Monday, March 15, 2010

Janji Umie pada anak angkat


DUA anak angkat Umie Aida, Mohd. Dzulhelmy (kiri) dan Mohd. Daniel Firdaus sentiasa mendoakan kebahagian ibu angkat mereka.


BIARPUN hanya anak angkat, tetapi kasih sayang Umie Aida terhadap Mohd. Dzulhelmy, 16, dan Mohd. Daniel Firdaus, 17, ibarat ibu terhadap anak kandungnya sendiri.

Ini kerana, dua anak angkat itu telah dibelanya sejak dari kecil, malah pelakon berusia 37 tahun itu menganggap keduanya seperti anak daripada darah dagingnya sendiri.

Menurut Umie, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya kerana Mohd. Dzulhelmy dan Mohd. Daniel Firdaus tidak dapat menyaksikan saat dia diijabkabulkan Ahad lalu di Mekah.

Ahad lalu, pelakon yang juga adik pengarah Erma Fatima dinikahkan dengan pasangannya Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Mekah tanpa disaksikan oleh kedua anak angkatnya itu.

"Saya memang rasa terkilan kerana dua anak angkat saya itu tidak dapat pergi ke Mekah bersama-sama bagi menyaksikan hari yang cukup bersejarah dalam hidup saya.

"Bukan mereka tidak mahu menyertai rombongan ini tetapi disebabkan ada masalah berkaitan pasport keduanya maka rancangan itu dibatalkan pada saat-saat akhir. Saya berjanji kepada mereka berdua selepas ini saya akan membawa mereka menunaikan umrah bersama-sama saya.

"Kalau panjang umur dan ada rezeki mungkin mengerjakan haji pula," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor sebelum berlepas ke Mekah baru-baru ini.

Rasa sebak Umie itu dapat dilihat daripada air mukanya yang agak murung dan sempat memeluk dua anak angkatnya sebelum berlepas ke Mekah bersama kira-kira 20 anggota rombongannya.

Sementara itu, Mohd. Dzulhelmy dan Mohd. Daniel Firdaus yang ditemui Hits turut tidak dapat menyembunyikan rasa sedih mereka kerana tidak dapat menyertai rombongan ibu angkat mereka.

"Kecewa memanglah rasa kecewa kerana tidak dapat pergi tengok sendiri ibu saya diijabkabulkan di Mekah. Apa hendak buat bukan rezeki kami untuk turut serta dalam rombongan ini

"Apa pun kami berharap agar semuanya akan berjalan lancar dan kami akan menantikan kepulangan ibu kami nanti dan juga majlis resepsi yang akan diadakan pada 28 Mac ini," ujar Mohd. Dzulhelmy dalam nada perlahan.

Sepanjang berada di Mekah selama lima hari di Mekah dan dua hari di Madinah mulai 11 Mac lalu, Umie akan mengadakan majlis kenduri kesyukuran secara sederhana bersama anggota-anggota rombongan yang terbabit.

Jelas Umie, dia bersyukur bukan sahaja dapat melangsungkan majlis pernikahannya di Mekah, tetapi berasa terhutang budi kerana suaminya, Khairuddin Abu Hassan turut bersetuju membiayai perbelanjaan anggota-anggota rombongannya itu.

"Dua perbelanjaan tiket penerbangan, makan minum dan penginapan di Mekah dan Madinah itu ditaja oleh bakal suami saya (kini suami) di mana ia sebagai salah satu daripada wang hantaran perkahwinan kami.

"Saya amat bersyukur kerana bukan sahaja dapat bernikah di Mekah tetapi pada masa sama membawa anggota-anggota keluarga saya mengerjakan umrah selepas majlis akad nikah dijalankan," katanya lagi.

Majlis resepsi Umie dan pasangannya itu akan diadakan di Hotel One World, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 28 Mac ini di mana dijangka seramai 1,200 tetamu akan dijemput pada majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: