Monday, March 22, 2010

Khazanah filem P. Ramlee dibukukan


FILEM Nasib Do Re Mi yang menyaksikan gandingan P. Ramlee (kanan), A.R. Tompel (tengah) dan Ibrahim Din terus kekal sebagai salah sebuah filem komedi yang diminati ramai.


SERING kali menonton filem-filem lakonan seniman agung ini, kita pasti akan larut dalam emosinya. Jika menonton filem komedi lakonannya, kita pasti akan ketawa berdekah-dekah sehingga tidak kering gusi dibuatnya.

Kalau menonton filem-filemnya yang menyentuh perasaan dan dramatik, pastinya air mata kita akan mengalir kesan daripada babak-babak yang mengusik jiwa.

Itulah kehebatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam melahirkan filem-filem yang mampu dikenang dan terus ditonton tanpa bosan sehingga ke hari ini.

Pastinya, hanya lagu dan filemnya sahajalah legasi seni yang ditinggalkan P. Ramlee untuk kita kenang dan menghargai bakat luar biasa yang dimiliki seniman kelahiran Pulau Pinang itu.

Saban tahun pasti akan ada pihak yang akan mengambil inisiatif untuk terus mengenang dan mengangkat legasi peninggalannya dalam pelbagai cara.

Sempena ulang tahun kelahiran P. Ramlee yang ke-81 hari ini (22 Mac), MZA Terbit Enterprise dengan kerjasama Pekan Ilmu Publications telah menerbitkan sebuah buku yang menampilkan filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee.

Buku yang berjudul Filem-Filem P. Ramlee itu telah ditulis oleh wartawan veteran, Mustafar A. R. dengan dibantu oleh pelakon yang juga sahabat karib P. Ramlee iaitu Datuk Aziz Satar.

Pastinya buku ini akan menjadi rujukan terbaik buat peminat dan masyarakat khususnya pelajar dalam bidang perfileman kerana buku ini menjanjikan sesuatu yang berbeza daripada sebelum ini.

Mungkin ramai yang menonton filem-filem P. Ramlee sebelum ini cuba merungkai kisah di sebalik pembikinannya dan menerusi buku ini, semua persoalan itu akan terjawab.

Kerana buku ini akan memuatkan kisah menarik serta trivia yang mungkin tidak diketahui sebelum ini menerusi 66 buah filem arahan seniman terunggul itu.

Selain filem, peminat dan pembaca turut berpeluang untuk mengetahui kisah di sebalik lakonan P. Ramlee dalam dua buah drama televisyennya, Intan dan Rantau Selamat.

Sewaktu dihubungi baru-baru ini, Mustafar, 66, memberitahu idea untuk menghasilkan buku tentang filem P. Ramlee timbul sekitar tahun 1988 ketika dia berada di Amerika Syarikat.

Ketika itu, dia dalam rangka lawatan sambil belajar yang dibiayai Persatuan Wartawan Filem Malaysia (PWFM).

Sewaktu berada di sebuah kedai buku di Hollywood berhampiran Chinese Mann Theatre, Mustafa mendapati banyak buku mengenai filem dijual di situ.

Fakta lengkap

Tiba-tiba dia terpandang sebuah buku berjudul The Complete Films Of John Wayne yang memaparkan tentang filem-filem yang dibintangi dan diarahkan John Wayne bermula Mother Machee (1928) sehinggalah ke filem terakhirnya The Shootist (1976).

"Maka itu, saya terfikir mengapa di Malaysia tidak dilakukan perkara yang serupa kerana bintang filem negara kita juga tidak kurang hebatnya.

"Lalu, saya mulakan projek pertama ini untuk menampilkan P. Ramlee kerana dia adalah legenda dan pastinya ramai yang mahu tahu kisah filem-filemnya," kata Mustafar atau nama sebenarnya, Mustafar Abdul Rahim membuka ceritanya.

Selama hampir 20 tahun melakukan penyelidikan menerusi akhbar-akhbar lama dengan dibantu oleh Aziz, impiannya untuk melihat buku seumpama itu di negara ini akhirnya tercapai.

Mustafar yang juga bekas Pengarang Hiburan Utusan Malaysia memberitahu buku itu merangkumi segala fakta lengkap yang ingin diketahui oleh peminat seniman itu.

"Sudah tiba masanya untuk khalayak dan peminat filem tanah air didedahkan dengan buku seperti ini yang mampu memberi informasi serta maklumat tentang filem Melayu.

"Insya-Allah, ada perancangan lain selepas ini untuk menerbitkan buku seperti ini tetapi menerusi artis yang lain," ujarnya lagi.

Apa yang membanggakan, buku ini telah mendapat tempat di Washington, DC dan Universiti Ohio, Amerika Syarikat (AS) selain Singapura dalam bahasa Melayu.

Selain AS, buku ini juga akan merantau ke negara-negara lain iaitu Indonesia, United Kingdom dan Brunei selain Australia serta India.

Mustafar turut menambah, buku ini akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan lagi pasarannya ke seluruh dunia.

"Perlu diingat, penerbitan buku ini tidak berhasrat merendah-rendahkan kreativiti P. Ramlee. Ia hanya dilaksanakan berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai kesahihannya," pesan Mustafar kepada pembaca.

Sementara itu, Aziz ketika dihubungi pula berkata sebagai sahabat karib P. Ramlee, beliau berbesar hati kerana dapat menolong Mustafar dalam merealisasikan buku seumpama ini.

"Biarpun berdepan dengan sedikit masalah untuk menerbitkan buku ini, tetapi saya bangga dan gembira kerana masih ada pihak yang sudi membantu.

"Tiada lain yang saya harapkan agar buku ini akan mendapat tempat di kalangan pembaca dan peminat P. Ramlee," katanya penuh harapan.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan buku ini, bolehlah berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 19 hingga 28 Mac ini.

Satu majlis memperingati Allahyarham P. Ramlee akan di adakan pada pukul 2 petang di PWTC hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: