Monday, March 1, 2010

Masakan Sunda janji kepuasan


Kari kepala ikan kakap.


KEPELBAGAIAN dalam menyajikan masakan mendorong kita mencuba setiap jenis hidangan yang disediakan. Tidak kira sama ada masakan itu dari Malaysia, Indonesia, Thailand atau Barat pastinya mendapat tempat dalam masyarakat terutama para penggemarnya.

Dua sahabat di Kuantan, Pahang ini cuba menjanjikan kelainan dalam setiap hidangan di restoran mereka yang dikenali sebagai Pondok Laguna dengan menyediakan pelbagai jenis masakan Sunda dari Sumatera, Indonesia.

Di Pondok Laguna, setiap hidangan yang disediakan sesuai untuk semua golongan kerana rasanya tidak terlalu pedas dan manis.

Sebut sahaja hidangan Sunda seperti teri belado, nasi timbel, dendeng batotok, soto kediri, ikan rica-rica, karedok, sambal terasi dan lalapan

semuanya sedia terhidang di sana.

Menurut pengasasnya, Yang Siau Mei atau May, 40, idea untuk membuka restoran berasaskan masakan Sunda timbul apabila rakan-rakan sentiasa memuji masakan tersebut setiap kali mengunjunginya di Indonesia.

''Saya dilahirkan di Sumatera, Indonesia dan berkahwin dengan orang Malaysia. Saya sendiri orang Sunda dan sentiasa memperkenalkan pelbagai masakan Sunda kepada kawan-kawan,'' katanya katanya yang dibesarkan di Jakarta sebelum berhijrah ke negara ini.

Dari situ, timbul idea bersama seorang rakan, Hanisah Lai Py Koing, 32, untuk membuka sebuah restoran yang dikenali sebagai Pondok Laguna. Tambahnya, selain keenakan masakan Sunda, setiap hidangan memenuhi gizi makanan yang diperlukan untuk tubuh manusia.

''Sebagai contoh, hidangan utama yang menjadi pilihan ialah nasi timbel iaitu nasi putih yang dibungkus di dalam daun pisang disajikan bersama tempe, ayam panggang, lalapan yang terdiri daripada sayur-sayuran dan sambal terasi," jelasnya.

Keaslian

Malah, katanya, dia menggunakan khidmat lima orang chef dari Indonesia semata-mata untuk memastikan keaslian hidangan Sunda yang dihidangkan.

''Setiap chef akan menyediakan pelbagai hidangan dan sentiasa menukar sajian setiap minggu demi kepuasan pelanggan," ujarnya.

Tambah May, apa yang pasti setiap hidangan yang disediakan cukup berbaloi dengan dengan harga yang ditawarkan.

''Cukup murah dan bersesuaian dengan hidangan. Seperti satu set nasi

timbel hanya berharga RM9.90 dan saya rasa itu amat berpatutan," jelasnya sambil memberitahu setiap sajian adalah halal.

Pondok Laguna yang beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 malam itu turut menyediakan hidangan khas soto Betawi, soto kuning Bogor, soto mi Bogor, soto kediri, lontong sayuran, gado-gado dan kari kepala ikan kakap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: