Tuesday, March 23, 2010

Saya Nak Cuti! penuhi impian tujuh peserta


AZMAN (kiri) dan Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi (kanan) bersama tujuh peserta yang terpilih.


ASTRO Ria sering hadir dengan pembaharuan dan kejutan buat pengikut setia mereka. Baru-baru ini, Astro Ria memilih tujuh orang menjadi 'pengacara' sebuah rancangan dokumentari pelancongan yang baru di saluran itu.

Tujuh orang yang terpilih bukanlah mereka di kalangan artis tetapi merupakan orang biasa yang ada di antaranya merupakan penuntut universiti, pensyarah malah jurugambar pun ada.

Yang sebenarnya, mereka adalah peserta bertuah peraduan Saya Nak Cuti! anjuran Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Astro.

Saya Nak Cuti! merupakan sebuah pertandingan yang akan merealisasikan impian peserta terpilih untuk bercuti ke destinasi percutian impian mereka dan akan dirakamkan menjadi program televisyen.

Percutian dirakamkan

Rancangan yang akan disiarkan di Astro Ria (Saluran 104) setiap Rabu pukul 10 malam bermula 21 April ini akan menyaksikan perjalanan percutian mereka dimana tiket penerbangan dan penginapan ditaja oleh MAS dan Astro.

Penolong Pengurus Besar Jualan Malaysia dan Brunei, Azman Ahmad berkata, percutian mereka selama lima hari empat malam akan dirakam untuk menjadi rancangan televisyen selama setengah jam setiap episod.

"Seramai 3,000 penyertaan berupa karangan yang tidak melebihi 350 patah perkataan di bawah tajuk Mengapa Saya / Mereka Paling Layak Untuk Memenangi Percutian Ini yang dihantar menerusi laman sesawang www.mastraveller.com.

"Pemenang dipilih berdasarkan keunikan tersendiri pada setiap percutian idaman, kreativiti, keaslian dan keupayaan untuk menarik minat orang ramai.

"Saya pasti pengalaman sebenar peserta ketika melancong yang akan ditayangkan di televisyen akan menarik penonton untuk mengikutinya.

"Ini merupakan rancangan realiti pertama seperti ini," ujar Azman ketika ditemui di majlis mengumumkan pemenang peraduan Saya Nak Cuti! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemenang yang dipilih ialah Mohammed Amyrol Bakhri, 25, yang akan ke Bangkok, Aliff Ashari, 20, (Jogjakarta), Affandi Abdul Hamid, 35, (Tawau), Siti Nur Aishah Aleyes, 26, (Kota Kinabalu), Madina Yahya, 31, (Ho Chi Minh), Juliana Niza Ismail Adnan, 31, (Bali) dan Nur Fadhilah Hasnawi, 21, (Sandakan).

Jika sambutan rancangan televisyen Saya Nak Cuti! menggalakkan, ujar Azman, mereka akan menimbangkan untuk mengadakan musim kedua pula.

Terangnya, berdasarkan karangan pemenang yang terpilih, penonton bakal dapat menyaksikan pelbagai kisah menarik dan tujuan di sebalik percutian pilihan mereka itu.

Antaranya Madina yang ingin ke Ho Chi Minh bagi menjejak keluarga ibunya yang berasal dari Vietnam.

Menurut Madina, ibu dan bapanya yang berasal dari Kemboja melarikan diri ke Thailand lalu ke Malaysia ketika tercetusnya peperangan di sana.

Bagi Madina, pertemuan dengan saudara mara sebelah ibunya merupakan sesuatu yang telah lama diimpikan.

Aliff yang merupakan pelajar perfileman pula memendam impian untuk melawat Yogjakarta semula yang pernah dikunjungi sewaktu menjadi sukarelawan Palang Merah ketika gempa bumi berlaku di situ pada 2006.

Aliff ingin melawat kampung yang pernah dia kunjungi dahulu dan bertemu dengan mereka yang pernah dikenali empat tahun dahulu serta melihat perubahan yang berlaku sejak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: