Monday, March 1, 2010

Berubah demi anak-anak

MAKANAN sering dijadikan aspek utama dalam menyalurkan kesedihan serta tekanan berikutan masalah rumah tangga yang dialaminya.

pix_middle
pix_topright
Namun, kebiasaan itu juga akhirnya memudaratkan kesihatan, malah menjejaskan karier hingga membuatkan Nadia Yusof nekad menyertai sesi uji bakat The Biggest Loser Asia (BLA), tahun lalu.

Program realiti untuk golongan obes yang diadaptasi daripada rancangan The Biggest Loser edisi Amerika Syarikat itu dilihat sebagai landasan terbaik untuk memperbaiki semula kehidupannya terutama bagi membesarkan anak-anak yang masih kecil.

Meskipun timbul rasa segan, apatah perlu menunjukkan segala lemak terkumpul yang ditonton berjuta manusia seluruh Asia, Nadia meletakkan anak-anaknya, Nur Farhana Faizal, 5, dan Muhammad Farhan Faizal, 2, sebagai motivasi untuk menurunkan berat badan.


"Anak-anak menjadi tunjang kepada penyertaan saya dalam BLA. Sebelum menyertai BLA, saya tidak mampu bermain dengan mereka di taman permainan.

"Malah, berjalan juga payah kerana saya cepat letih dan tidak dapat berjalan jauh.

"Biasanya, bekas suami yang melayan anak-anak dan saya lebih suka duduk di tepi padang sambil memerhatikan mereka.

"BLA nyata memberi peluang untuk saya meningkatkan keyakinan diri, sekali gus mengubah tabiat makan yang tidak sihat.

"Lebih membanggakan apabila saya sudah boleh berlari mengejar anak-anak ketika membawa mereka ke taman permainan. Bagi saya, itu satu pencapaian yang amat besar. Ia sesuatu yang saya impikan selama ini," katanya.


Bermula dengan berat 131 kilogram (kg) di minggu pertama, graf sasarannya menunjukkan penurunan konsisten hinggalah mencapai 111 kg pada minggu kelapan, di mana Nadia diundi keluar oleh rakan sepasukannya.

"Penyingkiran itu tidak bermakna segala latihan dan usaha saya dalam BLA terhenti di situ. Setiap peserta yang tersingkir perlu mengikuti latihan yang sudah disediakan Fitness First dan kami perlu meletakkan sasaran peribadi menjelang Grand Finale, 9 Mac ini.

"Walaupun tidak sekerap seperti dalam BLA, saya tetap ke gimnasium. Saya terikat dengan komitmen kerja untuk menyara keluarga kerana saya kini bergelar ibu tunggal.

"Biasanya, Isnin hingga Jumaat saya habiskan satu setengah jam di gimnasium manakala lebih dua jam pada Sabtu dan Ahad. Saya juga berusaha menjaga pengambilan makanan.

"Apa jua makanan kegemaran saya sebelum ini, bukan lagi menjadi pilihan saya.
"Terus hilang minat. Sandwic kini jadi pilihan untuk makan tengah hari terutama sandwic ikan salmon.

"Sarapan pula hanya susu rendah lemak bersama ubi bit. Itu sudah cukup mengenyangkan. Sesekali ada juga saya ambil makanan biasa, tetapi setiap kali saya menjamahnya, secara automatik terfikir jumlah kalori yang diambil dan berapa jam yang perlu dihabiskan di gimnasium untuk membakar kalori itu," ujarnya.

Tambah Nadia, sebolehnya dia ingin berusaha mencapai berat badan sehingga 90 kg, tapi secara realistiknya antara 95 ke 100 kg.

"Saya kini dalam sesi latihan penurunan berat badan untuk jangka masa panjang. Menurut pelatih Fitness First di sini, pengurangan satu kilogram seminggu sudah memadai asalkan saya tidak menambah berat badan," katanya.

Mengimbau semula masalah obesiti yang dialami Nadia, berat badannya mula naik sejak remaja kerana sering makan burger ketika dalam bas menuju ke rumah selepas sesi persekolahan.

Tabiat makan tanpa henti itu berterusan selama dua tahun hingga menyebabkannya tertekan kerana kerap diejek rakan sekolah.

Namun, perkara itu terus membuatkan masalahnya makin teruk kerana Nadia beralih kepada makanan untuk menenangkan diri.

Berat badannya terus bertambah sejurus berkahwin dan melahirkan anak hinggalah seorang teman sepejabat mencadangkannya menyertai BLA yang mengadakan sesi uji bakat peringkat Malaysia di Fitness First, The Curve, pertengahan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: