Monday, March 22, 2010

Retro pilihan Lord’s Tailor


Lelaki boleh tampil segak dan kemas walaupun mengenakan pakaian formal.


WARNA-WARNI dan retro menjadi pilihan Lord’s Tailor pada tahun ini. Jenama ini sudah berada dalam industri fesyen selama lebih 35 tahun. Tidak hairanlah ia menjadi kegemaran orang kenamaan dan selebriti. Pada musim ini Lord’s Tailor memperkenalkan sut yang menggabungkan beberapa warna dengan corak petak, berjalur atau garisan.

Namun perekanya masih mengetengahkan gaya maskulin dengan potongan persalinan tuksedo serta kemeja potongan terkini. Dilengkapi pula dengan aksesori tambahan tali leher dan bow-tie, cukup mencuri tumpuan. Walaupun tema ini kurang sesuai untuk majlis formal, namun ia menepati cita rasa lelaki untuk ke majlis keramaian atau karpet merah seperti yang dihadiri oleh selebriti. Apatah lagi himpunan rona yang ditampilkan, jejaka tampak segak dan berkeyakinan.

Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Lord’s Tailor, Loh Lee Lee, pakaian dan artis adalah dua perkara saling berkait.

“Artis memerlukan pakaian untuk bergaya ke pelbagai majlis. Ini secara tidak langsung memberi idea kepada kepada kami untuk menghasilkan sut dan tuksedo yang berwarna-warni. Namun, gaya ini boleh dipakai oleh orang ramai yang inginkan kelainan dalam sesuatu gaya terutamanya orang muda,” katanya.

Bagi Lee Lee, orang muda adalah penggerak fesyen dan trend terkini sering dikait dengan golongan ini.

Sesuai dengan peredaran musim fesyen semasa, gaya lama atau klasik mendapat tempat di hati peminat fesyen. Potongan sut pula mengikut potongan bahu dan badan. Manakala, jaket atau kot lebih singkat.

Uniknya, tali leher atau bow-tie (tali leher kupu-kupu) mempunyai corak dan warna yang berbeza dengan jaket dan kemeja.

Lee Lee menambah, Lord’s Tailor sering berbincang dengan pelanggan untuk menghasilkan rekaan yang menepati cita rasa masing-masing di samping memberi nasihat berdasarkan usia dan kerjaya untuk disesuaikan dengan sut pilihan mereka. Antara petua menghasilkan rekaan terbaik, bermula sejak awal lagi iaitu dari segi butiran terperinci ukuran pakaian.

“Selain mengambil ukuran biasa, kami memastikan butiran lain misalnya bentuk tubuh di bahagian bahu, belakang, dada dan perut. Ia penting kerana bentuk bahagian tubuh ini boleh menentukan sama ada sut itu dapat dihasilkan dengan baik atau sebaliknya.

Malah, kepakaran dalam penghasilan sut ini juga boleh membantu pelanggan untuk kelihatan lebih langsing,” jelasnya dalam majlis pelancaran tajaan sut untuk lapan artis lelaki sempena sebuah majlis anugerah April depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: