Tuesday, March 23, 2010

Mahligai cinta Zizan dan Hani


ZIZAN menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis isterinya.


PERKENALAN dalam sebuah majlis sekitar Disember 2008 benar-benar mengubah hidup dua selebriti ini. Baik Zizan atau nama sebenarnya Azizan Nin, 36, dan Fazilah Hani Datuk Harun atau Hani, 30, itulah detik keramat yang mencipta hubungan sehingga membuahkan rasa untuk melayari alam rumah tangga.

Pasangan itu memilih untuk disatukan pada tanggal 19 Mac lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas genap tiga bulan ditunangkan pada 18 Disember tahun lalu.

Malah, Masjid Negara dipilih kerana sebelum ini telah melakar memori tersendiri buat Zizan dan Hani yang menjalani kursus pra-perkahwinan di sana.

Dengan sekali lafaz, ikatan suami isteri termeterai dengan akad tepat pukul 9.40 malam bersaksikan oleh lebih 100 tetamu yang merupakan keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Sempat ditemui sebelum majlis pernikahan, akui Zizan debaran bergelar suami cukup hebat dirasakan sementelah menanti detik diijabkabulkan

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim dihadapan bapa Hani, Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin RM651.

Biarpun perasaan gembira menerpa jiwa, namun, mengakui berasa sayu tatkala hari bahagianya tidak disertai oleh ibunda tercinta, Bibi Kalsom Mohd. Sidek yang meninggal dunia pada September tahun lalu.

"Bagaimanapun, saya redha meraikan hari bahagia tanpa ibu. Apa yang penting saya sempat memperkenalkan Hani kepada ibu sebelum meninggal dunia.

"Namun, saya yakin dan percaya bahawa restunya sentiasa bersama saya dan Hani," kata Zizan.

Memanjatkan kesyukuran yang berlipat ganda ke hadrat Ilahi, kata Zizan, detik yang sekelip mata mengubah status hidupnya dari seorang lelaki bujang kepada seorang suami benar-benar mencatat sejarah dalam kamus hidupnya.

"Syukur segalanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah inilah detik bersejarah dalam hidup saya.

"Rasa macam tak percaya pun ada bila sudah bergelar suami," kata pelakon yang juga bekas pengacara program Beat TV itu lagi.

Pada majlis yang sama, pasangan itu bertukar-tukar dulang hantaran di mana Hani menerima tujuh dulang hantaran daripada Zizan termasuk wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya.

Antara barangan lain yang diterima Hani ialah sirih junjung, telekung, tas tangan, alat solek berjenama Mac dan kasut berjenama Jimmy Choo.

Manakala Zizan pula menerima sembilan dulang antaranya hantaran berupa kemeja, kasut, set penjagaan kulit, sejadah dan al-Quran, manisan dan wangian.

Bercerita tentang perancangan selepas berkahwin, kata Zizan, pada 31 Mac ini dia merancang ke tanah suci Mekah bersama isteri dan keluarga mertuanya untuk menunaikan umrah selama 10 hari.

Tambah Zizan, walaupun telah berkahwin dia tetap akan berlakon. Malah, sekembalinya dari Mekah, Zizan bakal menyambung penggambaran drama di Korea selama dua minggu.

"Apa yang saya harapkan daripada perkahwinan ini biarlah kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya dan Hani memang menyayangi kanak-kanak, kalau boleh kami memang mahukan anak yang ramai," kata Zizan lagi.

Zizan pandai memasak - Hani

Mengalirkan air mata sejurus akad disahkan, menterjemah rasa terharu dan gembira di hati selebriti bertudung yang juga penyampai berita Bahasa Melayu di ntv7 itu.

Tatkala ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Zizan sehingga menawan hatinya, ringkas jawapan yang dilontarkan wanita berkulit cerah dan bermata coklat itu, bahawa Zizan adalah lelaki terbaik untuk dirinya.

Malah, akui Hani selain baik dalam agama, Zizan yang memiliki senyuman menawan itu juga cukup kelakar dan pandai memasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: