Monday, March 15, 2010

Kolaborasi One Nation Emcee dengan Inul


Mokhzani Ismail (empat dari kiri) bersama anggota One Nation Emcee ketika melancarkan album sulung kumpulan itu
di Dragonfly, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUMPULAN ini mula dikenali selepas menyertai pertandingan nyanyian berkumpulan popular di TV3, Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2), dua tahun lalu.

Bersaing dengan para peserta dari beberapa negara jiran termasuk Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia ternyata memberikan kelebihan buat One Nation Emcee (O.N.E.) dalam membuktikan kebolehan mereka apatah lagi berjaya memahat nama sebagai juara Gang Starz 2.

Apa yang pasti, biarpun sudah dua tahun meninggalkan gelanggang pertandingan itu, nama One Nation Emcee tidak pernah dilupakan oleh para peminat mereka.

Kumpulan yang dianggotai oleh empat anak muda iaitu Mimi, Jojoe, Kozae dan Zydee itu terkenal sebagai kumpulan yang energetik di atas pentas, gerak tari mereka setiap kali membuat persembahan sentiasa mengujakan.

Malah, kemunculan single Raja Gelek ciptaan mereka seterusnya mencipta sejarah tersendiri buat mereka apabila berjaya memasuki peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-24.

Kini usaha mereka mengekalkan nama sejak dua tahun lalu terbayar dengan kemunculan album sulung, yang dilancarkan pada 3 Mac lalu oleh Setiausaha Bahagian Muzik, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mokhzani Ismail di Dragonfly, Kuala Lumpur.

Album tersebut mengandungi enam lagu termasuk single Raja Gelek, Apa Ku Kisah?, Syukur (Kau Yang Satu), Dendangkan, Bisikan Cinta (feat Damian Mikhail) dan sebuah lagu bonus yang juga lagu tema Piala Dunia 2010, Laungkan.

Bukan itu sahaja, khabarnya tidak lama lagi O.N.E. bakal berkolaborasi dengan penyanyi dangdut terkenal dari negara seberang, Inul Daratista dalam projek terbaru mereka tidak lama lagi.

"Inul dah tahu siapa kami. Malah, dia pernah menyaksikan persembahan kami dalam Gang Starz ketika menyampaikan lagu Goyang Inul menerusi laman You Tube.

"Malah, dia juga telah mendapat cakera padat persembahan kami ketika membuat persembahan lagu Raja Gelek dan dia berpuas hati untuk bekerjasama.

"Hujung Februari lalu, pihak Inul telah menyatakan persetujuan mereka dan kami akan berkolaborasi menerusi lagu Kerna Uwang (Kerana Wang) untuk pasaran di Indonesia.

"Pada mulanya kami berasa takut nak bekerjasama kerana ketika rundingan dibuat kami masih belum ada album mahupun klip video," kata Mimi mewakili rakan-rakannya.

Bagaimanapun, kata Mimi lagi, perundingan yang diuruskan oleh pihak Sonic Velocity itu secara dasarnya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

O.N.E. bakal ke Jakarta, Indonesia bertemu Inul pada Mac ini untuk berbincang lebih lanjut tentang perjalanan projek terbaru mereka itu.

Tidak selesa

Berbalik tentang album, tempoh setahun diambil oleh mereka demi melengkap diri sebagai artis apabila mula melakar perancangan buat album sulung tersebut.

Berhabis antara RM20,000 hingga RM25,000, kata Mimi, peminat mereka harus memiliki album tersebut kerana sedikit sebanyak album tersebut mampu menterjemah konsep yang cuba disampaikan oleh O.N.E. sejak mula bergelar artis.

Apa yang membezakan kumpulan ini dengan kumpulan-kumpulan lain yang sedia ada ialah konsep serta imej yang cuba ditonjolkan oleh mereka.

Maka, jika ada yang cuba menyamakan mereka dengan kumpulan antarabangsa terkenal, Black Eyes Peas, ternyata itu bukanlah sesuatu yang cukup selesa buat mereka.

"Kami tidak selesa kerana kami ada konsep tersendiri.

"Namun, jika ada yang cuba mengatakan cara kami membuat persembahan serta tenaga yang kami berikan hampir menyamai kumpulan tersebut, ia sesuatu yang amat kami hargai.

"Terus-terang, kami selesa dengan pembawakan diri kami walaupun kami sebenarnya tiada sebarang rujukan untuk kumpulan yang berkonsep seperti kami di negara ini," ujar Mimi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: