Sunday, March 28, 2010

Saya bukan bomoh




DALAM diam-diam pelakon yang sering kali membawakan watak alim dalam drama, Ashraf Muslim dikatakan menjadi bomoh dan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Benarkah dakwaan yang dilemparkan sesetengah pihak terhadap pelakon tinggi lampai yang sering menghiasi drama-drama tempatan ini?

Ramai yang mendakwa pernah mendapat khidmat daripada pelakon yang membawakan watak Ustaz Amirul dalam drama bersiri Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di TV3, lewat tahun lalu.

Malah tersebar juga cerita kononnya Ashraf kini sudahpun menumpukan sepenuh perhatian kepada 'kerjaya' barunya itu dan sudah tidak banyak melibatkan diri dalam dunia lakonan yang selama ini banyak menaikkan namanya.

Apabila diajukan pertanyaan tersebut Ashraf ternyata terkejut dan menafikan perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, Ashraf juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia menjadi bomoh seperti yang didakwa.

"Saya tidak menjadi bomoh seperti yang diperkatakan. Saya juga mahu membetulkan kenyataan yang saya bukan seperti apa yang digambarkan orang ramai terutama apabila keluar cerita yang mengatakan saya bomoh.

"Saya hanya mengubati dan menolong orang ramai melalui kaedah yang dibenarkan dalam Islam termasuklah menggunakan ayat-ayat suci al-Quran. Itu sahaja yang saya lakukan.

"Kalau nak cakap saya guna limau atau benda-benda lain yang sering kali digunakan oleh bomoh-bomoh lain, itu memang tak benar.

"Saya kurang selesa untuk bercakap perkara ini. Saya tak mahu peminat dan orang luar bercakap bukan-bukan terhadap saya dan tempat saya berkhidmat," kata Ashraf lagi.

Walaupun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai khidmat sosialnya itu, Ashraf akhirnya mendedahkan yang dia hanya menjadi pembantu kepada perubatan alternatif yang dikenali sebagai Haji Lokman, di Pusat Perubatan Syifa' Al Hidayah, Gombak, Selangor.

Pusat perubatan yang sudah beroperasi sejak 18 September 2006 itu memang terkenal dalam membantu ramai pesakit menyembuhkan sakit yang mereka alami dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Selain berupaya mengubati gangguan makhluk halus, Ashraf juga turut mendedahkan pusat perubatan ini juga sering kali menjadi tumpuan pesakit kritikal seperti kanser, pembedahan secara batin, penyakit rohani, gangguan saka, gangguan sihir dan pelbagai penyakit lagi.

Tak mahu dilabel riak

"Saya buat semua ini kerana Allah. Saya ikhlas menolong mereka yang datang dan tak ada niat lain. Saya juga kurang selesa jika orang lain membaca kenyataan saya ini dan terus membuat andaian yang bukan-bukan.

"Bagi saya biar orang tahu apa yang saya buat secara sendiri. Biar mereka tahu apa yang saya lakukan secara sendiri dan bukannya melalui cara lain.

"Saya tak kisah jika orang ramai dah tahu kerana niat saya hanya mahu membantu orang ramai yang ada penyakit. Ini tanggungjawab saya kepada masyarakat dan bukannya saya buat salah," katanya yang hampir dua tahun berkhidmat di pusat perubatan ini.

Menggalas tanggungjawab sebagai pembantu kepada Haji Lokman, Ashraf banyak mempelajari cara-cara perubatan cara Islam dan setiap ayat-ayat al-Quran yang dibacanya mempunyai khasiat yang sudah diketahui kemujarabannya.

Namun begitu kesibukan tugas sebagai pelakon sedikit sebanyak membataskan tugas usahawan yang terkenal dengan ternakan kambing itu.

Jelasnya, tugas merawat pesakit akan dilakukan sekiranya ada kelapangan dan bukan dilakukan sepenuh masa memandangkan masih banyak urusan lain yang perlu diselesaikan.

"Saya puas apabila melihat ramai pesakit yang datang sihat selepas mendapatkan rawatan. Kita hanya merawat dan dengan izin Allah mereka akan sihat seperti sedia kala.

"Ada juga pesakit yang datang mengenai saya sebagai pelakon. Tapi saya hanya pelakon bila berada di dalam set sahaja. Bila di pusat perubatan saya bukan lagi pelakon yang anda lihat di kaca tv.

"Saya tak mahu mencampur adukkan antara tugas sebagai pelakon dan pengamal perubatan sekali gus. Setiap kerja yang kita lakukan kena ada fokus. Sama juga hal yang berlaku pada saya. Saya perlu fokus terhadap tugas membantu orang dan hal-hal duniawi perlu ditolak seketika.

"Bagi saya kepuasan yang paling utama ialah membantu orang ramai. Saya melakukan dengan kerelaan hati tanpa mahu apa-apa ganjaran.

"Bagi saya selagi ada hayat, kita perlu seimbangkan antara hal dunia dan akhirat. Saya masih lagi berlakon, keluar menonton wayang dan melakukan aktiviti yang orang lain buat.

"Cuma dalam masa yang sama saya mahu ada keseimbangan antara dunia dan akhirat. Ini yang saya mahu lakukan selagi mempunyai peluang dan kesempatan," katanya yang begitu merendah diri.

Sokongan keluarga

Berkali-kali Ashraf memohon supaya tidak digembar-gemburkan cerita tentang 'kerjaya' barunya ini, bimbang nanti ada yang berkata macam-macam tentang dirinya.

Namun usaha Pancaindera memujuk Ashraf membenarkan ceritanya dikeluarkan akhirnya berjaya memandangkan ini merupakan tugas mulia yang boleh dimanfaatkan oleh insan lain.

Jika disingkap sejarah lalu, Ashraf langsung tidak mempunyai latar belakang sekolah agama mahupun pusat tahfiz seperti mana yang dimiliki oleh pengamal-pengamal perubatan yang lain.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, Kuala Lumpur ini juga tidak menafikan yang selama ini ahli keluarganya memberikan sokongan yang padu.

"Ini perkara elok. Jadi tak ada masalah untuk ahli keluarga saya menerima dengan reda. Sama juga halnya dengan orang yang terdekat. Mereka memberikan sokongan yang tak berbelah bahagi kepada saya.

"Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Saya mahu jadi diri saya dan ikhlas dalam setiap perbuatan. Membantu orang tak salah tapi biarlah dengan niat yang betul.

"Kadangkala kita tak sedar dengan apa yang berlaku. Kita selalu terfikir kenapa perkara tersebut terjadi sedangkan kita dah memberikan yang terbaik dalam kehidupan.

"Apa yang paling penting kita cari puncanya. Jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah. Insya-Allah kita akan selamat dan diberkati," katanya ikhlas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: