Tuesday, March 23, 2010

Cinta Tom buat Adam


ADAM adalah buah hati Tom.


SEMUANYA bagaikan mimpi buat wanita kelahiran Taiping, Perak ini apabila dia diumumkan pemilik gelaran juara My Starz LG 3 baru-baru ini.

Walaupun berdasarkan bakat dia memang layak memegang gelaran tersebut, tetapi Tom, 24, tidak pernah mimpi untuk menang memandangkan undian SMS yang selalunya lebih berpihak kepada peserta lain pada setiap minggu.

Taktala semua bersorak gembira atas kemenangannya, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram memberi kejutan di dalam ucapan terima kasihnya.

"Saya ingin berkongsi kejayaan saya dengan orang yang paling saya sayang di dalam dunia ini, Adam, anak tunggal saya."

Anak? Ramai yang berada di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika itu terkejut dengan kenyataan wanita yang berbadan genit itu.

Bila masa Tom kahwin, siap dah ada anak seorang, badan Tom macam budak sekolah, betulkah dia sudah ada anak?

Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran mereka yang mengikuti perkembangan rancangan realiti terbitan TV3 itu.

Tom ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini berkata; dia tidak pernah berahsia akan statusnya cuma tiada siapa pernah bertanya kepadanya mungkin memandangkan saiz badannya seperti gadis remaja.

"Buat apa saya berahsia. Lagipun tujuan saya menyertai rancangan ini khas untuk membesarkan anak saya dan memastikan hidup dia senang.

"Sebelum saya menyertai My Starz LG 3, setiap hari saya bekerja keras menyanyi di kelab malam demi membesarkan Adam.

"Saya harap bila Adam besar nanti dia akan menghargai pengorbanan mummynya kerana Adamlah saya teruskan hidup ini," cerita Tom tulus mengenai anak tunggalnya Adam atau nama sebenarnya Megat Arieal Shakur Mohd. Farhan yang bakal genap dua tahun 27 Mac ini.

Tidak takut dengan stigma kononnya artis baru yang sudah berumah-tangga akan cepat dilupakan, Tom berkata; dia percaya rakyat Malaysia bijak menilai bakat seseorang daripada hanya memandang kisah peribadi seseorang artis itu.

Lagipun, Adam adalah segalanya bagi wanita berbadan kecil dan bersuara besar ini. Bagi Tom anak tidak dapat ditukar ganti dengan populariti.

Menyanyi di kelab demi anak

Ujar Tom lagi, dia juga tidak kisah jika orang bercakap mengenai kerjayanya sebelum ini iaitu sebagai penyanyi kelab malam kerana bagi Tom dia tahu niatnya itu demi mencari wang bagi membesarkan Adam.

Malah, walau selepas bergelar juara dan sementara dia memperoleh wang tunai RM100,000 hasil kemenangannya itu, Tom tetap seperti dahulu, menyanyi di kelab-kelab malam sekitar Kuala Lumpur supaya dapat menyediakan pakai minum buah hatinya itu.

Mungkin bagi juara rancangan realiti lain, mereka dapat bersenang-lenang sementara menunggu hadiah mereka, tapi bagi Tom, sebagai seorang ibu dia sanggup kembali ke kehidupan asalnya demi Adam.

"Buat masa ini, Adam tinggal dengan neneknya di Johor Bahru. Bukan saya tidak mahu membelanya sendiri, tetapi saya tidak mahu anak saya susah memandangkan saya sedang memulakan hidup yang baru di sini.

"Malah kini saya menumpang di rumah sepupu saya di Damansara. Apabila sudah mendapat rumah yang lebih selesa saya akan mengambil Adam tinggal dengan saya dalam masa terdekat," ujarnya yang turut tidak menafikan dia dan suaminya dalam proses penceraian.

Anak lelakinya itu juga menurut Tom, senang menghidap sakit sejak lahir seperti lelah dan dia juga pernah mendapat jangkitan pada paru-paru membuatkan Tom perlu sentiasa berkerja keras demi menampung perbelanjaan perubatan anaknya.

Cerita Tom, selama tiga bulan dia dikuarantin dari dunia luar ketika berada di dalam rancangan My Starz LG 3 itu, hari-hari dia terkenangkan anaknya yang jauh di Selatan tanah air dan sering menitiskan air mata kerana rindu yang teramat.

Sebaik sahaja rancangan itu selesai, Tom terus membeli tiket bas dan pulang ke pangkuan anaknya demi melepaskan rindu seorang ibu.

"Saya menangis di saat pertama kali melihat kelibat anak saya itu selepas tiga bulan tidak bertemu.

"Selama seminggu saya meluangkan masa bersama Adam dan membawa dia berjalan-jalan di Pantai Desaru, Johor Bahru. Hanya saya dan Adam," cerita Tom yang sentiasa ceria setiap kali berkongsi cerita tentang anak tunggalnya itu.

Tom mengaku bercerai

Rancak bercerita perihal anaknya, Tom dengan tenang menjawab persoalan wartawan yang bertanyakan perihal bapa kepada Adam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: