![]() |
| Dengan kudrat yang ada, Rahmatia tetap berazam untuk mengeluarkan zakat pada suatu hari. |
KIRA-KIRA 10 tahun dahulu, Sabah ditinggalkan dengan segunung harapan. Semoga kesusahan hidup di bumi tumpah darah dapat ditebus di Tanah Semenanjung.
Lalu, berbekalkan niat untuk merubah nasib dan mencipta kehidupan yang lebih baik, Rahmatia Nurdin, 52, tega meninggalkan negeri yang telah menyambut kelahirannya.
Ibu separuh usia ini pun menyongsong nasib datang ke Selangor. Di sini, dia meneruskan tatih hayat di sisi suami dan 11 orang anak.
"Saya mengikuti suami ke sini, pada tahun 1999. Semasa di Sabah, saya berniaga kecil-kecilan di kaki lima bangunan di bandar Kota Kinabalu. Memang, kala itu pun saya sudah susah.
"Namun, memandangkan suami mahu mencuba nasib di Semenanjung, apa salahnya saya juga turut serta mencari peluang sama di sini," katanya.
Rahmatia bersuamikan orang Sabah dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata. Pertama Juliati namun sudah meninggal dunia. Kini yang masih ada ialah; anak kedua, Nurlaila, 28, dan sudah pun berkahwin. Anak ketiga ialah Muhammad Nur, 24, hanya bekerja membantu kawan berniaga di pasar malam; keempat Nurjannat, 24, pula berkerja kilang sementara anak kelima Abdul Karim, 23, masih gagal memperoleh sebarang pekerjaan tetap.
Anak keenam mereka pula, Nuraini, 21, masih lagi menuntut di Kolej PTPTL dalam bidang perhotelan; anak ketujuh Nuriza, 17, pula sedang menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kini mengisi masa terluang dengan mengikuti kursus anjuran Giat MARA dalam bidang kecantikan di Selayang.
Anak kelapan, Nurhalimah, 16; kesembilan Nurhalifah, 15 dan ke-10, Nurshahira, 13, kini masing-masing menuntut di Sekolah Menengah Pandaraman, Kelang, Selangor. Anak bongsu beliau, Iskandar Zulkarnain, 11, pula belajar di Sekolah Kebangsaan Bendahara, Pandamaran.
Di samping anak-anak kandungnya, Rahmatia turut menanggung dua orang cucu yang kematian ibu dan ayah.
"Kedua orang cucu saya ini adalah anak kepada arwah anak saya, yang pertama bernama Nurfarhanah Kasnila, 11, dan adiknya, Nurkhairunnisa, tujuh tahun. Anak tiri saya pula bernama Nurhaini dan mereka semua belajar di sekolah yang sama dengan Iskandar," jelasnya.
Terkejut juga penulis apabila mendengar ramainya tanggungan ibu ini. Bahkan, penulis bertambah terkejut apabila mendapat tahu, beliau turut menanggung emaknya yang turut datang bersama dari Sabah setelah kematian ayahnya.
Jjarang kita bertemu seorang ibu yang mempunyai anak sehingga lebih 10 orang hari ini.
"Semasa tiba di Semenanjung, suami saya hanya berkerja sebagai buruh kontrak di kilang. Pendapatannya tidaklah besar, hanya kira-kira RM800 sebulan.
"Semasa itu juga saya tidak dapat membantu, kerana anak-anak masih kecil dan terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dalam menguruskan rumah tangga," kata Rahmatia.
Akibat kesusahan dan kesempitan hidup, pada tahun 2005 suami Rahmatia mengambil keputusan untuk kembali ke Sabah.
Tetapi Rahmatia enggan pulang. Sementelahan pula, menurut Rahmatia, suaminya itu turut mempunyai seorang lagi isteri di sana, iaitu ibu kepada Nurhani. Bahkan di Sabah, suaminya turut mempunyai enam orang anak lagi.
"Setelah kepulangan suami ke Sabah, saya ini ibarat ibu tunggal. Namun hakikatnya saya masih bersuami. Tetapi amat jarang dia pulang ke sini. Kawan-kawan memanggil saya 'ibu tinggal', kerana saya memang perlu membesarkan anak-anak seorang diri tanpa dokongan seorang suami di sisi," ujarnya.
Dari raut wajah ibu berkulit sawo matang ini memang terpancar getir kehidupan yang telah jenuh beliau lalui selama ini.
Bayangkan, pada usia 52 tahun dia masih lagi bergelandangan dengan mengerah kudrat empat keratnya demi mencari rezeki menyara diri, emak, anak-anak dan dua orang cucu di rumah.
"Saya mula memohon zakat pada 2006. Itu pun setelah disarankan oleh bekas majikan saya yang kala itu mengesani kesusahan dan keperitan hidup saya sekeluarga. Kala itu, memang saya sudah berkerja menjadi tukang cuci di pejabat zakat ini.
"Alhamdulillah, permohonan saya diterima. Buat permulaannya, saya telah diberikan bantuan untuk anak-anak saya meneruskan persekolahan.
"Kemudian, pihak zakat telah membuat bancian lanjutan dan saya turut diberikan bantuan bagi menyambut Ramadan dan hari raya," jelasnya.
Ini bermakna, beliau sudah pun dimasukkan sebagai asnaf zakat, iaitu tergolong dalam asnaf miskin di Lembaga Zakat Selangor (MAIS).
Kini, Rahmatia menyambung kerjanya dengan majikan baru, juga seorang asnaf zakat yang diberikan bantuan bagi memulakan perniagaan dengan mengambil tender mencuci pejabat. Kebetulan, Rahmatia masih dikekalkan menjadi pencuci di ibu pejabat LZS (MAIS) di Shah Alam.
"Jika ditanya, gaji saya memang masih belum mencukupi. Saya hanya dibayar RM700 sebulan.
"Mujurlah ada anak-anak yang sudah besar dan mereka turut menghulurkan bantuan jika saya meminta.
Tapi, jujurnya, saya teringin sangat mendapat bantuan tambahan dalam RM300 sebulan, pun sudah memadai. Cukup rasanya menampung keperluan membeli barangan dapur," katanya.
Ketika ditanya, apakah perasaannya setelah dibantu oleh LZS (MAIS), Rahmatia menzahirkan kesyukuran yang amat sangat.
"Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan amat berterima kasih kepada semua pembayar zakat. Saya doakan mudah-mudahan para pembayar zakat di negeri ini akan bertambah rezeki mereka. Sesungguhnya, zakat itulah yang banyak menolong orang-orang susah seperti saya ini dan pastinya, lebih ramai lagi orang yang susah di luar sana.
"Saya juga tidak lupa untuk selalu berpesan kepada anak-anak saya. Belajarlah baik-baik dan carilah kerja, supaya mereka dapat membayar zakat.
"Saya tidak mahu mereka merasai susah getirnya hidup seperti mana yang telah saya lalui ini. Cukuplah kesusahan ini saya lalui seorang, mereka mesti keluar dan menjadi orang yang berharta," demikan luahnya.
Siapa yang mampu menduga, si ibu di belahan usia emas ini rupa-rupanya tidak jemu-jemu berdoa agar dirinya dan anak-anaknya menjadi orang yang berharta, kerana dengan harta itulah mereka mampu berzakat.
Demi sesungguhnya, mereka yang berzakat itulah orang yang tahu mensyukuri nikmat Tuhan-Nya. Wallahua'lam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: