Sunday, March 28, 2010

Lewre setanding jenama antarabangsa


Koleksi Central Park.


SUDAH 12 tahun Lewre melakar nama di persada antarabangsa dan semakin mendapat tempat di hati orang kenamaan serta selebriti. Jenama Lewre kini setanding dengan Jimmy Choo - lebih membanggakan kedua-duanya adalah anak jati Malaysia.

Datuk Lew Fong Voon ataupun lebih mesra dengan panggilan Lewre Lew merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Reka Bentuk, Lewre International Sdn. Bhd.

Gandingkan bakat, kreativiti dan kerja keras dalam industri tersebut ternyata berjaya mengangkat jenamanya ke peringkat antarabangsa.

Nama Lewre diambil daripada nama Lew. Rekaannya dipasarkan di lebih 30 buah negara di seluruh dunia. Antaranya Sepanyol, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Itali.

Seperti pereka lain, Lewre juga mempunyai idola dalam perniagaannya.

Tuah Lew bermula pada tahun 1995. Ketika itu dia menyertai Pameran Kasut GDS dan kebetulan Datuk Jimmy Choo berkunjung ke tapak perniagaannya.

“Kebetulan, Jimmy bertanya asal saya dan saya menjawab dari Malaysia. Bermula daripada pertemuan itu, Jimmy yang memuji rekaan kasut saya, mengajak saya ke studionya di London.

‘‘Saya mempelajari selok belok rekaan dan perniagaan kasut daripada Jimmy supaya dapat menyertai Minggu Fesyen London,” katanya.

Ketika ditanya usia Lew, dia dengan nada bergurau berkata, umur bagi seorang pereka tidak penting.

‘Bagi seorang pereka kasut, kami akan mengabaikan umur. Bukan apa, fesyen adalah tentang gaya semasa. Jadi, untuk menghasilkan rekaan, kita tidak boleh dipengaruhi dengan umur. Kami perlu sentiasa muda untuk menghasilkan sesuatu yang segar dan baru,” katanya.

Menghasilkan kasut sebagai tanda kasih untuk wanita, Lew meletakkan harapan agar sesiapa saja yang menyarung kasut itu kelak gembira.

Antara misi Lewre adalah memberi keselesaan agar pelanggan nampak cantik, berkeyakinan dan tampil menarik.

“Ramai yang menganggap kasut hanya untuk dipakai di kaki. Sebenarnya, dengan pemilihan kasut yang betul, ia boleh mengubah bentuk badan berjalan. Bahkan, ia memberi keyakinan pada diri ketika berjalan.

‘‘Misalnya, tumit tinggi boleh memberi keyakinan ketika berjalan kerana ia menjadikan bentuk badan lebih langsing dan tinggi. Selain solekan dan pakaian, kasut merupakan bahagian paling penting. Kasut yang baik boleh menjaga kesihatan kaki,” jelasnya.

Selain menghasilkan kasut yang berkualiti, Lewre turut mengambil pelajar-pelajar khusus dalam bidang rekaan kasut.

Nasihat Lew pada generasi muda yang ingin menceburi bidang ini, mereka perlu mendapatkan panduan serta tunjuk ajar yang betul dan bersungguh-sungguh.

“Mereka perlu ingat, rekaan kasut tidak mempunyai sempadan dan warna tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, pada musim bunga tahun ini, Lewre menghasilkan rekaan yang lebih ceria, funky, glamor dan anggun yang mempunyai elemen New York. Empat tema menjadi pilihan Lew iaitu Moma, jetsetter, Central park dan Yellow Cab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: