Monday, March 22, 2010

Arca berkumpulan jadi tarikan


Cindy Koh (The Dancing Bull).


MELIHAT, merasa dan menyentuh arca-arca yang dipamerkan memberikan seribu satu rasa dan pengertian. Melihatkan satu persatu bentuk yang dipamerkan, ramai yang dapat mentafsir apa mesej yang hendak disampaikan.

Walaupun pelbagai tafsiran dan pengertian yang dibuat, sudah pasti setiap arca yang dibuat begitu dibanggakan apatah lagi ia nya dibuat oleh generasi muda yang menjadi penyambung legasi seniman terdahulu.

Walaupun seni arca di Malaysia kurang mendapat perhatian yang serius daripada pelbagai pihak, namun perkembangan positif di sebalik seni itu masih lagi berjaya membuka mata banyak pihak terhadap kehebatan karya tempatan.

Jika di Indonesia, hampir setiap tempat waima di simpang-simpang jalan berdiri dengan megahnya arca, tetapi di Malaysia perkembangan itu masih lagi belum sampai ke tahap itu.

Bertempat di RA Fine Art Gallery, Kuala Lumpur sedang berlangsung satu pameran berkumpulan yang dinamakan Eight 4 One yang menghimpunkan lapan pengarca muda yang hebat.

Selain Saharudin Supar, pengarca lain turut dalam pameran ini ialah Azman Ismail, Aznan Omar, Faiz ukor, M. Safwan Ahmad, Cindy Koh, Anniketyni Madian dan Anissa Aziz.

Seni tampak kontemporari di Malaysia khususnya seni arca moden telah berada dan berkembang lebih kurang 60 tahun yang lalu dan para pengarca juga silih berganti telah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran tersendiri.

Jika melihatkan perkembangan arca di Malaysia ramai tokoh-tokoh hebat telah berjaya dilahirkan termasuklah Seniman Negara Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Mad Anuar, Ramlan Abdullah, Raja Shariman dan ramai lagi.

Pengarca ini bukan sahaja pembuat objek seni atau tukang mahir semata-mata tetapi mereka juga adalah seorang pemikir dalam kehidupan seharian.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri dengan lebih dekat arca-arca yang dipamerkan, apa kata anda datang ke RA Fine Art Gallery, No. 6, Jalan Aman Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: