Sunday, March 7, 2010

Misi wira Korea




ADA yang mengetahui tentang mereka dan tidak kurang juga yang langsung tidak ambil pusing terhadap kehebatan enam anak muda yang menggelarkan diri mereka 2PM ini.

Seperti sudah menjadi tren, kebangkitan penyanyi dari Korea ini begitu dinanti-nantikan dan tidak hairanlah jika nama-nama besar yang lahir dari negara tersebut akan popular di seluruh dunia sekelip mata.

Sebelum ini penyanyi solo Rain pernah menggegarkan dunia dengan konsert jelajah solonya dan ini sedikit sebanyak dilihat mempengaruhi 2PM untuk menerobos seterusnya menawan dunia dengan muzik yang mereka perjuangkan.

Ia kemudian diteruskan dengan kemunculan kumpulan wanita Wonder Girls yang sedang meningkat naik namanya di Malaysia dengan lagu Nobody.

Walaupun sedikit terlewat memasuki pasaran Malaysia, ia tidak menghalang artis-artis dari Korea Selatan ini untuk menunjukkan taring dengan pelbagai tarian akrobat yang tidak dijangkakan.

Dengan pelbagai rentak terutamanya KPop yang semakin digilai ramai, 2PM tidak menghadapi banyak masalah apabila melancarkan album The First Album 01:59PM pada 9 Februari yang lalu bagi pasaran Malaysia.

Dengan misi untuk menawan dunia, pelbagai perancangan telah diatur oleh mereka untuk mengukuhkan jenama 2PM setanding dengan artis-artis hebat yang lain.

Asalnya 2PM mempunyai tujuh orang anggota yang terdiri daripada Jeabeom, Junsu, Junho, Nichkhun, Taecyeon, Wooyoung dan Chansung.

Namun ‘kehilangan’ Jeabeom yang terlibat dalam satu kontroversi pada bulan September yang lalu diteruskan oleh enam anggota yang lain menerusi The First Album 01:59PM ini.

Pelbagai spekulasi dan kontroversi dikaitkan dengan Jeabeom dan ia sedikit sebanyak memberikan pelbagai andaian sama ada benar Jeabeom meninggalkan 2PM ataupun ia sekadar direhatkan buat sementara waktu sahaja.

Ia bermula apabila Jeabeom mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial yang mengatakan dia tidak suka untuk kembali ke Korea Selatan dan pelbagai lagi dakwaan yang tidak disenangi sebahagian besar rakyat Korea.

Pelbagai laporan yang berbeza telah dikeluarkan oleh media di sana mengenai perkara tersebut dan ada laporan yang mengatakan dia mahu mengundurkan diri dan mahu kembali menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

Dalam laporan itu juga menyebut dia memohon maaf di atas keterlanjuran perbuatannya dan paling dikesalkan apabila dia tidak menjadi ketua yang baik.

Park Jin-young yang juga merupakan Ketua Pegawai Esekutif, JYP Entertaiment yang bertindak menguruskan 2PM tetap meneruskan misi untuk membina empayar 2PM walaupun dengan hanya enam orang ahli.

Sebelum menghasilkan album pertama, 2PM pernah menghasilkan album pertama pada tahun 2008 dengan lagu 10 Points Out Of 10 Points. Ini disusuli dengan lagu Only You yang dipetik daripada mini album, Hottest Time of the Day.

Kehebatan 2PM ini bukan sahaja terletak pada kekuatan vokal tetapi turut hebat dalam aspek tarian terutama apabila album mini kedua mereka yang berjudul 2:00PM Time For Change meledakkan nama mereka lagi.

Walaupun masih boleh dikira setahun jagung, kehebatan 2PM tidak boleh dipandang enteng apabila mereka menerima pelbagai pengiktirafan tertinggi di negara sendiri.

Pengorbanan yang mereka lakukan selama ini terbayar apabila mendapat anugerah Best Male Group dan Artist Of The Year dalam anugerah M.Net Asian Music Awards (MAMA) dan anugerah Disc Bonsang Award menerusi Golden Disk Awards.

Lagu Heartbeat nyanyian mereka juga pantas mendaki carta-carta stesen radio dan televisyen di sana dan pernah menduduki carta pertama dalam K-Chart untuk beberapa minggu berturut-turut.

Kecemerlangan mereka diteruskan dalam Festival Muzik yang dianjurkan oleh Korean Broadcasting System (KBS). Menerusi festival tersebut lagu Again & Again telah diangkat sebagai ‘Song Of The Year’ dengan jumlah undian sebanyak 57,060.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: