Tuesday, March 2, 2010

Giliran Shafie Naswip sertai PLKN

Selepas Diana Danielle dan beberapa artis remaja lain menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kini giliran Mohd Shafie Naswip pula mengharungi fasa latihan ketenteraan itu selama tiga bulan.

Meskipun hatinya agak berat untuk meninggalkan ayah dan ibu tercinta, namun bagi Shafie, dia bersedia untuk melunaskan tanggungjawabnya terhadap negara dan dijangka akan menyertai program itu pada Mac atau April ini.

“Kalau ikutkan, mak dan ayah saya pun berat nak lepaskan saya pergi PLKN sebab mereka cuma berdua saja di rumah. Lagipun latihan itu mengambil masa yang lama. Tapi dah tanggungjawab, nak buat macam mana. Nak tak nak, saya terpaksa juga pergi,” katanya yang ditemui ketika penggambaran drama Jidin, di Sungai Buluh, baru-baru ini.

Jika tahun lalu, pelakon filem Mukhsin dan Talentime ini pernah berehat selama setahun daripada menerima sebarang tawaran lakonan demi memberi laluan terhadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), nampaknya kali ini dia terpaksa berehat lagi.

“Selepas SPM saya sempat berlakon satu teledrama, Dunia Batinku bersama JS Pictures dan terbaru drama bersiri Jidin untuk slot Aksi TV3. Memang ada tawaran lain lagi, tapi saya terpaksa tolak sebab PLKN,” katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi FFM20 lalu.

Bercerita tentang drama bersiri Jidin yang baru sahaja ditayangkan menerusi slot Aksi, setiap Isnin di TV3, Shafie memberitahu, itu merupakan drama aksi komedi pertama yang dibintanginya.

“Sebelum ini, saya selalu berlakon drama yang serius, menangis, kena marah, pukul dan sebagainya. Tapi kali ini saya gembira kerana dapat berlakon dalam drama aksi komedi. Ia tidak memerlukan saya bermain dengan emosi dan membuatkan saya lebih tenang,” katanya yang pernah membintangi drama Ilham Suci dan Kasih Tak Terucap.

Selain Shafie, drama 13 episod arahan Emi Suffian ini turut dibintangi pelakon Amanda Misbun, Zahiril, Noorkhiriah, Tam, Bell Ngasri, Kazaa, Fauzi Nawawi dan ramai lagi.

Jidin mengisahkan tentang persahabatan antara makhluk asing, Jidin (Tam) dan Fendi. Mereka sering melengkapi antara satu sama lain. Kehadiran Jidin banyak membantu Fendi sehingga dia dikenali sebagai hero di kampungnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: