Monday, March 22, 2010

Laman tari Azanin...


PENTAS persembahan laman tari tampak tenang dengan kehijauan flora di sekitarnya.


PERJALANAN yang agak sesak dari Kuala Lumpur ke Ulu Langat, Selangor sedikit memberi tekanan. Namun, sebaik sahaja ke laman hijau milik Datin Azanin Datuk Ahmad, hati berasa tenang. Nama Azanin bukan asing untuk kita.

Wanita ini bukan sekadar membuat persembahan pentas, malah dia memiliki cita-cita memupuk budaya seni di kalangan masyarakat.

Mungkin nama Azanin tidak pernah luput daripada ingatan peminat seni tari tanah air khususnya memperjuangkan tarian Mak Yong.

Kini, dia berjaya merealisasikan impiannya dengan melaksanakan Laman Tari Azanin yang diimpikannya sejak 20 tahun lalu.

Memiliki dekorasi yang menarik, laman ini merupakan medan pembelajaran untuk generasi akan datang.

“Taman ini memelihara, menggalakkan dan memperkembangkan pengalaman sejarah budaya kita. Ia menggarap bidang latihan, penerbitan, persembahan, pementasan, penyelidikan dan penggalakan seni persembahan khusus untuk kanak-kanak dan dewasa,” jelasnya.

Bukan sekadar hiasan laman atau seni, tempat ini menjadi golongan penggiat seni atau pelajar yang ingin membuat kajian seni persembahan teater klasik.

“Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah persembahan teater drama, malah saya turut menerima kunjungan pelancong yang betul-betul berminat dengan seni ini sama ada luar atau dalam negara. Terdapat juga perpustakaan dan galeri untuk rujukan pengunjung,” jelasnya.

Katanya, laman ini memiliki keluasan lebih kurang empat hektar.

Uniknya di laman tari ini terdapat pokok-pokok bunga tradisi seperti kemboja, kenanga dan cempaka. Keseluruhannya, ia meliputi lebih kurang 70 jenis pokok tropika.

Keindahan flora dan fauna memberi ilham seni kepada pengunjung.

“Saya memilih konsep ini kerana alam semula jadi dan alam tari memang bersatu. Selain itu, pihak sekolah yang berminat melakukan perkhemahan juga boleh memilih tempat ini,” katanya.

Ruang laman yang luas dengan kehijauan ternyata memberi ketenangan. Sememangnya hijau sinonim dengan makna nyaman dan tenang.

Melangkah masuk ke rumah laman tari yang turut dikenali sebagai Pusat Budaya Suasana, kita dapat melihat pelbagai alat seni muzik tradisional yang jarang kita temui. Lebih menarik lagi, terdapat arca yang mengingatkan kita sejarah lama. Melihat suasana yang begitu damai ini, kita seakan-akan tidak percaya, laman ini berada di pinggir bandar besar.

Azanin yang memiliki ijazah dalam bidang ekonomi dari Universiti Monash, Australia ingin memperkembangkan seni teater drama Melayu menggabungkan gerak geri dan seni budaya tradisional.

Baginya, laman ini merupakan tapak permulaan baginya untuk memastikan warisan ini terus berkekalan.

“Dalam karier, saya memang berazam menghidupkan semula tradisi Melayu istana,” katanya yang pernah membuat persembahan hingga ke Jerman, England, Australia, Hong Kong, Amerika Syarikat, Jepun dan lain-lain.

Tambahnya, sejak dahulu lagi, impiannya memang ingin membina tapak budaya untuk memupuk budaya seni. Apatah lagi, Azanin sentiasa mendapat sokongan suami tercinta, Datuk Dr. Shahril Talib yang merupakan seorang pensyarah universiti dalam bidang sejarah.

Orang ramai yang berminat mengadakan aktiviti seni, membuat latihan, kajian atau perkhemahan sambil belajar tentang seni boleh mengunjungi Laman Tari Azanin , Suasana 2661, Batu 18 1/2, Jalan Ulu langat, 43300 Ulu Langat, Selangor atau menghubungi talian 03-90216088 atau e-mel suasanaculture gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: