Monday, March 1, 2010

Laman hijau inspirasi pemilik




KEHIJAUAN hutan tropika sememangnya menyejukkan mata memandang. Justeru tidak hairanlah ia menjadi inspirasi ramai pemilik kediaman untuk mengadaptasi idea tersebut di laman rumah mereka.

Suasana yang nyaman dan segar merupakan faktor utama konsep itu menjadi pilihan selain penyelenggaraan yang mudah dan tidak rumit.

Menurut pemilik Green Inc., Mohd Mustaqim Rahmad, konsep taman tropika sesuai dengan cuaca negara ini dan ia mudah dijaga.

"Pemilihan landskap kediaman persendirian perlu praktikal, sesuai dengan kegunaan ruang tersebut sebagai tempat aktiviti bersama keluarga," kata beliau.

Paling penting kata beliau, pemilik kediaman perlu mengenal pasti dahulu apa yang mereka mahukan dan konsep akan datang kemudian.

Menurutnya, kecenderungan pemilik contohnya kerap melakukan majlis akan menentukan jenis landskap yang sesuai. Kemudian barulah difikirkan kos dan bajet yang diperlukan.

"Jika kerap mengadakan majlis, maka ruang perlu lapang dan ada tempat untuk mendirikan khemah serta melakukan aktiviti," katanya.

Taman tropika katanya, sekali pun padat tetap sesuai untuk mereka yang kerap mengadakan majlis dengan syarat penyusunan landskap perlu teratur dan strategik.

Taman tropika juga memberikan kesan 'cosy' atau nyaman. Maka dengan sendirinya, tetamu yang datang tidak akan membuat bising.

Antara pokok-pokok yang sesuai adalah paku langsuir, palma kipas, pinang hijau, pinang merah, pokok buah-buahan dan sebagainya.

Menghidupkan ruang

Bagi pemilik kediaman persendirian, ruang laman merupakan sebahagian daripada aktiviti berkeluarga.

"Di sinilah tempat untuk mereka berehat, bercucuk tanam, membersihkan kawasan, bermain dan sebagainya," kata Mustaqim.

Jelas beliau, sebelum pemilik memilih pokok yang ingin ditanam, mereka perlu melihat pelan rumah terlebih dahulu.

"Jika ruang itu lebar, tumbuhan seperti pinang hijau sesuai ditanam. Begitu juga dengan pokok buah-buahan seperti mangga, nangka dan sebagainya," katanya.

Sebagai elemen penyokong kepada taman tadi katanya, pemilik perlu menambah sedikit tumbuhan renek dan tanaman menjalar. Begitu juga dengan tumbuhan bergantung seperti jenis pepaku.

Denai berturap batu-batu kecil sesuai ditambah untuk kelihatan lebih menarik. Sekiranya ruang kelihatan lurus dan sempit, pemilik boleh menambah batu-batu pemijak yang disusun beralur bagi menampakkan kesan tidak kaku.

Begitu juga dengan pemilihan tempat rehat, seperti pagola, bangku kecil dan sebagainya.

Mustaqim turut berpesan agar pemilik tidak menyusun pasu atau menanam tumbuhan mengikut satu kedudukan lurus.

"Pemilik perlu bermain dengan corak tumbuhan untuk mencipta arus pergerakan supaya taman tidak kelihatan kaku," katanya.

Sebagai contoh katanya, jika memilih untuk menanam bunga mawar, susun pasu-pasu yang berisi pokok mawar agar kelihatan tinggi rendah dan bertingkat, supaya terhasil bentuk yang menarik dan merimbun.

Bagi ruang yang sempit pula katanya, pemilik perlu bijak menyusun atur material dan tumbuhan. Sebagai contoh, jika ingin kolam yang mempunyai jambatan, letakkan rumah pam di bawahnya. Kolam dan air pancut mini, katanya berupaya menghidupkan sesuatu taman melalui pergerakan air.

"Selain itu, pencahayaan turut memainkan peranan penting bagi menghidupkan taman terutama pada waktu malam," katanya lagi.

PEMIJAK berbatu kecil mencipta arus bagi menampakkan sesebuah ruang itu hidup dan tidak kaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: