Wednesday, March 3, 2010

Jawablah! Saya tak singkir Syuib




DULU, hubungan mereka berdua bagai isi dan kuku. Di mana ada Bob, di situlah juga pengurusnya, Syuib Ismail berada. Tapi, sejak Januari lalu, mereka tidak lagi bekerjasama. Dengan lain perkataan, Syuib tidak lagi menguruskan kerjaya penyanyi yang dilahirkan menerusi program Akademi Fantasia itu.

Dari perkhabaran yang sampai ke telinga, kononnya mereka berpisah kerana terpaksa. Terpaksa bagi Syuib kerana Bob didakwa menyingkirnya dengan alasan dia tidak menguruskan soal kewangan syarikat dengan betul. Dan perkara ini pernah disiarkan di dalam ruangan gosip kelolaan Normah Becok beberapa minggu lalu.

Sebaik saja gosip ini tersiar, khabarnya Bob panas punggung. Iyalah, hati mana yang tak gelisah andai dia didakwa melakukan perkara yang dia sendiri tidak buat. Malah ketika dihubungi Hip baru-baru ini, Bob berkata semua gosip yang dilemparkan itu tidak benar sama sekali.


Bukan cuba menegakkan benang yang basah atau mahu bersikap 'propa' dengan media, tetapi tegas penyanyi dari Miri, Sarawak ini, keputusan untuk Syuib tidak lagi menjadi pengurusnya dia buat atas persetujuan bersama. Malah, menurut Bob lagi, tidak berlaku singkir menyingkir dalam soal ini dan dia juga menafikan yang masalah kewangan adalah punca perpisahan mereka.


Hip: Benarkah Bob singkir pengurus soal sendiri seperti yang tersiar dalam kolum gosip itu?

Bob:
Saya ada dimaklumkan mengenai gosip itu oleh kawan saya. Selepas membaca apa yang tersiar dalam kolum gosip itu, saya dapati semua cerita itu tidak benar. Memang benar Syuib tidak lagi menguruskan kerjaya saya tetapi keputusan itu dibuat adalah atas persetujuan bersama. Saya tidak pernah menyingkirkan Syuib dan dakwaan yang mengatakan saya menuduh Syuib tidak pandai menguruskan soal kewangan juga adalah tidak benar. Kami memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama sejak Januari lalu. Semua itu dibuat kerana Syuib mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap syarikatnya yang semakin berkembang. Dia mahu menjadikan syarikatnya itu seperti Maestro iaitu menguruskan artis, menerbitkan album dan sebagainya. Jika dia masih menjaga saya, ini bermakna dia terpaksa membahagikan masanya dan untuk mencapai apa yang dimahukannya itu dia haruslah memfokuskan kepada satu kerja saja. Jadi selepas berbincang dan menimbangkan baik dan buruk, akhirnya kami bersepakat untuk membawa haluan masing-masing.

Hip: Kenapa baru sekarang?

Bob:
Memang sebelum ini Syuib ada melahirkan hasrat iaitu pada tahun ini (2010) dia mahu mengembangkan lagi syarikatnya. Dia ada visi untuk meluaskan lagi skop syarikatnya iaitu untuk mencari artis baru dan menguruskan mereka selain mencari peluang untuk menerbitkan album. Sebagai kawan, saya harus menyokong impiannya itu. Memandangkan apa yang diimpikannya itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, jadi saya berpendapat lebih baik dia fokus kepada visinya itu dan melepaskan saya. Lagipun saya sudah lama dalam industri ini dan sedikit sebanyak, saya adalah pengetahuan serba sedikit yang boleh saya gunakan untuk menguruskan diri sendiri nanti.

Hip: Betulkah tiada pergaduhan? Ataupun jawapan ini adalah ayat PR semata-mata?

Bob:
(ketawa) Betul, kami memang tak gaduh. Malah apabila gosip itu tersiar, kami sendiri tertanya-tanya siapakah yang menyebarkan cerita tak benar itu. Hubungan kami masih baik, malah saya baru saja berjumpa dengan Syuib untuk berbincang mengenai projek masa depan kami. Buat apa kami nak bergaduh? Masakan saya boleh lupa segala jasanya menguruskan saya selama hampir empat tahun. Lagipun, selain sebagai pengurus, dia juga adalah kawan saya. Kami datang dari kawasan yang sama dan keluarga kami saling mengenali antara satu sama lain. Jadi mana mungkin kami bermasam muka atau bergaduh. Kita sertai industri ini untuk sama-sama cari makan. Tak guna kita buat cerita yang boleh menutup periuk nasi orang lain. Tapi saya ada juga dengar cerita yang mengatakan saya lupa daratan selepas popular sehingga sanggup menyingkirkan pengurus sendiri. Memang terkilan apabila cerita itu timbul tapi saya bersyukur kerana banyak pihak tahu cerita

Hip: Bagaimana pula dengan projek album? Terbengkalai ataupun masih berjalan?

Bob:
Album Bob sebenarnya sudah siap menjalani rakaman. Cuma bila Syuib sudah tiada, saya akui ada banyak benda yang saya kena lakukan sendiri. Walaupun semua lagu sudah siap dirakamkan tetapi ada juga benda yang perlu diperbetulkan sana-sini. Mana-mana yang tak puas hati, kita perbaiki terutama dari segi susunan muzik dan sebagainya. Apapun, seperti apa yang saya katakan tadi, kalau semua perbincangan berjalan lancar, mungkin saya akan meminta bantuan Syuib untuk menguruskan soal promosi album ini. Bajet pembikinan album, saya yang keluarkan tetapi soal pemasaran dan promosi, saya serahkan pada Syuib. Saya lihat kerjasama ini sebagai situasi menang-menang.

Hip: Apakah Bob mampu menguruskan kerjaya sendirian tanpa pengurus?

Bob:
Pada permulaan itu memanglah rasa kekok sebab selama ini semuanya diuruskan Syuib. Kehadirannya memang membantu sangat-sangat. Tapi apabila saya membuat keputusan untuk bergerak sendiri, saya sudah persiapkan diri ini dengan persediaan mental dan fizikal. Pengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang ini sedikit sebanyak mengajar saya untuk berurusan dengan pelbagai pihak. Tapi, kalau ada perkara yang saya tidak pasti dan memerlukan tunjuk ajar, saya tetap merujuk pada Syuib dan dia sedia untuk membantu. Malah, saya juga melatih adik saya untuk membantu saya. Sekarang ini saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Harap kerjaya seni saya akan lebih berjalan lancar selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: