![]() |
| VARIASI gelato Lecka-Lecka dengan harga bermula dari RM5.90 setiap senduk. |
LOGO seulas bibir merah menyala pasti menarik perhatian sesiapa saja yang menyusuri kawasan elit Bukit Bintang.
Ditambah pula dengan namanya yang unik. Lecka-Lecka, tentu ramai yang ingin mengetahui apa istimewanya restoran berkonsep terbuka yang terletak di hadapan kompleks Starhills ini.
Dalam bahasa Itali, Lecka bermaksud jilat. Dalam bahasa German dan Belanda pula membawa erti enak. Manakala sebutan Lecka seakan sama dengan leka dalam bahasa Melayu yang bermaksud asyik.
Sesuai dengan nama, berada sini pastinya membuatkan kita terleka menikmati hidangan sambil memerhatikan gelagat orang lalu-lalang.
Signatur restoran ini adalah gelato, iaitu sejenis ais krim yang berasal dari Itali. Namun cara pembuatan dan kandungannya berbeza daripada ais krim biasa.
Bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan, Lecka-Lecka pula memberi anda peluang menikmatinya tanpa kompromi.
"Lecka-Lecka memberi jaminan bahawa 99.9 peratus gelato berasaskan buah-buahan kami bebas lemak, rendah kalori dan tidak menggunakan telur," kata Pengurus Besarnya, Rajesh Daswani,
Bagi gelato berasaskan susu pula menurutnya, ia 94.9 peratus bebas lemak manakala yang berasaskan soya 100 peratus tanpa gula, sesuai untuk mereka yang menghidap kencing manis atau pun alah laktosa.
Terdapat lebih 154 perasa untuk dicuba dengan yang paling digemari adalah Nockies (campuran biskut, coklat dan kacang hazel), pistachio, vanila, oreo coklat, dan banyak lagi.
Jelas Rajesh lagi, pembuatan Lecka-Lecka tidak menggunakan bahan pengawet dan perasa seperti ais krim konvensional lain, menjadikan ia hanya bertahan dalam tempoh tiga bulan sahaja.
"Gelato kami dihasilkan segar setiap hari dan ia dibuat mengikut permintaan. Paling penting, gelato ini disahkan halal," katanya.
Selain gelato, outlet Lecka-Lecka di Bukit Bintang turut menawarkan pilihan menu Itali yang enak dan asli.
Cuba kepingan piza tradisional Itali yang enak dengan limpahan keju memukau, atau pun balutan nacos dengan tomato salsa dan beberapa sos istimewa.
Lecka-Lecka mempunyai empat cawangan restoran dan kafe. Menurut Rajesh lagi, cawangan Ampang akan menyediakan menu hidangan Arab dalam masa terdekat ini. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan gelato istimewa ini di beberapa kiosk seperti Alamanda Putrajaya, Sogo, Amcorp Mall dan Jusco, Bukit Tinggi, Klang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: