi (tidak hairan Rossa dikatakan bijak bermain dalam bisnes jual beli aset seperti tanah dan rumah dan menjana kekayaan melalui bidang berkenaan).
Tarikh: 11 Mac 2010
Lokasi: Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
PENKEK durian satu persatu menyelinap masuk ke mulutnya. Sambil menayangkan gambar-gambar peribadi dari telefon bimbitnya, dia begitu hebat menghantar gigitan cinta buat penkek kesukaan. Ralit sekali saya memerhatikan, justeru Rossa sendiri memilih lokasi makan malam.
Di situ, kami juga meraikan hari jadi seorang teman usahawan wanita, Roselawati Ramli dalam acara kecil-kecilan sementelah Rossa sendiri memilih menyampaikan lagu selamat.
"Selamat ya, semoga murah rezeki, dipanjangkan umurnya, semoga berteman lebih lama," tuntas Rossa dalam bahasa paling akrab, memperlihatkan tanda persahabatan akrab.
Tarikh: 21 Mac 2010
Lokasi: Restoren Just Steak, Jakarta, Indonesia
"Kak Emma...kamu sudah agak kurus sekarang, aku cemburu," diterkamnya rakan saya, Hamisma Hassan, lalu memeluk seerat-eratnya sahabat itu sebaik saja selesai sesi sidang media Konsert Melodi Rossa di Jakarta, hujung minggu lalu.
Dialog kesukaan yang saya anggap sebagai strategi komunikasi paling berkesan untuk menghantar persahabatan kepada kaum wanita itu, membuatkan rakan Editor Majalah HAI yang satu itu tidak habis tersenyum girang sebelum bualan mereka merancak.
Usai berkenalan serba ringkas dengan media Malaysia yang turut menyertai sidang akhbar berkenaan, kami pinta Rossa untuk sekali lagi bercanda gurau dan dia akur.
Jari jemari runcingnya semberi menutup ketawa nyaringnya. Dia yang baru saja berteriak (Rossa berteriak pun kedengaran cukup merdu tau) kepada anak tunggalnya, Rizki Ramadan agar duduk diam, kelihatan tersipu-sipu kala soal yang satu itu diajukan.
"Sedang bercinta? Manalah. Aku ini tidak laku, tiada lelaki mahukan aku," tuntasnya dalam bahasa yang malu-malu.
Belum sempat dia terus 'berbohong', wajah kemerah-merahannya menahan malu sudah cukup untuk memberikan jawapan, memang benar, hatinya sudah kembali berbunga cinta.
Rossa kembali jatuh cinta? Biar benar ni. Tetapi difikirkan kembali, setelah lebih setahun berpisah ranjang secara sah dengan suaminya, Yoyo, kenapa tidak Rossa membuka pintu hatinya untuk lelaki lain?
Tidakkah setiap yang bernama wanita berhak untuk berkasih-kasihan, disayangi dan menyayangi seorang lelaki.
Terdiam seketika dia sebelum kemudian dalam nada masih malu-malu menjawab "Ia. Benar, sedang mengenalinya. Yang pentingnya, aku sedang dekat dengan seseorang, tetapi kalau mahu dianggap bercinta, masih jauh barangkali. Aku mahu berteman dulu, biar waktu saja memberikan jawapannya," katanya.
Siapa? Bujangkah? Suami orangkah? Apa pekerjaan teman lelaki baru itu? Soalan hanya dibiarkan sepi tanpa jawapan pada saat pipinya kekal memerah.
"Oho, cukuplah. Aku tak mahu jawab. Ya, aku sedang bahagia ni, cukup saja itu yang aku katakan. Tuhan....Tolong! Aku malu sekali menjawab soal ini," katanya lagi.
Sengaja menjerat dengan soalan nakal (lebih kepada menduga), benarkah lelaki itu orang Malaysia? Kalau bukan orang istana, khabarnya kaya ternama?
"Ha?" Sekali lagi dia menyergah, membuatkan kami sama-sama ketawa.
"Tak adalah. Bukan orang luar, bukan orang Malaysia."
Nah, akhirnya kami ketemu jawapan bahawa memang benar Rossa sedang dilamun cinta dengan seorang lelaki bertuah, anak Indonesia sendiri.
Dalam senja yang kian temaram, Rossa kami ajak berbual lebih lama. Meski kepenatan terpancar dari wajahnya yang sedikit hilang maya gara-gara sudah empat jam melayan media Malaysia dan Indonesia, Rossa yang kami sayangi tidak kisah kepada lelah yang membahu.
Jika Krisdayanti dikatakan bakal bernikah dengan jutawan suami orang, Raul Lamos, Rossa enggan untuk menjawab apakah dia lebih bersedia menerima lelaki bujang, atau tidak kisah ditakdirkan berkongsi kasih sayang.
Kepada dirinya, isu berkenaan lebih elok jangan diulas kerana tidak mahu menyinggung perasaan pihak lain.
"Kalau komen yang itu, aku diam sajalah. Tak mahu ikut campur. Kalau aku membuka mulut, bimbang ada yang salah tafsir kerana setiap manusia ada pegangannya.
"Maka kalau ditanya soal poligami, mengambil hak orang lain atau apanya, aku diamkan saja. Supaya nanti tak ada yang akan terasa dengan komen aku itu," katanya pinta dimengerti.
Media Malaysia yang dibawa khas ke Jakarta demi untuk menyampaikan maklumat mengenai kemunculan pertamanya di sini dalam konsert berskala gergasi.
Tanggal 29 Mei, penyanyi dengan ukuran badan tidak lebih 30 sentimeter di setiap inci badannya, akan mengalunkan melodi yang sudah sekian lama direncana.
"Aku itu sangat sayang kepada peminat di Malaysia yang selama ini menerima aku dengan baik. Aku tidak pernah ada masalah di sana, justeru aku mahu sekali lagi menemui mereka dalam bahasa muzikku yang terbaik buat mereka. Semoga Malaysia akan mendukung aku," pintanya.
Bersedia untuk memberikan karya-karya indahnya secara langsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Rossa menganggap peminat di Malaysia mempunyai karektor yang sedikit berbeza dibandingkan dengan peminat di negara kelahirannya.
Tanpa memburukkan mana-mana pihak, kepada Rossa peminat di Malaysia menghargai artis dalam jangka masa yang lebih lama.
"Kalau di sini, artis hanya popular mengikut populariti lagu atau singlenya sahaja. Orang Malaysia meminati seseorang artis dalam jangka masa yang lebih lama, mereka cukup setia," puji Rossa yang turut diangkat oleh penyanyi popular Malaysia, Syafinaz Selamat sebagai seorang pemberani.
Kata guru vokal tersohor itu, tidak banyak orang seberani Rossa kerana tidak takut menganjurkan konsert solo berskala besar seperti itu.
"Saya kagum dengan Rossa. Sehingga kini belum ada artis Indonesia yang berani mempertaruhkan namanya untuk konsert besar secara solo seperti Rossa.
"Artis Malaysia sendiri, kecuali Siti Nurhaliza, tidak berani melakukannya, tetapi saya kagum dengan pilihan Rossa," kata Syafinaz yang turut hadir ke sesi sidang akhbar ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: