Wednesday, March 3, 2010

Misi Ally bermula



SEPULUH peserta yang bakal mengikuti cabaran selama tiga bulan di dalam Top Host 2010.

Top Host 2010 yang bertujuan untuk mencungkil penyampai TV generasi baru bakal bersiaran setiap Rabu di TV3

BIDANG pengacaraan antara yang paling mendapat perhatian masa kini. Saban tahun kita boleh melihat bakat baru muncul di kaca televisyen menerusi program pelbagai genre. Kebolehan bertutur di hadapan kamera dan menyampaikan maklumat kepada penonton dilihat bukan saja menyeronokkan malah membuatkan mereka menjadi terkenal.

Namun di sebalik keistimewaan itu, tugasnya jauh lebih mencabar, menuntut kesungguhan, selain keupayaan menyerap maklumat dengan baik, pantas dan berkesan. Demi memastikan media televisyen terus relevan dan berupaya menyaingi saluran media lain terutama internet, penyampai TV generasi baru haruslah memiliki kredibiliti yang tinggi.


Justeru TV3 tampil mencari barisan pengacara generasi baru menerusi program Top Host 2010 yang disiarkan selama 30 minit, setiap Rabu, jam 10 malam.


Seramai 10 peserta yang terpilih menyertai Top Host begitu sabar menanti selama lima tahun untuk menyaksikan program yang dulunya dikenali sebagai Malaysian Top Host. Ada yang sanggup menangguhkan pelajaran semata-mata untuk memenuhi impian mereka itu.

Penerbit yang turut bertindak sebagai pengacara Top Host, Ally Iskandar, berkata semua 10 peserta yang terpilih mempunyai pengetahuan asas sebagai seorang pengacara.

Ally Iskandar

“Mereka dipilih kerana memiliki kriteria yang kami mahukan. Walaupun mungkin ramai lagi yang lebih berbakat di luar sana, tetapi kekangan masa membataskan pencarian kami ini.

“Bagaimanapun, setakat ini kami berpuas hati dengan kesemua 10 peserta ini dan percaya mereka mempunyai potensi untuk digilap. Sepanjang tiga bulan ini, mereka akan mengikuti pelbagai kelas yang diaturkan.

“Mereka juga akan dilatih berkaitan pembacaan berita dan pengacaraan, malah mereka juga akan diarahkan untuk turun padang bagi mendapatkan berita,” katanya.

Sementara itu, ditanya apa keistimewaan dua beradik, Za’im Helmi, 24, dan Za’im Iskandar Zaini, 20, apabila kedua-duanya dipilih menyertai program ini, Ally menjelaskan, mereka memiliki keistimewaan berbeza.

“Saya memang menjangka perkara ini akan dipersoalkan. Mereka memiliki ikatan yang kuat dan memiliki kelebihan tersendiri. Walaupun adik-beradik, tetapi keinginan mereka berbeza.

“Bagi saya, semua yang terpilih perlu diberi peluang kerana tugas kami adalah untuk menggilap bakat mereka,” katanya pada majlis memperkenalkan peserta Top Host 2010 di Sri Pentas, Damansara, baru-baru ini.

Top Host 2010 disiarkan selama 30 minit setiap Rabu jam 10 malam. Sementara itu Malaysia Hari Ini (MHI) pula akan menyiarkan keputusan tugasan yang dilakukan peserta setiap minggu.

Sepuluh peserta yang bakal mengikuti cabaran selama tiga bulan di dalam Top Host 2010 ialah Nur Liyana Adnan, 23; Nabihah Mohd Rosdi, 23; Fadhil Mohd Isa, 25; Mohd Faizal Azhar, 23; Syazwani Diyana Mohd Isa, 24; Sri Sharinnie Rizal, 23; Erin Adlina Adnan, 19; Khairul Wasiril Aswad, 19, Za’im Helmi Zaini, 24 dan Za’im Iskandar Zaini, 20.


  • Za’im Helmi Zaini (penuntut dalam bidang Pengurusan Perhotelan & Pelancongan)
    “Saya mengejar cita-cita sebagai wartawan penyiaran. Selain itu, saya juga mengimpikan program bual bicara sendiri kerana gemar berinteraksi dengan orang ramai”


  • Za’im Iskandar Zaini (penuntut dalam bidang industri mekanikal)
    ”Saya perlu ada di televisyen sebagai pengacara program sukan. Saya dan abang mempunyai minat berbeza kerana saya suka bidang sukan. Idola saya ialah Shebby Singh.”


  • Nur Liyana Adnan (pengajar bahasa Inggeris)
    “Saya meminati gaya Azlina Redzwan ketika menyampaikan berita dan menjadi perantara program Majalah 3. Saya mahu menjadi seorang perantara program TV yang serba boleh, tidak kira dalam bentuk serius atau berunsur komedi.”


  • Nabihab Mohd Rosdi (penuntut ijazah bahasa Inggeris)
    “Minat saya dalam dunia penyiaran mula bercambah pada tahun 2004 atas saranan seorang pensyarah kerana sikap saya yang suka cakap banyak. Sejak itu, saya mula menanam impian bergelar perantara program TV. Idola saya adalah Karam Singh Walia dan maria Tunku Sabri.”

  • Fadhil Mohd Isa (penyampai berita sambilan)
    “Lima tahun saya menunggu untuk menyertai program Top Host. Program seperti ini patut diadakan lebih kerap supaya orang seperti saya mempunyai peluang untuk mengembangkan bakat dan minat.”

  • Mohd Faizal Azhar (penuntut ijazah Komunikasi Massa)
    “Saya suka melihat Aliff sattar mengendalikan program Remaja, begitu juga dengan Azlina Redzuan. Saya melihat program seperti ini sebagai satu pendedahan yang baik kepada saya. Saya menyertai Top Host 2010 untuk mengejar cita-cita sebagai pengacara program TV.”

  • Sri Sharinnie Rizal (penuntut ijazah Sains Gunaan)
    “Walaupun mengambil jurusan kimia, saya selesa dalam bidang pengacaraan. Matlamat saya memang ingin menjadi pengacara program TV. Saya berharap dapat bua yang terbaik selepas gagal dalam program Gadis Melayu musim kedua yang lalu.”

  • Erin Adlina Adnan (penuntut kolej)
    “Sejak kecil lagi saya suka bercakap dan banyak menyertai pelbagai program seperti debat dan pidato. Saya berminat untuk menjadi wartawan kewangan seperti program Money Matters”

  • Khairul Wasiril Aswa
    “Saya meminati muzik dan berharap penyertaan dalam Top Host 2010 ini akan memberi peluang kepada saya untuk menjadi pengacara program berkaitan muzik dan hiburan.”
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: